Veruka adalah istilah perubatan kepada ketuat. Veruka atau ketuat ini adalah ketumbuhan pada kulit yang disebabkan oleh jangkitan virus humanpapilloma (HPV).
Walaupun jangkitan ini tidak menyebabkan kesakitan, namun ia boleh menyebabkan rasa tidak selesa atau menjejaskan penampilan diri individu yang dijangkiti.
Ketuat boleh berlaku di kaki, jari tangan, bahagian kelamin dan anggota badan yang lain.
Artikel ini akan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai jenis-jenis ketuat, punca yang menyebabkan ketuat dan rawatan perubatan yang boleh dilakukan untuk menghilangkan ketuat.
Jenis-jenis Ketuat (Veruka)
Terdapat 5 jenis ketuat. Setiap satunya mempunyai rupa yang berlainan dan tumbuh di bahagian anggota badan yang berbeza.
1. Ketuat Biasa (Veruka Vulgaris)
Ketuat biasa adalah ketuat yang selalu tumbuh di bahagian jari dan belakang tangan tetapi boleh juga tumbuh di kawasan lain.
Ketuat ini kasar, kelihatan berbiji dan bulat dibahagian atas. Warnanya pula adalah seperti warna kulit atau lebih kelabu berbanding kulit sekelilingnya.
2. Ketuat Plantar (Veruka Plantaris)
Ketuat jenis ini lazimnya tumbuh di bahagian tapak kaki. Contohnya di kawasan tumit kaki. Jika ketuat ini tumbuh dalam bentuk kumpulan, ia dikenali sebagai ketuat mozek. Ketuat ini tebal, kuat dan rata.
Berbeza daripada ketuat lain, ketuat ini tumbuh ke dalam kulit. Ketuat plantar boleh mengandungi titik hitam di atasnya.
3. Ketuat Rata (Veruka Plana)
Ketuat rata ini berbentuk rata seperti namanya. Ketuat rata biasanya tumbuh di muka, peha dan lengan. Saiznya lebih kecil berbanding jenis yang lain tetapi terjadi dalam kuantiti yang banyak.
4. Ketuat Filiform
Ketuat filiform berbentuk seperti berduri, berjejari atau seperti berus. Ketuat jenis ini biasanya tumbuh di kawasan mulut, hidung dan mata. Warnanya pula boleh berwarna coklat, kuning, merah jambu atau warna kulit.
5. Ketuat Kelamin
Ketuat ini tersebar apabila seseorang itu mempunyai sentuhan seksual dengan mereka yang telah mempunyai ketuat ini. Ketuat kelamin berbentuk seperti kubis bunga dan berwarna seperti warna kulit.
Varian virus HPV yang menyebabkan ketuat kelamin terutamanya pada wanita boleh membawa kepada kanser serviks atau kanser kelamin lain.
Punca yang Menyebabkan Ketuat (Veruka)
Ketuat atau veruka berpunca daripada jangkitan virus yang dikenali sebagai virus humanpapilloma (HPV). Terdapat lebih daripada 150 jenis atau varian virus HPV ini.
Semua orang terdedah kepada virus ini, sama ada melalui sentuhan antara manusia atau pada objek-objek yang mengandungi virus ini.
Namun begitu, tidak semua orang akan dijangkiti dengan ketuat atau veruka ini. Hanya golongan yang mempunyai sistem imun yang rendah lebih mudah dijangkiti.
Adakah Ketuat Boleh Berjangkit dan Bagaimana Ketuat Merebak?
Ketuat mudah untuk berjangkit. Ketuat ini boleh berjangkit daripada seorang individu kepada individu yang lain melalui sentuhan.
Ia juga boleh tersebar dari satu bahagian badan ke bahagian badan yang lain. Oleh itu, pastikan anda membasuh tangan selepas menyentuh ketuat di badan anda.
Virus humanpapilloma ini juga boleh berpindah dari seorang individu kepada individu yang lain melalui perkongsian objek seperti tuala, baju atau pisau pencukur.
Virus ini menyukai kawasan yang hangat dan lembap.
Rawatan Perubatan bagi Menghilangkan Ketuat (Veruka)
Bagi kanak-kanak, ketuat biasanya akan hilang dengan sendirinya. Bagi orang dewasa pula, ketuat mungkin lebih sukar atau memakan masa yang lama untuk hilang dengan sendrinya.
Terdapat banyak pilihan rawatan yang boleh dilakukan untuk menghilangkan ketuat ini. Selain rawatan perubatan, rawatan dirumah juga boleh dicuba untuk menghilangkan ketuat ini.
Objektif rawatan ini adalah untuk menghapuskan ketuat dan merangsang sistem imunisasi untuk melawan jangkitan virus.
Rawatan ini boleh mengambil masa beberapa minggu hingga beberapa bulan.
1. Ubat preskripsi
Ubat preskripsi dengan kandungan asid salisiklik yang kuat boleh membantu menghilangkan ketuat lapisan demi lapisan dalam satu jangka masa tertentu.
2. Pembekuan (Cryotherapy)
Kaedah pembekuan yang dipanggil “cryotherapy” ini melibatkan penggunaan cecair nitrogen pada ketuat.
Rawatan jenis ini akan menyebabkan lepuh dibawah dan disekeliling ketuat. Kemudian, tisu-tisu yang mati akan luruh dalam masa seminggu atau lebih.
Kaedah pembekuan ini mungkin perlu diulang beberapa kali dalam proses menghilangkan ketuat tersebut.
Selain itu, kaedah ini turut merangsang sistem imun badan untuk melawan jangkitan virus.
3. Pembedahan kecil
Rawatan ini melibatkan pemotongan ketuat. Nama spesifik bagi rawatan ini ialah Electrodesiccation dan Curettage.
Ketuat akan dikeringkan dengan jarum elektrik dan doktor akan mengikis keluar ketuat menggunakan alat yang dipanggil Curette.
Rawatan ini kebiasaannya akan menyebabkan parut.
4. Pembedahan laser
Rawatan ini akan memanaskan dan memusnahkan ketuat dengan sinaran laser. Rawatan ini boleh menyebabkan parut.
Rumusan
Veruka atau ketuat adalah ketumbuhan pada kulit yang disebabkan oleh jangkitan virus humanpapilloma (HPV).
Secara umumnya, terdapat lima (5) jenis ketuat yang dicirikan mengikut lokasi ia tumbuh dan bentuk ketuat ini.
Manakala bagi rawatannya pula, terdapat beberapa kaedah rawatan perubatan yang boleh dilakukan bergantung kepada saranan oleh doktor.
Kebanyakan rawatan boleh mendatangkan rasa sakit dan parut. Walau bagaimanapun, parut ini boleh dipudarkan atau dihilangkan dengan produk-produk yang menghilangkan parut.
Sekiranya anda mempunyai masalah kencing manis dan sistem imun yang rendah, elakkan daripada melakukan rawatan dirumah atau rawatan sendiri. Hal ini dikhuatiri akan mendatangkan bahaya dan membawa masalah yang lain.
Rujukan
- Al Aboud AM, Nigam PK. Wart. [Updated 2020 Aug 11]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: NCBI
- MedlinePlus. (n.d.). Warts.
- Mayo Clinic Staff. (2020). Common warts. MayoClinic.