Mata manusia memerlukan vitamin tertentu untuk terus kekal sihat dan mengurangkan risiko kepada penyakit-penyakit mata. Terdapat sekurang-kurangnya 8 jenis vitamin atau nutrien yang penting untuk kesihatan mata.
Kekurangan vitamin dan mineral tertentu boleh meningkatkan risiko terhadap penyakit mata seperti katarak, glaukoma dan degenerasi makular berkaitan usia (AMD).
Antara penyakit mata yang sering berlaku adalah:
- Rabun (rabun jauh dan rabun dekat)
- Katarak
- Degenerasi makular berkaitan usia
- Retinopati diabetes
- Glaukoma
- Ambliopia
- Strabismus
Selain penting untuk kesihatan mata, vitamin-vitamin ini juga turut bertindak sebagai antioksidan yang kuat yang boleh melindungi mata daripada kerosakan oksidatif dan keradangan.
Artikel ini menyenaraikan 8 vitamin dan nutrien yang penting untuk kesihatan mata dan dapat mengurangkan risiko terhadap penyakit mata.
1. Vitamin A
Vitamin A adalah salah satu vitamin penting untuk kesihatan mata.
Vitamin ini merupakan salah satu komponen kepada rodopsin iaitu protein pigmen peka cahaya yang terdapat pada retina. Rodopsin ini juga membantu anda melihat dalam keadaan yang kurang cahaya atau malap.
Kekurangan vitamin A yang sering berlaku di negara membangun boleh menyebabkan berlakunya keadaan yang dipanggil xeroptalmia.
Xeroptalmia adalah penyakit mata yang berperingkat dimana ia bermula dengan rabun malam. Sekiranya tidak dirawat dan kekurangan vitamin A berterusan, saluran mata dan mata akan menjadi kering.
Akhirnya, kornea mata akan menjadi lembut, mengakibatkan buta yang tidak boleh dipulihkan. [1]
2. Beta-karotena
Beta-karotena adalah salah satu karotenoid yang terdapat dalam vitamin A. Beta-karotena adalah pigmen yang boleh didapati dalam buah-buahan atau sayur-sayuran berwarna. Beta-karotena ini akan ditukarkan kepada vitamin A dalam badan.
Beta-karotena juga memainkan peranan penting terhadap kesihatan mata.
Peranan beta-karotena dalam membantu mengurangkan risiko penyakit mata berkaitan usia dilaporkan dalam kajian iaitu The Age-Related Eye Disease Study (AREDS1).
Kajian ini melaporkan bahawa pengambilan beta-karotena bersama-sama vitamin C dan E, zink dan tembaga boleh mengurangkan risiko penyakit degenerasi makular berkaitan usia (AMD). [2]
3. Lutein dan zeaxantin
Lutein dan zeaxantin juga merupakan dua nutrien penting kepada kesihatan mata.
Kedua-duanya adalah daripada kumpulan karotenoid. Lutein dan zeaxantin boleh dijumpai dalam makular dan retina mata. Mereka berperanan menapis sinaran biru yang berbahaya kepada mata seterusnya melindungi mata daripada rosak.
Terdapat kajian yang melaporkan lutein dan zeaxantin boleh melindungi mata daripada katarak dan degenerasi makular berkaitan usia. [3, 4]
4. Vitamin C
Vitamin C juga turut mempunyai peranan penting terhadap kesihatan mata.
Selain bertindak sebagai antioksidan, vitamin C juga turut membantu mencegah penembusan sinaran UV.
Kajian pencerapan menunjukkan bahawa mereka yang mengambil vitamin C lebih daripada 490 mg sehari boleh mengurangkan 75% risiko berlakunya katarak. [5]
Kajian semula yang diterbitkan dalam jurnal Nutrients turut menunjukkan terdapat banyak kajian yang menyokong bahawa diet harian yang tinggi dengan vitamin C boleh mengurangkan risiko penyakit katarak berkaitan dengan usia. [6]
Kajian ini turut melaporkan potensi suplemen vitamin C dalam melambatkan pembentukan katarak akibat daripada pembedahan mata.
5. Vitamin E
Vitamin E juga merupakan salah satu antioksidan yang kuat yang bermanfaat kepada kesihatan mata.
Satu kajian yang melibatkan 3640 pesakit degenerasi makular berkaitan usia (AMD) menunjukkan pengambilan vitamin E dan beberapa nutrien lain secara harian boleh mengurangkan risiko kemajuan penyakit ini ke peringkat seterusnya sebanyak 25%. [2]
Satu analisis meta melaporkan bahawa pengambilan vitamin E dalam makanan atau suplemen boleh mengurangkan risiko penyakit katarak berkaitan usia. [7]
6. Vitamin B6, B9 dan B12
Vitamin B6, B9 dan B12 juga turut mempunyai peranan terhadap kesihatan mata.
