Apakah itu Iodin?
Iodin ialah mineral perlu yang kebiasaannya boleh diperolehi melalui pengambilan makanan laut. Walaupun badan kita hanya memerlukan mineral ini pada kadar sedikit, namun kekurangannya boleh mendatangkan masalah. Artikel kali ini akan menerangkan tanda-tanda kekurangan iodin yang boleh dijadikan panduan untuk semua.
Setiap orang memerlukan iodin untuk membolehkan badan menghasilkan hormon tiroid di kelenjar tiroid. Ini bermakna kekurangan iodin boleh menyebabkan kekurangan hormon tiroid.
Fungsi iodin ini adalah amat penting kerana hormon tiroid berperanan penting dalam pertumbuhan, perkembangan dan kawalan proses metabolisme badan manusia di semua peringkat umur.
Selain itu, iodin juga penting untuk pembentukan otak janin terutamanya bagi perkembangan otak dan fungsi saraf. Iodin turut berperanan penting kepada wanita mengandung bagi mencegah golongan ini daripada masalah hipotiroidisme dan goiter.
Kekurangan iodin merupakan masalah dunia dimana kira-kira satu pertiga daripada penduduk dunia berisiko tinggi mengalami kekurangan iodin ini. [1]
Bagi di Malaysia pula, pada November 2018, seluruh Malaysia telah diwartakan untuk menggunakan garam beriodin secara wajib bagi kegunaan isi rumah menurut saranan WHO, UNICEF dan ICCIDD.
Peraturan ini berkuatkuasa mulai 30 September 2020.
Tanda-tanda Kekurangan Iodin
Kekurangan iodin akan menyebabkan ketidakselesaan dan beberapa tanda atau simptom. Tanda-tanda ini juga adalah hampir sama dengan masalah hipotiroidisme atau hormon tiroid yang rendah.
Antara tanda-tanda kekurangan iodin adalah seperti:
1. Bengkak di Leher
Bengkak di bahagian hadapan leher dimana terletaknya kelenjar tiroid adalah tanda yang paling jelas dan paling lazim berlaku akibat kekurangan iodin.
Keadaan ini turut dikenali sebagai goiter. Ia menyebabkan kelenjar tiroid membesar.
Pada keadaan normal, kelenjar tiroid menghasilkan hormon tiroid menggunakan iodin. Tetapi, apabila badan kekurangan iodin, kelenjar tiroid ini tidak menghasilkan hormon tiroid secukupnya.
Kesannya, kelenjar ini akan bekerja dengan lebih kuat untuk menghasilkan hormon ini. Ini menyebabkan sel-sel membesar dan bertambah yang membawa kepada bengkak di leher ini.
2. Kelesuan dan Rasa Lemah
Kelesuan dan rasa lemah otot adalah antara tanda-tanda awal yang lazim berlaku bagi kekurangan iodin.
Keadaan ini berlaku kerana hormon tiroid membantu badan menghasilkan tenaga. Maka kekurangan hormon ini turut menganggu penghasilan tenaga oleh badan.
3. Kenaikan Berat Badan
Kenaikan berat badan tanpa diduga ini juga boleh menjadi petanda awal kepada kekurangan iodin.
Keadaan ini berlaku kerana hormon tiroid turut berperanan dalam kawalan proses metabolisme. Kekurangan hormon tiroid menyebabkan badan membakar lebih sedikit kalori. [2]
Lebihan kalori yang dimakan akan disimpan sebagai lemak dan seterusnya menyumbang kepada kenaikan berat badan.
4. Kulit Kering Bersisik
Kulit kering bersisik dan kasar juga merupakan salah satu tanda kekurangan iodin.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa sebanyak 77% mereka yang mengalami hormon tiroid rendah atau hipotiroid menunjukkan simptom kulit kering. [3]
Hormon tiroid juga turut mempunyai peranan dalam penjanaan semula sel-sel kulit. Sekiranya hormon tiroid ini berkurangan, penjanaan sel-sel kulit tidak berlaku seperti yang sepatutnya.
Keadaan ini boleh menyebabkan kulit menjadi kering, kasar dan bersisik. [4]
5. Berasa Sejuk Luar Biasa
Mereka yang mengalami kekurangan iodin juga mudah untuk berasa sejuk daripada kebiasaannya.
Kajian menunjukkan 84% individu yang mengalami kekurangan hormon tiroid mengalami kepekaan terhadap suhu sejuk berbanding kebiasaannya. [3]
Keadaan ini berlaku kerana hormon tiroid terlibat dalam metabolisme badan. Kekurangan hormon tiroid ini menyebabkan metabolisme badan menjadi rendah.
Metabolisme yang rendah menghasilkan haba yang sedikit. Ini menyebabkan individu kekurangan iodin mengalami kesejukan yang diluar daripada kebiasaannya.
6. Suara Menjadi Serak atau Garau
Kekurangan iodin juga boleh menganggu suara dengan menyebabkan suara menjadi serak atau garau.
