Tepung gandum bersubsidi yang dijual di pasaran Malaysia kini diperkaya dengan asid folik dan zat besi. Pelaksanaan fortifikasi terhadap tepung gandum ini telah dilaksanakan sejak 1 Julai 2021.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Bin Abdullah, Kementerian Kesihatan Malaysia menyambut baik inisiatif pihak Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehawal Pengguna (KPDNHEP) bagi melaksanakan fortifikasi tepung gandum dengan asid folik dan zat besi di bawah Program Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am (PSTG) pek 1 kilogram.
Inisiatif ini dapat meningkatkan pengambilan asid folik dan zat besi dalam kalangan rakyat Malaysia secara menyeluruh.
Langkah intervensi kesihatan awam ini dilihat boleh mengurangkan masalah kesihatan berkaitan dengan kekurangan zat besi atau asid folik yang boleh menyebabkan anemia dan kecacatan saraf tunjang.
Kepentingan Asid Folik & Zat Besi
Asid folik adalah vitamin sintetik dan larut air yang digunakan dalam suplemen dan makanan yang difortifikasi.
Asid folik ialah versi folat yang dibuat oleh manusia. Folat ialah vitamin B semulajadi yang boleh diperolehi daripada makanan. Badan manusia tidak dapat menghasilkan folat ini, maka ia harus diperolehi melalui pemakanan.
Kekurangan folat atau asid folik ini boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan terutamanya kepada wanita mengandung.
Antara komplikasi akibat kekurangan folat adalah:
- Kecacatan saraf tunjang bagi bayi (NTD) – Kecacatan ini boleh menyebabkan bayi dilahirkan dengan tempurung kepala yang tidak lengkap, tumbesaran otak terencat dan pembentukan tulang belakang yang tidak sempurna.
- Kekurangan sel-sel darah putih dan platelet – Sekiranya seseorang itu mempunyai sel-sel darah putih yang rendah, mereka terdedah kepada jangkitan kerana sistem imun mereka menjadi lemah.
- Anemia akibat kekurangan folat – Anemia ialah keadaan dimana sel-sel darah adalah rendah dan tidak mencukupi.
Zat besi pula adalah mineral yang diperlukan oleh badan untuk membawa oksigen ke seluruh anggota badan. Kekurangan zat besi boleh menyebabkan anemia.
Anemia boleh mengakibatkan kelahiran pra-matang dan menjejaskan perkembangan mental, fizikal dan kognitif yang seterusnya akan menyebabkan masalah kurang berat lahir dan terbantut.
Selain itu, zat besi juga penting untuk mengekalkan kesihatan sel-sel badan, kulit, rambut dan kuku.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, 1 daripada 5 (21.3%) rakyat Malaysia mengalami masalah anemia dan secara khususnya 3 daripada 10 (30.0%) wanita usia reproduktif (15-49 tahun) mengalami masalah anemia.
KKM Menyambut Baik
Kementerian Kesihatan Malaysia menyambut baik pelaksanaan ini dan pihak pengilang juga turut memberikan kerjasama yang baik.
Langkah pelaksanaan fortifikasi ini diharap dapat diteruskan ke atas semua tepung gandum dalam pasaran di Malaysia secara mandatori.