Betulkah ubat yang menjadi punca kerosakan buah pinggang? Banyak cakap-cakap yang mengatakan begitu. Adakah sahih atau tidak?
Mari kita fahami dengan betul, adakah ubat yang menyebabkan kerosakan buah pinggang atau sebaliknya?
Pesakit perlu faham bahawa kepatuhan kepada ubat-ubatan merupakan antara salah satu kunci kepada keberkesanan rawatan. Perkara ini penting terutamanya untuk pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi, masalah jantung dan lain-lain lagi.
Untuk memastikan penyakit yang dihidapi sentiasa terkawal, pesakit harus mengambil ubat-ubatan pada dos dan kekerapan pengambilan seperti yang diarahkan oleh doktor atau ahli farmasi.
Walau bagaimanapun, terdapat sebilangan pesakit yang memilih untuk tidak mengambil ubat-ubatan yang telah diberikan kerana lebih mempercayai bahawa ubat-ubatan tersebut adalah punca yang menyebabkan kerosakan buah pinggang.
Apatah lagi sekiranya diambil dalam tempoh yang panjang. Malah, kepercayaan ini juga menyebabkan segelintir daripada mereka mengambil produk suplemen atau sediaan tradisional sebagai rawatan alternatif.
Ketidakpatuhan Kepada Rawatan Punca Kerosakan Buah Pinggang
Sebenarnya, kajian menunjukkan bahawa antara punca utama yang menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang ialah keadaan penyakit diabetes dan hipertensi yang tidak terkawal.
Keadaan ini secara berpanjangan akan meningkatkan risiko komplikasi penyakit, termasuklah kerosakan buah pinggang.
Tanggapan pesakit bahawa ubat-ubatan boleh merosakkan buah pinggang menyebabkan mereka berasa khuatir untuk meneruskan rawatan hingga mengakibatkan penyakit diabetes dan hipertensi yang dihidapi tidak dapat dikawal secara optimum.
Fakta yang sebenarnya ialah ubat-ubatan yang diberikan untuk merawat diabetes dan hipertensi telah dijamin dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanannya.
Jika diambil mengikut dos, kekerapan dan tempoh yang diarahkan, risiko untuk ubat-ubatan tersebut menyebabkan sebarang kesan mudarat kepada fungsi buah pinggang adalah rendah.
Pengambilan Produk Kesihatan Tidak Berdaftar Juga Boleh Mengakibatkan Kerosakan Buah Pinggang
Tindakan pesakit menggunakan produk suplemen dan sediaan tradisional sebagai tambahan atau alternatif kepada ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor merupakan satu lagi faktor yang meningkatkan risiko kegagalan buah pinggang.
Tambah membimbangkan lagi sekiranya produk tersebut tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Hal ini demikian kerana produk yang tidak berdaftar tidak dijamin dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanannya untuk mengawal penyakit.
Malah, produk ini dikhuatiri mengandungi bahan terlarang yang berisiko mengakibatkan kerosakan buah pinggang seperti ubat tahan sakit daripada kumpulan non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) serta logam berat seperti merkuri dan plumbum.
Elak Pengambilan Ubat Melebihi Dos Dan Kekerapan Yang Disarankan
Bukan itu sahaja, kebarangkalian untuk kerosakan buah pinggang terjadi boleh meningkat sekiranya seseorang individu mengambil ubat dengan cara yang salah.
Sebagai contoh, pengambilan ubat-ubatan yang berisiko mengakibatkan kegagalan buah pinggang secara tanpa kawalan atau melebihi dos yang disarankan.
Nasihat Untuk Pesakit dan Orang Awam
Pesakit diabetes dan hipertensi harus patuh kepada ubat-ubatan yang telah diberikan. Ubat-ubatan tersebut telah dipastikan berkualiti, selamat dan berkesan untuk membantu mengawal penyakit.
Kepatuhan kepada ubat-ubatan dapat membantu mengelakkan komplikasi kerosakan buah pinggang.
Selain itu, pesakit dinasihatkan agar mendapatkan nasihat yang menyeluruh tentang dos dan kekerapan pengambilan ubat daripada doktor atau ahli farmasi.
Bukan itu sahaja, pesakit tidak seharusnya menggandakan sendiri dos ubat-ubatan kerana tindakan ini akan meningkatkan risiko berlakunya kejadian terlebih dos ubat.
Pesakit juga tidak seharusnya menghentikan rawatan dan memilih untuk menggunakan produk alternatif tanpa berbincang dahulu dengan ahli profesional kesihatan.
Berhati-hati dengan iklan atau penjual produk alternatif yang mendakwa produk tersebut berkesan menyembuhkan penyakit kronik dan selamat daripada sebarang kesan sampingan.
Pesakit dan orang awam turut digesa agar tidak mudah mempercayai sebarang maklumat yang meragukan tentang ubat-ubatan.
Jika terdapat sebarang persoalan tentang ubat-ubatan, pesakit digalakkan untuk merujuk pihak yang lebih berkredibiliti, seperti doktor atau ahli farmasi.
Informasi yang tidak tepat tidak seharusnya dikongsikan kepada orang lain hingga menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Sebagai kesimpulannya, pesakit dan orang awam harus mengubah persepsi tentang kesan pengambilan ubat-ubatan kepada fungsi buah pinggang.
Perkara ini penting agar mereka yang perlu mengambil ubat-ubatan berasa lebih yakin dan terus patuh kepada rawatan.
Pengambilan ubat-ubatan mengikut dos, kekerapan dan tempoh yang diarahkan dapat membantu mengurangkan risiko kerosakan buah pinggang.
Kenali ubat anda, sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan boleh diajukan kepada Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Center, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang, kecuali cuti umum).
Artikel ini diterbitkan sempena Hari Buah Pinggang yang disambut pada 14 Mac setiap tahun.
Mohemmad Redzuan Mohemmad Rizal
En. Mohemmad Redzuan Bin Mohemmad Rizal ialah seorang pegawai farmasi bagi Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.