Apa itu Virus Zika?
Virus Zika adalah penyakit yang disebabkan oleh virus bawaan nyamuk Aedes yang menggigit pada waktu siang dan malam.
Penyakit ini buat pertama kalinya dikenal pasti di Uganda pada tahun 1947 pada monyet. Ia kemudiannya dikenal pasti pada manusia pada tahun 1952 di Uganda dan Tanzania.
Gejala atau simptom bagi virus Zika ini biasanya ringan bagi kebanyakan orang. Meskipun begitu, sekiranya wanita mengandung dijangkiti virus ini. Ia boleh menyebabkan kecacatan kepada bayi di dalam kandungan, keguguran atau kelahiran pramatang.

Gejala-gejala atau Tanda
Gejala-gejala atau tanda biasanya akan muncul 3 hingga 14 hari selepas terdedah kepada virus Zika.
Kebanyakan orang yang dijangkiti dengan virus Zika tidak menunjukkan sebarang gejala atau simptom.
Gejala-gejala yang berlaku biasanya adalah ringan seperti:
- Demam
- Ruam
- Sakit sendi atau otot
- Konjunktivitis (mata merah)
- Sakit kepala
- Malais (rasa lemah dan tidak selesa)
Simptom-simptom ini biasanya berlaku selama 2 hingga 7 hari. Virus jenis ini juga amatlah jarang menyebabkan kematian.
Punca
Virus Zika berpunca daripada gigitan nyamuk Aedes yang membawa virus tersebut. Terdapat dua jenis nyamuk Aedes yang dikenal pasti membawa virus ini iaitu Aedes aegypti dan Aedes albopictus. Kedua-dua jenis nyamuk Aedes ini boleh dijumpai di seluruh dunia.
Apabila nyamuk Aedes ini menggigit orang yang telah dijangkiti virus Zika, nyamuk tersebut pula akan dijangkiti. Kemudian, apabila nyamuk yang telah dijangkiti ini menggigit orang lain, orang tersebut pula akan dijangkiti.
Virus Zika juga boleh menjangkiti wanita mengandung. Virus ini boleh merebak daripada si ibu kepada bayi dalam kandungannya.
Selain itu, virus ini juga boleh tersebar melalui hubungan kelamin. Dalam sesetengah kes, virus ini boleh merebak melalui pemindahan darah dan organ.
Rawatan
Tiada rawatan untuk jangkitan virus Zika atau penyakit yang berkaitan dengannya.
Simptom-simptom yang dialami biasanya ringan. Pesakit boleh merawat simptom-simptom tersebut dengan:
- Rehat yang cukup
- Meminum air dengan banyak bagi mengelakkan dehidrasi
- Mengambil ubat tahan sakit seperti paracetamol untuk mengurangkan demam dan kesakitan
Wanita mengandung yang tinggal di kawasan berisiko tinggi dengan penularan virus Zika, yang menunjukkan simptom-simptom jangkitan terhadap virus ini mestilah mendapatkan rawatan di klinik atau hospital untuk ujian lanjut.
Komplikasi
Wanita mengandung yang dijangkiti oleh virus ini boleh mengalami komplikasi yang serius seperti keguguran, kelahiran pramatang, atau kematian bayi sewaktu lahir.
Semasa mengandung juga, bayi dalam dalam kandungan juga berisiko tinggi untuk mengalami kecacatan seperti:
- Saiz kepala dan otak yang lebih kecil daripada normal dengan sebahagian tengkorak runtuh.
- Kerosakan otak dan kekurangan tisu otak
- Kerosakan mata
- Masalah sendi yang boleh menghadkan pergerakan
Bagi orang dewasa pula, virus ini boleh menyebabkan komplikasi seperti sindrom Gullain-Barre (sindrom yang menyebabkan sistem imun merosakkan saraf), gangguan sistem saraf dan keradangan pada saraf tunjang.
Langkah Pencegahan
Langkah pencegahan adalah amat penting kerana setakat ini penyakit ini belum mempunyai ubat atau vaksin.
Beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil adalah:
- Lindungi diri anda dan orang lain dengan mencegah daripada gigitan nyamuk.
- Lindungi diri anda semasa melakukan hubungan kelamin (intim) dengan memakai kondom .
- Merancang perjalanan ke tempat-tempat yang berisiko tinggi. Wanita mengandung disarankan untuk menggelakkan daripada berkunjung ke tempat-tempat berisiko tinggi.
- Memakai pakaian yang boleh melindungi daripada gigitan nyamuk.
- Menggunakan racun serangga atau ubat nyamuk.
- Memakai kelambu semasa tidur terutamanya wanita mengandung.
Rujukan
- WHO. (2018). Zika Virus. [pautan]
- Division of vector-Borne Disease (DVBD). (2019). About Zika. CDC