Susulan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) pada 1 Oktober 2024 pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mewartakan sebanyak 28 tempat larangan merokok.
Akta 852 merangkumi peraturan-peraturan yang melibatkan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan serta larangan merokok di tempat awam.
Akta ini turut memperuntukan larangan penjualan produk merokok yang berbentuk permainan dan menarik perhatian golongan kanak-kanak serta remaja yang bertujuan mengekang kebolehdapatan produk tersebut.
Berikut adalah 28 kawasan larangan merokok yang telah diwartakan:
- Kawasan hospital atau klinik
- Lif atau tandas awam
- Kedai berhawa dingin
- Taman asuhan kanak-kanak
- Kawasan lapangan terbang kecuali kawasan atau bilik merokok yang telah diluluskan
- Bangunan hentian pengangkutan awam
- Bangunan Parlimen Malaysia
- Kompleks membeli belah
- Kawasan premis kerajaan
- Kawasan institusi pendidikan atau institusi pendidikan tinggi
- Tempat makan
- Mana-mana kawasan yang digunakan bagi apa-apa aktiviti perhimpunan sama ada di mana-mana tempat awam atau di dalam sesuatu bangunan selain bangunan kediaman atau persendirian.
- Kaunter perkhidmatan awam
- Kawasan stesen minyak
- Bangunan stadium, pusat kecergasan atau gimnasium
- Kompleks sukan
- Bangunan atau tempat awam yang digunakan untuk tujuan keagamaan
- Kawasan perpustakaan
- Kafe internet
- Kawasan tempat latihan khidmat negara
- Kawasan rehat dan rawat (R&R) kecuali tempat letak kereta awam terbuka
- Kawasan taman awam kecuali tempat letak kereta awam terbuka
- Di dalam bas sekolah
- Di dalam kenderaan awam
- Menara cerapan, tapak perkhemahan, titian kanopi dan lima meter dari laluan masuk atau keluar titian kanopi dalam taman negara atau taman negeri
- Pusat hiburan atau teater kecuali kasino
- Bangunan dobi
- Bangunan tempat kerja
Bangunan dobi dan bangunan tempat kerja turut diwartakan sebagai tempat dilarang merokok namun tindakan penguatkuasaan bagi kedua-dua tempat ini hanya akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2025.
Bangunan atau premis dobi menjadi kawasan larangan merokok kerana sering didatangi ibu yang membawa anak kecil.
Apa yang perlu dilakukan oleh pemilik premis dobi ialah segera mendapatkan tanda amaran larangan merokok untuk diletakkan di premis masing-masing.