Menurut kajian, kira-kira 74% mereka yang mengalami hormon tiroid yang rendah akan mengalami perubahan suara seperti suara menjadi serak atau garau. [3]
Suara serak dan garau ini dipercayai disebabkan oleh pengumpulan bendalir dan polisakarida di peti suara, pembengkakan kelenjar tiroid dan kawasan sekeliling. [5]
Pembengkakan ini mengurangkan ini menyebabkan penurunan keupayaan getaran.
7. Fungsi Kognitif Terjejas
Fungsi kognitif seperti pembelajaran dan ingatan juga boleh terjejas akibat daripada kekurangan iodin.
Keadaan ini disebabkan hormon tiroid turut memainkan peranan dalam perkembangan otak.
Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2004 hingga 2009 melaporkan bahawa mereka yang mempunyai hormon tiroid yang lebih tinggi menunjukkan keputusan yang lebih baik dalam ujian kognitif berbanding mereka yang mempunyai hormon tiroid yang rendah. [6]
8. Keguguran Rambut
Tanda kekurangan iodin yang seterusnya ialah keguguran rambut. Keguguran rambut ini berlaku dikeseluruhan kulit kepala dan tidak berlaku secara bertompok.
Rambut akan kelihatan jarang dan proses penyembuhan kepada masalah ini memerlukan rawatan terhadap hormon tiroid yang rendah ini.
9. Haid Tidak Teratur atau Pendarahan Banyak
Seterusnya, haid yang tidak teratur atau pendarahan yang banyak daripada kebiasaan boleh menjadi tanda kepada kekurangan iodin.
Tanda atau gejala ini turut melibatkan hormon tiroid yang rendah.
Gangguan kitaran haid dan pendarahan yang banyak semasa haid ini disebabkan oleh hormon tiroid yang rendah yang mengganggu hormon berkaitan kitaran haid. Kerosakan terhadap pemberhentian pendarahan mungkin menyumbang kepada pendarahan yang banyak ini. [7]
10. Denyutan Jantung Menjadi Perlahan
Perubahan denyutan jantung turut boleh menjadi petanda kepada kekurangan iodin.
Kebiasaanya, semasa rehat, kadar denyutan jantung orang yang normal adalah sekitar 60 hingga 100 denyutan seminit.
Tetapi, bagi mereka yang mengalami hormon tiroid yang rendah kadar denyutan jantung mereka akan rendah sekitar 10 atau 20 denyutan seminit.
11. Muka Menjadi Sembab
Kekurangan iodin juga boleh menyebabkan muka menjadi sembab atau bengkak.
Berdasarkan kajian, kira-kira 76% mereka yang mengalami kekurangan iodin dan hormon tiroid ini akan menunjukkan tanda seperti muka menjadi sembab. [3]
Makanan Tinggi Iodin
Pengambilan makanan yang tinggi iodin adalah satu cara untuk mencegah dan merawat masalah kekurangan iodin ini.
Antara makanan yang tinggi dengan kandungan iodin adalah:
- Siput sedut
- Ikan bilis
- Garam beriodin
- Kupang
- Kepah
- Kerang
- Ikan kembung
- Ikan tenggiri
- Telur ayam
- Rumpai laut
- Bayam
Rumusan
Kekurangan iodin adalah masalah kesihatan yang berlaku di kebanyakan negara di seluruh dunia.
Walaupun iodin ini tidak mendapat perhatian seperti mineral dan vitamin lain, tetapi iodin mempunyai peranan yang cukup besar dalam fungsi dan kesihatan badan manusia.
Kekurangan iodin boleh menyebabkan kekurangan hormon tiroid atau hipotiroid dan sekiranya berterusan tanpa rawatan boleh menyebabkan gangguan kekurangan iodin.
Terdapat tanda-tanda kekurangan iodin atau hormon tiroid rendah yang boleh dikenalpasti seperti bengkak di leher, kelesuan atau lemah otot, kenaikan berat badan, kulit kering bersisik, berasa sejuk luar biasa dan lain-lain lagi.
Kekurangan iodin boleh dicegah dan dirawat dengan pengambilan makanan yang tinggi dengan iodin.
Rujukan
- World Health Organization. Regional Committee for the Eastern Mediterranean Regional Strategy on Nutrition 2010–2019. [(diakses pada 1 Mei 2021)]. EM/RC57/4.
- Kim B. (2008). Thyroid hormone as a determinant of energy expenditure and the basal metabolic rate. Thyroid : official journal of the American Thyroid Association.
- Kostoglou-Athanassiou, I., & Ntalles, K. (2010). Hypothyroidism – new aspects of an old disease. Hippokratia.
- Safer J. D. (2011). Thyroid hormone action on skin. Dermato-endocrinology.
- Junuzović-Žunić, L. et al. (2019). Voice Characteristics in Patients with Thyroid Disorders. The Eurasian journal of medicine.
- Beydoun, M. A. et al. (2013). Thyroid hormones are associated with cognitive function: moderation by sex, race, and depressive symptoms. The Journal of clinical endocrinology and metabolism.
- Koutras D. A. (1997). Disturbances of menstruation in thyroid disease. Annals of the New York Academy of Sciences.