Jika tabiat anda adalah tidur sehingga berlebihan, maka anda perlu mengubahnya kerana tidur berlebihan boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit jantung, obesiti atau diabetes.
Adalah benar tidur yang nyenyak adalah penting untuk kesihatan. Tetapi, tidur berlebihan adalah sebaliknya. Tidur berlebihan dan tidak cukup tidur kedua-duanya boleh meningkatkan risiko kepada masalah kesihatan.
Tidur berlebihan yang berlaku sekali sekala akibat daripada kepenatan atau perjalanan, itu adalah perkara biasa. Namun, jika tidur berlebihan tersebut adalah rutin maka, ia adalah sesuatu yang perlu dibimbangkan.

Tabiat tidur berlebihan biasanya menunjukkan sesuatu perkara yang lain sedang berlaku seperti gangguan tidur atau masalah perubatan lain.
Tidur berlebihan juga boleh menjadi gejala atau simptom kepada masalah kesihatan yang tersembunyi.
Berapa Lama Tidur Dianggap Tidur Berlebihan?
Jumlah tidur yang anda perlukan berbeza-beza dengan ketara sepanjang hayat anda.
Ia bergantung pada umur, tahap aktiviti, kesihatan umum dan gaya hidup anda. Secara umumnya, bagi orang dewasa, tidur selama 7-8 jam semalaman dikira tidur yang mencukupi.
Menurut The Sleep Foundation, tidur selama lebih daripada 9 jam sehari dikira sebagai tidur berlebihan.
Punca Tidur Berlebihan
Terdapat beberapa faktor atau punca yang boleh menyebabkan tidur berlebihan. Sebagai contoh:
- Hipersomnia: Hipersomnia ialah keadaan yang menyebabkan seseorang itu mengantuk yang ekstrem pada sepanjang hari. Ia juga membuatkan penghidapnya tidur terlalu lama pada waktu malam.
- Apnea Tidur Obstruktif: Apnea tidur obstruktif menyebabkan seseorang itu berhenti bernafas sekejap semasa tidur. Keadaan ini menambah keperluan untuk tidur.
- Kemurungan: Kemurungan juga boleh menyebabkan seseorang itu tidur berlebihan.
- Alkohol dan ubat-ubatan: Selain gangguan tidur, alkohol dan ubat-ubatan juga boleh menyebabkan tidur berlebihan.
Kesan Tidur Berlebihan Terhadap Kesihatan
Tidur berlebihan dikaitkan dengan banyak penyakit atau masalah kesihatan. Antaranya adalah:
1. Tidur Berlebihan Menyebabkan Sakit Kepala
Bagi sesetengah orang yang terdedah kepada sakit kepala, tidur lebih lama daripada biasa boleh menyebabkan sakit kepala.
Satu kajian melaporkan bahawa mereka yang tidur lebih lama dan mempunyai kualiti tidur yang teruk mengalami sakit kepala yang lebih teruk pada keesokkan harinya. [1]
2. Tidur Berlebihan Menyebabkan Obesiti
Tidur terlalu banyak atau terlalu sedikit boleh menyebabkan berat badan meningkat.
Satu kajian pada tahun 2008 menunjukkan bahawa orang yang tidur selama 9-10 jam setiap malam adalah 21% lebih berkemungkinan menjadi obes dalam tempoh 6 tahun berbanding orang yang tidur antara 7-8 jam. [2]
Hubungan antara tidur dan obesiti ini kekal sama walaupun pengambilan makanan dan senaman diambil kira.
3. Tidur Berlebihan Menyebabkan Sakit Belakang
Tidur berlebihan juga boleh meningkatkan keberangkalian untuk anda mengalami sakit belakang atau sakit pinggang.
Hal ini mungkin disebabkan oleh posisi tidur anda yang tidak sesuai yang ditambah dengan bantal dan tilam yang tidak menyokong postur badan anda.
4. Tidur Berlebihan Menyebabkan Penyakit Jantung
Tidur berlebihan juga boleh meningkatkan risiko anda terhadap penyakit jantung seperti penyakit jantung koronari.
Satu analisis yang melibatkan 17 kajian melaporkan bahawa mereka yang tidur 7-8 jam sehari mempunyai risiko paling rendah terhadap penyakit jantung koronari. [3]
Jika dibandingkan dengan 7 jam tidur sehari, risiko penyakit jantung koronari meningkat sebanyak 7% bagi setiap satu jam tidur yang berlebihan.
5. Tidur Berlebihan Menyebabkan Kemurungan
Kemurungan dan tidur cenderung untuk saling berkaitan. Kemurungan boleh menyebabkan seseorang tidur lebih lama.
Sebaliknya, tidur lebih lama boleh mengekalkan keadaan kemurungan seseorang.
Satu kajian mendapati tidur yang berlebihan sangat berkait dengan kecelaruan episod kemurungan major. [4]
6. Tidur Berlebihan Menyebabkan Diabetes Jenis 2
Tidur berlebihan juga boleh meningkatkan risiko kepada penyakit kencing manis atau diabetes jenis 2.
Terdapat kajian-kajian yang menunjukkan perkaitan antara tidur yang berlebihan dengan peningkatan risiko terhadap diabetes.
Satu analisis yang melibatkan 11 kajian menyimpulkan bahawa risiko paling rendah untuk diabetes jenis 2 adalah dalam kalangan orang yang mendapat tidur 7-8 jam sehari, manakala tempoh tidur pendek dan panjang dikaitkan dengan risiko diabetes jenis 2 yang lebih tinggi. [5]
Satu kajian terkini turut melaporkan bahawa terdapat perkaitan antara tempoh tidur dengan kejadian penyakit kencing manis (diabetes jenis 2). [6]
Mereka yang tidur 10 jam atau lebih dalam sehari didapati berisiko tinggi untuk menghidap penyakit diabetes jenis 2. Peningkatan risiko ini disebabkan pengurangan fungsi fungsi rembesan insulin.
Rumusan
Walaupun tidur itu satu keperluan dan penting untuk kesihatan badan. Namun, tidur berlebihan juga adalah tidak baik.
Terdapat kajian-kajian yang menunjukkan bahawa tidur berlebihan boleh meningkatkan risiko terhadap penyakit-penyakit seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes jenis 2, sakit kepala dan lain-lain.
Oleh itu, adalah penting untuk kita mendapatkan tidur yang cukup dan berkualiti serta tidak berlebihan.
Rujukan
- Kikuchi, H. et al. (2011). Does sleep aggravate tension-type headache?: An investigation using computerized ecological momentary assessment and actigraphy. BioPsychoSocial medicine.
- Chaput, J. P. et al. (2008). The association between sleep duration and weight gain in adults: a 6-year prospective study from the Quebec Family Study. Sleep.
- Wang, D. et al. (2016). Sleep duration and risk of coronary heart disease: A systematic review and meta-analysis of prospective cohort studies. International journal of cardiology.
- Ohayon, M. M. et al. (2013). Excessive sleep duration and quality of life. Annals of neurology.
- Shan, Z. et al. (2015). Sleep duration and risk of type 2 diabetes: a meta-analysis of prospective studies. Diabetes care.
- Jang, J. H. et al. (2023). Association between Sleep Duration and Incident Diabetes Mellitus in Healthy Subjects: A 14-Year Longitudinal Cohort Study. Journal of clinical medicine.