Sudah pasti ramai yang berasa mengantuk atau letih selepas makan. Keadaan ini membuatkan anda berasa ingin tidur. Tetapi mungkin anda tertanya-tanya adakah tidur selepas makan baik atau tidak baik untuk diri anda?
Sesetengah makanan dan waktu makan boleh menyebabkan anda penat selepas makan. Penurunan paras tenaga selepas makan ini dikenali sebagai somnolens pascaprandial (postprandial somnolence) atau mengantuk pascaprandial.
Kenapa Anda Berasa Penat atau Mengantuk Selepas Makan?
Berasa penat, mengantuk atau mengalami kesukaran menumpukan perhatian selepas makan adalah perkara biasa. Seseorang mungkin berasa sangat letih, bergantung pada apa, bila, dan berapa banyak yang mereka makan.

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keadaan ini, antaranya adalah:
Jenis makanan yang dimakan
Makanan yang tinggi dengan karbohidrat dan protein akan membuatkan anda berasa lebih mengantuk daripada makanan lain.
Sesetengah penyelidik percaya bahawa seseorang berasa letih selepas makan kerana badan mereka menghasilkan lebih banyak hormon serotonin.
Hormon serotonin adalah hormon yang berperanan mengawal mood dan kitaran tidur manusia.
Penghasilan hormon serotonin ini disumbang oleh makanan tinggi protein yang mengandungi asid amino yang dipanggil triptofan. Triptofan ini membantu badan menghasilkan hormon serotonin.
Karbohidrat pula akan membantu lebih banyak triptofan untuk sampai ke otak dan meningkatkan penghasilan hormon serotonin tersebut. [1]
Atas sebab ini memakan makanan yang tinggi protein dan karbohidrat akan membuatkan anda berasa mengantuk.
Jumlah Hidangan atau Makanan yang Dimakan
Anda juga boleh berasa mengantuk selepas makan jika memakan makanan yang banyak pada satu-satu masa.
Mereka yang makan hidangan yang besar pada waktu tengah hari lebih cenderung untuk berasa mengantuk berbanding mereka yang makan sedikit.
Hal ini disebabkan oleh peningkatan paras gula darah yang membawa kepada penurunan tenaga dan membuatkan anda berasa letih.
Selain itu, meminum alkohol bersama-sama hidangan utama pada siang hari juga boleh menyebabkan rasa mengantuk. Ini disebabkan oleh alkohol yang mempunyai kesan mengantuk. [2]
Tidur yang Tidak Mencukupi
Rasa mengantuk selepas makan tengah hari mungkin dikuatkan lagi oleh rasa mengantuk akibat tidak cukup tidur pada waktu malam.
Keadaan ini akan membuatkan anda berasa penat dan mengantuk sepanjang hari.
Adakah Tidur Selepas Makan Baik?
Secara umumnya, tidur selepas makan adalah tidak baik untuk badan anda. Namun, ia masih bergantung kepada apa yang anda makan dan waktu anda tidur.
Mengantuk selepas makan boleh terjadi pada dua situasi iaitu selepas makan tengah hari atau selepas makan malam.
Tengah Hari
Bagi selepas makan tengah hari, tidur sebentar atau berehat (qailulah) selepas makan tengah hari sekitar 15-45 minit sebelum waktu Zohor boleh membuatkan anda berasa lebih segar dan peka.
Malah, terdapat kajian-kajian yang menyokong bahawa tidur sebentar selepas makan tengah hari sekitar 15-45 minit boleh meningkatkan kepekaan dan prestasi. Walau bagaimanapun, tidur terlalu lama selepas makan tengah hari boleh mendatangkan kesan sebaliknya. [3, 4, 5]
Malam
Manakala bagi makan malam pula, tidur sejurus makan malam terutamanya pada lewat malam boleh mendatangkan kesan buruk.
Tidur sejurus makan malam boleh meningkatkan risiko kepada peningkatan berat badan atau obesiti dan menjejaskan waktu tidur.
Anda dinasihatkan untuk makan malam sekurang-kurang 2-3 jam sebelum waktu tidur anda. Ini bertujuan memberi tempoh masa yang mencukupi untuk pencernaan berlaku dan membolehkan makanan yang dimakan memasuki usus kecil anda.
Di samping itu juga, sesetengah makanan juga boleh mengganggu tidur anda. Sebagai contoh, makanan berlemak atau berat boleh menyebabkan kembung dan sakit perut yang menyebabkan anda tidak selesa dan terjaga.
Makanan yang pedas pula boleh menyebabkan pedih hulu hati atau ketidakcernaan yang boleh membuatkan anda berjaga pada waktu malam.
Bagaimana untuk Menghentikan Rasa Mengantuk Selepas Makan?
Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi menghentikan rasa mengantuk selepas makan terutamanya pada waktu tengah hari.
Antaranya adalah:
- Makan pada kadar yang sedikit dan kerap.
- Mendapatkan tidur malam yang berkualiti.
- Melakukan senaman ringkas seperti berjalan selepas makan.
- Tidur sebentar selepas makan tengah hari.
- Mendedahkan diri kepada cahaya yang terang selepas makan tengah hari.
- Elakkan meminum minuman keras (alkohol).
Rujukan
- Wurtman, R. J., & Wurtman, J. J. (1988). Do carbohydrates affect food intake via neurotransmitter activity?. Appetite.
- Thakkar, M. M. et al. (2015). Alcohol disrupts sleep homeostasis. Alcohol.
- Takahashi, M. et al. (1998). Brief naps during post-lunch rest: effects on alertness, performance, and autonomic balance. European journal of applied physiology and occupational physiology.
- Waterhouse, J. et al. (2007). The role of a short post-lunch nap in improving cognitive, motor, and sprint performance in participants with partial sleep deprivation. Journal of sports sciences.
- Romdhani, M. et al. (2021). The effect of post-lunch napping on mood, reaction time, and antioxidant defense during repeated sprint exercice. Biology of sport.