Sebelum ini media ada melaporkan bahawa Pihak Berkuasa Makanan Singapura (SFA) telah mengarahkan agar produk Kicap Soya Manis dan Sambal Sos Ayam Goreng berjenama ABC ditarik balik dari pasaran negara tersebut berikutan mengandungi bahan alergen iaitu sulfur dioksida yang tidak diisytiharkan atau dilabel pada pembungkusan.
Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui satu kenyataan hari ini menyatakan bahawa pihaknya telah melakukan semakan ke atas data Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) mengesahkan produk Kicap Soya Manis dan Sambal Ayam Goreng jenama ABC tersebut turut diimport ke negara ini.
Walau bagaimanapun, sejak Jun 2021 arahan Tahan Uji Lepas (TUL) telah dikenakan ke atas produk Kicap Soya Manis berjenama ABC di semua pintu masuk negara.

Arahan pelabelan semula atau arahan untuk dihantar semula ke negara asal turut dikeluarkan sekiranya tidak mematuhi keperluan pelabelan termasuk pelabelan sulfur dioksida.
Manakala pemantauan yang dijalankan di semua pintu masuk negara dan di pasaran tempatan dari Jun 2021 sehingga kini, tiada sampel produk kicap soya termasuk Kicap Soya ABC dikesan mengandungi sulfur dioksida.
Apa itu Sulfur Dioksida dalam Makanan?
Sulfur dioksida diklasifikasikan sebagai bahan pengawet yang dibenarkan dalam makanan tertentu dan pada paras tertentu di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Sulfur dioksida tidak berbahaya kepada manusia apabila digunakan dalam kepekatan yang dibenarkan tetapi ia boleh menyebabkan kesan alahan kepada sesetengah individu yang mengidap lelah atau asma apabila terhidu atau tertelan.
Kandungan sulfur dioksida melebihi 10mg/kg hendaklah diisytiharkan atau dilabelkan.
Nasihat Kepada Orang Ramai
Kepada masyarakat atau orang ramai yang mempunyai persoalan atau kemusykilan berkaitan isu ini atau isu-isu keselamatan makanan yang lain, anda semua boleh menghubungi:
- Pejabat Kesihatan Daerah terdekat
- Laman web Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) KKM di alamat https://moh.spab.gov.my/eApps/system/index.do
- Laman rasmi facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) https://facebook.com/bkkmhq