Tidur Qailulah atau boleh juga dipanggil “power nap” membawa maksud tidur atau berehat pada pertengahan siang atau semasa waktu kerja.
Di dalam Islam, amalan Qailulah adalah salah satu amalan sunat yang disepakati oleh jumhur ulama. Antara dalil yang menyebut tentang anjuran untuk tidur Qailulah adalah hadith daripada Anas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidurlah Qailulah (tidur pada pertengahan siang hari) kerana syaitan tidaklah mengambil tidur Qailulah.” HR al-Tabarani dan Abu Nu’aim. [1]
Waktu Qailulah
Terdapat banyak pandangan para fuqaha berkenaan waktu Qailulah.
Menurut Imam al-Nawawi, beliau menyatakan bahawa Qailulah ialah tidur pada waktu tengah hari.
Manakala, Al-Khatib al-Syarbini pula menyebut bahawa tidur Qailulah adalah tidur sebelum matahari tergelincir. Ini bermaksud waktu sebelum matahari tergelincir adalah sebelum masuk waktu zohor.
Al-Munawi pula berkata bahawa Qailulah adalah tidur pada pertengahan siang hari ketika waktu zawal (matahari tergelincir ke barat) atau mendekati waktu zawal atau boleh jadi sesudahnya.
Maka, secara ringkasnya dapat disimpulkan bahawa waktu Qailulah adalah sebelum Zohor dan ada juga berpandangan selepas Zohor.
Namun yang lebih cenderung kepada pandangan Qailulah adalah berehat atau tidur sebentar sebelum masuknya waktu Zohor.
Kebaikan Tidur Qailulah dari Sudut SAINS
Dalam Islam, Qailulah dilihat sebagai perbuatan sunat yang boleh membantu seseorang itu untuk bangun beribadah pada waktu malam hari.
Sungguhpun begitu, sebenarnya Qailulah mempunyai manfaat atau kebaikan yang lebih daripada itu.
Penyelidikan-penyelidikan daripada para saintis turut mendapati tidur Qailulah atau tidur sebentar pada waktu tengah hari boleh membantu seseorang itu kembali cergas dan bertenaga.
Meningkatkan Kepekaan dan Prestasi
Satu kajian klinikal yang dijalankan oleh National Institute of Industrial Health, Jepun mendapati kumpulan peserta yang tidur sebentar selama 15 minit selepas makan tengah hari boleh meningkatkan kepekaan dan prestasi bagi mereka yang mendapat tidur yang normal pada malam sebelumnya. [2]
Kajian lain yang dijalankan terhadap atlet lelaki mendapati tidur sebentar selama 30 minit selepas makan tengah hari boleh meningkatkan kepekaan dan prestasi mental dan fizikal bagi mereka yang tidak mendapatkan tidur malam yang cukup. [3]
Kajian pada tahun 2019 terhadap atlet karate turut mendapati tidur sebentar selama 30 minit pada waktu tengah hari meningkatkan kepekaan dan mengurangkan kemerosotan prestasi akibat tidak cukup tidur atau kelesuan akibat latihan. [4]
Menstabilkan Emosi atau Mood
Terdapat juga kajian yang mendapati tidur Qailulah boleh membantu menstabilkan emosi atau mood bagi mereka yang kekurangan tidur.
Satu kajian kecil yang dijalankan pada tahun 2020 mendapati tidur sebentar selama 30 minit pada waktu tengah hari berjaya mengurangkan keresahan (kebimbangan), kelesuan dan kemurungan akibat daripada kekurangan tidur. [5]
Kajian yang lebih terkini turut mendedahkan bahawa tidur sebentar selama 20 minit boleh meningkatkan mood dan mengurangkan rasa mengantuk bagi mereka yang mendapatkan yang normal pada malam sebelumnya. [6]
Jangan Tidur Berlebihan
Meskipun tidur Qailulah mempunyai kebaikannya, namun tidur sebentar pada waktu tengah hari secara berlebihan juga turut mempunyai kesan yang buruk.
Tempoh yang sesuai untuk tidur Qailulah adalah antara 15-30 minit.
Sekiranya anda tidur secara berlebihan iaitu melebihi 1 jam, ia akan memberikan kesan negatif terhadap badan anda.
Satu kajian pada tahun 2021 mendedahkan bahawa mereka yang tidur pada waktu tengah hari selama 90 minit (1 jam 30 minit) menjadi lebih mengantuk dan prestasinya merosot. [7]
Rumusan
Tidur Qailulah adalah satu amalan sunnah yang baik terutamanya kepada mereka yang ingin beribadah pada waktu malam dan mereka yang ingin meningkatkan kepekaan dan prestasi selepas waktu tengah hari.
Anda boleh mengamalkannya dengan tidur sebentar atau berehat selama 15-30 minit sebelum waktu Zohor.
Elakkan tidur secara berlebihan dan kunci jam sekiranya anda sukar untuk bangun (jaga).
Rujukan
- Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. (2022). Maksud Qailulah dan Waktunya. Maktabahalbakri
- Takahashi, M. et al. (1998). Brief naps during post-lunch rest: effects on alertness, performance, and autonomic balance. European journal of applied physiology and occupational physiology.
- Waterhouse, J. et al. (2007). The role of a short post-lunch nap in improving cognitive, motor, and sprint performance in participants with partial sleep deprivation. Journal of sports sciences.
- Daaloul, H. et al. (2019). Effects of Napping on Alertness, Cognitive, and Physical Outcomes of Karate Athletes. Medicine and science in sports and exercise.
- Souissi, M. et al. (2020). Effects of a 30 min nap opportunity on cognitive and short-duration high-intensity performances and mood states after a partial sleep deprivation night. Journal of sports sciences.
- Romdhani, M. et al. (2021). The Effect of Experimental Recuperative and Appetitive Post-lunch Nap Opportunities, With or Without Caffeine, on Mood and Reaction Time in Highly Trained Athletes. Frontiers in psychology.
- Romdhani, M. et al. (2021). The effect of post-lunch napping on mood, reaction time, and antioxidant defense during repeated sprint exercise. Biology of sport.