Kajian mendapati telefon pintar boleh menjejaskan peranti perubatan yang diimplan seperti perentak jantung atau defibrilator kardioverter.
US Food and Drug Administration (FDA) melalui satu kenyataan telah menasihatkan agar pesakit yang mempunyai implan peranti perubatan seperti perentak jantung atau defibrilator kardioverter supaya menjarakkan peranti pintar seperti telefon atau jam pintar sekurang-kurangnya 6 inci daripada peranti perubatan mereka.
Saranan ini disokong oleh kajian yang diterbitkan dalam jurnal Heart Rhythm. Saranan ini dikeluarkan atas dasar kebimbangan peranti elektronik pintar menyebabkan gangguan terhadap operasi normal peranti perubatan yang diimplan tersebut.
Peranti pintar seperti telefon atau jam pintar pada masa kini mempunyai keupayaan untuk menghasilkan medan magnet yang kuat.
Keupayaan ini dibimbangi boleh menyebabkan gangguan pada operasi peranti yang diimplan dalam badan pesakit.
Peranti perubatan seperti perentak jantung atau defibrilator kardioverter mempunyai “tetapan magnet”.
Tetapan ini direka supaya tetapan ini boleh digunakan semasa pesakit menjalani prosedur perubatan yang melibatkan gangguan elektromagnet atau apabila penangguhan peranti ini diperlukan untuk rawatan perubatan.
Walau bagaimanapun, ciri-ciri ini boleh dicetuskan secara tidak sengaja oleh medan magnet yang kuat melebihi 10G.
Ia akan menyebabkan perubahan terhadap bagaimana peranti perubatan ini berfungsi dan boleh mendatangkan bahaya kepada pesakit.
Jika sebelum ini, medan magnet yang kuat ini hanya boleh dihasilkan oleh alat elektronik yang besar. Tetapi kemajuan teknologi telah mengubah landskap ini.
Peralatan kecil seperti fonkepala, pembesar suara telefon kecil atau pengunci pintu boleh menghasilkan medan magnet yang kuat.
Pengkaji menguji medan magnet yang dihasilkan oleh semua jenis iPhone 12 dan Apple Watch 6 pada jarak yang berbeza-beza daripada peranti perubatan ini.
Mereka mendapati kesemua peranti pintar ini boleh menghasilkan medan magnet yang lebih besar daripada 10G pada jarak yang dekat, cukup untuk mengaktifkan peranti yang diimplan ini kepada tetapan magnet.
Namun begitu, sekiranya jarak sekurang-kurangnya 6 inci atau lebih dikekalkan, telefon atau jam pintar ini tidak mencetuskan tetapan magnet.
Berdasarkan kajian ini, pihak FDA mengambil langkah memberikan maklumat kepada pesakit dan penyedia jagaan kesihatan agar mereka peka dengan risiko yang wujud dan mengambil langkah pencegahan sewajarnya.
Pesakit dinasihatkan tidak meletakkan telefon pintar atau alat elektronik yang lain di dalam poket di bahagian dada mereka.
Pihak FDA percaya risiko kepada pesakit adalah rendah. Tetapi, jumlah peranti elektronik dengan medan magnet yang kuat semakin meningkat dari semasa ke semasa.