Kepentingan ini vitamin-vitamin ini dapat dilihat dalam satu kajian klinikal terhadap wanita yang mendapati pengambilan 1000 mikrogram vitamin B12 bersama-sama vitamin B6 dan B9 boleh mengurangkan risiko pembentukan penyakit AMD sebanyak 34%. [8]
7. Vitamin B2
Vitamin B2 atau nama lainnya riboflavin turut berkhasiat kepada kesihatan mata.Vitamin ini turut terkandung dalam bendalir mata.
Kajian melaporkan bahawa pengambilan vitamin B2 dalam makanan atau suplemen boleh mengurangkan risiko berlakunya katarak. Kekurangan vitamin B2 dalam kalangan warga tua juga boleh meningkatkan risiko kepada berlakunya katarak.
Malah, 80% pesakit katarak mengalami kekurangan vitamin B2. [9]
8. Omega-3 (Minyak Ikan)
Omega-3 atau asid lemak Omega-3 adalah lemak politaktepu yang turut mempunyai peranan penting kepada kesihatan mata.
Walaupun ia tidak dikategorikan sebagai vitamin, tetapi lemak ini juga turut mudah untuk didapati dalam makanan atau suplemen seperti mana vitamin.
Sel membran retina mata mengandungi DHA (Omega-3) yang tinggi. Omega-3 juga turut mempunyai ciri-ciri antiradang yang boleh melindungi mata daripada retinopati diabetes.
Retinopati diabetes ialah penyakit radang mata yang tidak berjangkit tetapi boleh mengakibatkan kecacatan atau kehilangan penglihatan yang disebabkan oleh komplikasi diabetes.
Satu kajian semula yang melibatkan 31 kajian melaporkan bahawa minyak ikan (Omega-3) mempunyai perkaitan dengan pengurangan risiko kepada penyakit retinopati diabetes. [10]
Rumusan
Secara umumnya terdapat 8 jenis vitamin dan nutrien yang memainkan peranan penting terhadap kesihatan mata. Vitamin-vitamin ini juga turut berperanan dalam mencegah penyakit berkaitan mata seperti katarak, degenerasi makular berkaitan usia, retinopati diabetes dan lain-lain lagi.
Pemakanan yang sihat adalah kunci utama untuk mendapatkan vitamin-vitamin ini dalam diet harian. Buah-buahan, sayur-sayuran dan ikan berlemak adalah sumber-sumber untuk mendapatkan vitamin-vitamin untuk kesihatan mata ini.
Sekiranya anda mengalami kekurangan sesetengah daripada vitamin ini, pengambilan vitamin-vitamin ini dalam bentuk suplemen boleh membantu.
Rujukan
- Feroze KB, Kaufman EJ. Xerophthalmia. [Updated 2021 Apr 25]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK431094/
- Age-Related Eye Disease Study Research Group (2001). A randomized, placebo-controlled, clinical trial of high-dose supplementation with vitamins C and E, beta carotene, and zinc for age-related macular degeneration and vision loss: AREDS report no. 8. Archives of ophthalmology.
- Liu, R. et al. (2014). Lutein and zeaxanthin supplementation and association with visual function in age-related macular degeneration. Investigative ophthalmology & visual science.
- Jia, Y. P. et al. (2017). The Pharmacological Effects of Lutein and Zeaxanthin on Visual Disorders and Cognition Diseases. Molecules.
- Jacques, P. F., & Chylack, L. T., Jr (1991). Epidemiologic evidence of a role for the antioxidant vitamins and carotenoids in cataract prevention. The American journal of clinical nutrition.
- Lim, J. C. et al. (2020). Vitamin C and the Lens: New Insights into Delaying the Onset of Cataract. Nutrients.
- Zhang, Y. et al. (2015). Vitamin E and risk of age-related cataract: a meta-analysis. Public health nutrition.
- Christen, W. G. et al. (2009). Folic acid, pyridoxine, and cyanocobalamin combination treatment and age-related macular degeneration in women: the Women’s Antioxidant and Folic Acid Cardiovascular Study. Archives of internal medicine.
- Suwannasom, N. et al. (2020). Riboflavin: The Health Benefits of a Forgotten Natural Vitamin. International journal of molecular sciences.
- Wong, M. et al. (2018). Dietary intake and diabetic retinopathy: A systematic review. PloS one.