Apa itu Vaksin Difteria?
Vaksin difteria adalah imunisasi yang diberikan untuk mencegah difteria. Difteria ialah sejenis jangkitan bakteria. Ia menyebabkan keradangan yang teruk pada hidung dan kerongkong.
Bermula pada tahun 2020, di bawah Program Imunisasi Kebangsaan untuk Kanak-kanak, vaksin difteria diberikan dalam bentuk kombinasi vaksin enam serangkai iaitu difteria-tetanus-pertussis-polio-Hepatitis B-Haemophilus influenza type b (DTaP-IPV-HepB-Hib).
Vaksin DTaP-IPV-HepB-Hib (Hexaxim®/ Hexyon®/ Hexacima®) ini turut mengandungi toksin yang tidak aktif daripada bakteria Difteria.
Apa itu Difteria?
Difteria adalah radang pada selaput hidung dan kerongkong yang disebabkan oleh toksin (racun) yang dihasilkan oleh bakteria Difteria.
Kesannya adalah bengkak pada saluran pernafasan yang mengakibatkan saluran pernafasan tersumbat dan mungkin menyebabkan kematian.
Penyakit difteria boleh dirawat dengan antibiotik. Adalah penting untuk diberikan antitoksin dengan segera bagi mengelakkan kerosakan berkekalan pada jantung dan sistem saraf atau kematian.
Pemberian imunisasi dapat melindungi anda dan anak anda daripada penyakit difteria.
Komplikasi
Penyakit difteria boleh menyebabkan komplikasi seperti:
- Sukar bernafas
- Pneumonia (radang paru-paru)
- Kegagalan paru-paru
- Masalah jantung
- Lumpuh
- Kematian
Siapa yang Memerlukan Vaksin Difteria?
Di Malaysia, bayi adalah golongan yang disarankan untuk mendapatkan vaksin ini. Setiap seorang disarankan untuk mendapatkan 4 dos vaksin pada umur:
- 2 bulan
- 3 bulan
- 5 bulan
- 18 bulan (dos penggalak)
Bagi orang dewasa yang tidak pernah menerima suntikan vaksin difteria, mereka boleh mendapatkan vaksin ini pada bila-bila masa di fasiliti kesihatan swasta.
Siapa yang Tidak Disarankan Mendapatkan Vaksin Difteria?
Sesetengah orang mungkin perlu mengelak atau menunggu sebelum menerima sesuatu vaksin. Sebagai contoh, sekiranya anak anda sedang sakit seperti demam selesema, anda harus menunda terlebih dahulu janji temu untuk mendapatkan suntikan vaksin.
Bagi vaksin difteria, golongan yang mempunyai penyakit atau masalah kesihatan berikut perlu mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan sebelum mengambil vaksin ini:
- Mempunyai sejarah tindak balas alahan yang teruk selepas menerima suntikan vaksin.
- Mempunyai sejarah tindak balas seperti sakit yang teruk, bengkak dan demam melebihi 40°C selepas menerima suntikan vaksin.
- Menghidap sindrom Guillain-Barre.
- Menghidap sawan.
Bagaimana Vaksin Difteria Diberikan?
Vaksin difteria diberikan bersama-sama melalui suntikan vaksin enam serangkai yang dikenali sebagai vaksin DTaP-IPV-HepB-Hib.
Mengikut Jadual Imunisasi Kebangsaan Bagi Kanak-kanak 2020, vaksin enam serangkai ini diberikan kepada bayi atau kanak-kanak seawal umur 2 bulan.
Vaksin ini terdiri daripada 4 dos termasuklah 1 dos penggalak (booster).
Keberkesanan Vaksin Difteria
Vaksin enam serangkai DTaP-IPV-HepB-Hib adalah vaksin yang berkesan dan selamat. Seperti vaksin-vaksin lain yang berdaftar di Malaysia, kesan advers susulan imunisasi (adverse events following immunization, AEFI) vaksin tersebut dipantau oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sejak ia digunakan oleh fasiliti kesihatan swasta di Malaysia, tiada sebarang isu keselamatan serius yang dilaporkan.
Kajian turut melaporkan bahawa pengambilan vaksin ini boleh menyediakan keimunan pada jangka masa yang panjang sehingga umur 9-10 tahun.
Kesan Sampingan
Kebanyakan orang tidak mempunyai sebarang masalah yang teruk selepas mendapat vaksinasi difteria. Sesetengah orang mungkin mengalami kesan sampingan yang ringan. Kesan sampingan ini biasanya hilang dengan sendirinya selepas beberapa jam atau hari.
Anda atau anak anda mungkin mengalami kesan sampingan seperti:
- Sakit badan
- Kelesuan
- Sakit kepala
- Demam ringan
- Hilang selera makan
- Loya dan muntah
- Kemerahan atau bengkak pada tempat dicucuk
Rujukan
- McCormack P. L. (2013). DTaP-IPV-Hep B-Hib vaccine (Hexaxim®) : a review of its use in primary and booster vaccination. Paediatric drugs.
- Cho, H. K. et al. (2021). Recommendation for use of diphtheria and tetanus toxoids and acellular pertussis, inactivated poliovirus, Haemophilus influenzae type b conjugate, and hepatitis B vaccine in infants. Clinical and experimental pediatrics.
- Cleveland Clinic medical professional. (2021). Diphtheria Vaccine. Cleveland Clinic