Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi pada tahun 2019 melaporkan bahawa sebanyak 19.7% rakyat Malaysia didapati mengalami obesiti, manakala 30.4% mempunyai berat badan yang berlebihan.
Lebih membimbangkan, hampir satu pertiga (29.8%) responden berumur antara 5 dan 13 tahun mempunyai masalah ini.
Kajian tersebut juga menunjukkan bahawa masalah berat badan berlebihan dan obesiti lebih ketara dalam kalangan wanita (54.7%) dan individu yang berumur antara 55 hingga 59 tahun (60.9%).
Statistik yang membimbangkan ini menunjukkan bahawa masalah obesiti harus ditangani dengan sewajarnya.
Pendekatan yang menyeluruh dari pelbagai kaedah seperti terapi psikologi dan tingkah laku, terapi pemakanan perubatan yang disesuaikan mengikut individu, intervensi aktiviti fizikal dan penggunaan farmakoterapi yang bersesuaian.
Selain itu, langkah pencegahan seperti gaya pemakanan sihat, amalan aktiviti fizikal, dan pengurusan stres yang baik perlu ditekankan kepada individu yang mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami obesiti.
Farmakoterapi untuk Obesiti
Rawatan untuk individu yang mengalami obesiti haruslah dimulakan dengan penilaian status kesihatan yang menyeluruh.
Farmakoterapi untuk obesiti hanya disyorkan untuk pesakit dengan indeks jisim tubuh (body mass index, BMI) ≥30 kg/m2 bagi individu tanpa sebarang masalah kesihatan lain atau BMI ≥27 kg/m2 bagi individu yang menghidap penyakit lain.
Selain itu, ubat untuk obesiti tidak boleh digunakan sebagai rawatan tunggal serta harus dimulakan bersama-sama dengan kaedah lain seperti pengubahsuaian diet yang seimbang, gaya hidup sihat dan perubahan tingkah laku.
Malah, rawatan antiobesiti hendaklah digunakan dengan pengawasan dan pemantauan berterusan oleh doktor dan ahli farmasi.
Apa itu Orlistat?
Terdapat beberapa jenis ubat yang boleh diberi untuk obesiti dan salah satunya ialah orlistat.
Ubat orlistat tergolong dalam kumpulan yang dipanggil perencat enzim lipase yang berfungsi untuk mengurangkan penyerapan lemak di dalam badan.
Enzim lipase ini memainkan peranan penting dalam proses pencernaan lemak daripada diet. Enzim ini berfungsi untuk memecahkan lemak kompleks menjadi asid lemak bebas dan lemak ringkas yang boleh diserap oleh sistem pencernaan.
Orlistat pula bertindak dengan menghalang fungsi enzim lipase ini mengakibatkan proses pemecahan lemak kompleks tidak dapat berlaku dan seterusnya menyebabkan tiada asid lemak bebas yang dapat diserap oleh badan.
Orlistat merupakan satu-satunya ubat yang tidak bertindak secara sistemik dan boleh digunakan untuk rawatan obesiti bagi suatu jangka masa panjang.
Ubat ini dikategorikan sebagai Ubat Terkawal tanpa preskripsi dan boleh diperoleh di kedai farmasi selepas konsultasi dengan ahli farmasi.
Kesan Sampingan Orlistat
Kesan sampingan orlistat yang paling lazim ialah:
- Sakit kepala
- Ketidakselesaan perut
- Najis cair dan berminyak
- Pergerakan usus yang sukar dikawal
- Cirit-birit
- Perut kembung
- Keletihan dan kegelisahan
Beberapa kesan sampingan ini berpunca daripada jumlah lemak yang meningkat di dalam saluran pencernaan kerana tidak diserap dengan sepenuhnya oleh badan.
Walau bagaimanapun, kesan sampingan tersebut akan berkurang secara beransur-ansur dengan pengambilan orlistat yang berterusan.
Selain itu, amalan diet rendah kalori dan rendah lemak dapat juga mengurangkan kesan sampingan ini.
Cara Pengambilan Orlistat yang Betul
Orlistat perlu diambil tiga kali sehari, sebelum waktu makan utama. Pesakit harus mengambil orlistat sejurus sebelum atau sekurang-kurangnya 1 jam selepas setiap waktu makan utama.
Sekiranya pesakit terlepas waktu makan atau mengambil makanan yang rendah kandungan lemak, dos ubat orlistat pada waktu makan tersebut tidak perlu diambil.
Pesakit disaran untuk mengambil orlistat bersama-sama diet yang rendah kalori.
Bukan itu sahaja, pesakit seharusnya merekodkan berat badan sebelum memulakan rawatan obesiti dengan orlistat.
Kemudian, merekodkan berat badan pada beberapa sela masa yang sesuai untuk memantau keberkesanannya.
Pesakit harus menghentikan rawatan orlistat selepas 12 minggu jika gagal mengurangkan sekurang-kurangnya 5% daripada berat badan asal.
Orlistat tidak disyorkan untuk wanita hamil dan yang menyusukan anak. Pesakit hendaklah memaklumkan kepada doktor atau ahli farmasi tentang status kehamilan atau jika mereka sedang menyusukan anak sebelum memulakan rawatan dengan orlistat.
Tambahan lagi, pengambilan orlistat juga berkemungkinan menyebabkan penyerapan vitamin larut lemak, seperti vitamin A, D, E dan K menjadi berkurangan.
Oleh sebab itu, pesakit digalakkan supaya mengambil suplemen multivitamin yang mengandungi vitamin larut lemak untuk memastikan pengambilan nutrien penting adalah mencukupi.
Pengambilan multivitamin harus dijarakkan sekurang-kurangnya dua jam daripada masa pengambilan orlistat, atau diambil sebelum tidur.
Mengoptimumkan Rawatan Orlistat untuk Pengurusan Obesiti yang Berkesan
Sebelum pengambilan orlistat, pesakit harus sentiasa mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi untuk memastikan ubat ini sesuai dengan status kesihatan dan keperluan mereka secara individu.
Pesakit yang mengambil orlistat dinasihatkan agar mengamalkan konsep 5B (pesakit yang betul, ubat yang betul, dos yang betul, cara pengambilan ubat yang betul dan masa pengambilan yang betul) apabila mengambil ubat orlistat.
Di samping itu, pesakit diingatkan bahawa pengambilan orlistat harus disertai dengan perubahan tingkah laku yang konsisten.
Pesakit digalakkan untuk terus melakukan senaman secara berkala, serta mengambil diet yang seimbang bagi mengekalkan berat badan mereka.
Kenali ubat anda, sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan boleh diajukan kepada Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Center, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang, kecuali cuti umum).