Sebelum kita meneliti tanda-tanda kanser limfoma, adalah penting untuk kita mengetahui apa itu limfoma.
Limfoma ialah sejenis kanser darah yang terbentuk apabila sel-sel darah putih yang dikenali sebagai ‘limfosit’ membesar tanpa kawalan. Limfosit adalah sebahagian daripada sistem imunisasi badan.
Sel-sel limfosit ini akan mengalir diseluruh badan melalui sistem limfa. Sistem limfa ini sama seperti sistem peredaran darah, membawa cecair yang dipanggil limfa.
Cecair ini akan melalui kelenjar-kelenjar limfa atau nodus-nodus limfa yang terdapat diseluruh badan.
Terdapat 2 kategori utama kanser limfoma iaitu dikenali sebagai Hodgkin dan Bukan Hodgkin. [1]
Kedua-dua jenis atau kategori penyakit ini mempunyai tanda-tanda atau gejala yang sama.
Limfoma Hodgkin
Limfoma Hodgkin boleh dikenalpasti melalui kehadiran sel kanser yang besar yang dikenali sebagai sel Reed-Sternberg (limfosit B yang membesar secara tidak normal).
Penyakit jenis ini biasanya merebak dari satu nodus limfa ke satu nodus limfa lain yang bersebelahan dengannya.
Limfoma Bukan Hodgkin
Limfoma Bukan Hodgkin pula ialah kanser yang terbentuk daripada limfosit-B atau T dalam nodus limfa atau tisu dalam badan.
Penyakit jenis ini tidak merebak kepada setiap nodus limfa yang terletak bersebelahan dengannya, ada yang ditinggalkan dan ada yang dijangkiti.
Limfoma Bukan Hodgkin adalah 3 kali lebih biasa terjadi berbanding limfoma Hodgkin.
Tanda-tanda Kanser Limfoma
Kanser limfoma adalah antara kanser yang sukar untuk dikesan pada peringkat awal. Tanda-tanda awal mungkin tidak ada atau tidak begitu jelas. Tanda-tanda biasa untuk kanser ini juga agak umum dan kadang kalanya berkait dengan penyakit lain.
Antara tanda-tanda kanser ini adalah: [2, 3, 4, 5]
1. Bengkak pada kelenjar limfa
Bengkak ini selalunya tidak menyebabkan rasa sakit. Selalunya, bengkak ini berlaku di leher, ketiak atau pangkal peha.
2. Demam berpanjangan
Demam ini boleh berpanjangan lebih beberapa hari dan minggu tanpa sebarang jangkitan.
3. Sukar bernafas
Kesukaran bernafas, nafas pendek dan batuk adalah antara tanda atau gejala yang mungkin berkaitan dengan kanser ini.
4. Berpeluh pada waktu malam
Berpeluh pada waktu malam ini boleh menyebabkan baju dan cadar anda basah. Ia juga boleh berlaku semasa waktu siang. Berpeluh malam ini boleh juga disebabkan oleh faktor (penyakit) lain.
Oleh itu, dapatkan rawatan daripada doktor untuk mengetahui punca sebenar.
5. Keletihan berpanjangan
Rasa letih berpanjangan tanpa sebab atau rasa lesu walaupun hanya melakukan kerja yang sedikit mungkin tanda-tanda kepada kanser ini.
Keletihan ini tidak sama seperti letih yang normal. Keletihan ini selalunya tidak hilang walaupun selepas anda berehat atau tidur. Keletihan boleh juga disebabkan penyakit lain.
6. Penurunan berat badan tanpa sebab
Penurunan berat badan tanpa sebab bermakna anda kehilangan berat badan agak cepat dan tanpa anda berdiet atau usaha untuk turunkan berat badan.
Sel-sel kanser ini akan mengunakan lebih banyak sumber tenaga badan anda semasa badan cuba untuk melawan sel-sel kanser ini. Keadaan ini akan membawa kepada penurunan berat badan yang mendadak.
7. Ruam dan gatal-gatal
Kanser limfoma kadangkala boleh menyebabkan ruam atau gatal-gatal tanpa ruam.
Ruam dan gatal-gatal ini selalunya berlaku dibahagian kaki. Ruam ini selalunya mudah tertukar dengan penyakit lain seperti ekzema.
Sekiranya ruam ini tidak hilang dengan sendirinya selepas 2 minggu, dapatkan rawatan daripada doktor untuk penilaian lebih lanjut.
8. Sakit dada atau rasa tekanan pada dada
Keadaan ini jarang berlaku. Sekiranya ia berlaku, ini mungkin disebabkan oleh kanser limfoma ini memberi kesan terhadap kelenjar timus yang terletak diantara paru-paru.
Tanda-tanda Kanser Limfoma kepada Kanak-kanak
Kanak-kanak juga akan turut mengalami gejala-gejala atau tanda-tanda kanser yang sama seperti yang dialami oleh orang dewasa.
Tetapi mereka mungkin akan mengalami gejala-gejala yang lain seperti:
- Perut membengkak (menjadi buncit).
- Sakit pada bahagian perut.
- Rasa kenyang walaupun makan sangat sedikit.
- Sesak nafas atau batuk.
Rawatan Kanser Limfoma
Rawatan bergantung kepada jenis kanser, tahap kanser, kesihatan keseluruhan pesakit, dan juga pilihan pesakit.
Bagi kanser limfoma yang berkembang secara perlahan (gred rendah) mungkin tidak memerlukan rawatan terus. Cukup sekadar pemantauan aktif.
Pemantauan aktif atau pengawasan aktif melibatkan pemeriksaan biasa dengan pasukan kesihatan untuk memantau kesihatan dan memastikan kanser tersebut tidak merebak.
Sekiranya rawatan diperlukan, beberapa jenis atau pilihan rawatan adalah seperti berikut: [2]
1. Pembedahan
Terhad kepada jenis non-hodgkin limfoma tahap 1
2. Radioterapi (radiasi)
- Melibatkan dos radiasi yang tinggi dan boleh membunuh sel-sel kanser.
- Untuk jenis limfoma tahap 1 atau 2.
- Bagi kanser limfoma tahap 3 atau 4, rawatan ini digabung dengan kemoterapi.
- Diberikan kepada pesakit yang menjalani rawatan pemindahan sum-sum tulang.
- Juga diberikan sebagai rawatan untuk melegakan simptom kepada pesakit kanser tahap akhir (tahap 4)dan juga cara untuk menghilangkan kesakitan.
3. Kemoterapi
Rawatan ini menggunakan ubat-ubat tertentu untuk membunuh sel-sel yang berkembangbiak seperti sel kanser akan tetapi sel-sel lain mungkin juga akan turut terjejas.
4. Imunoterapi
Rawatan ini memberikan antibodi tiruan (klon) kepada pesakit bertujuan untuk membantu sistem pertahanan badan untuk melawan antigen yang terdapat pada sel-sel kanser.
5. Pemindahan sum-sum tulang
- Rawatan ini melibatkan penggunaan kemoterapi pada dos tinggi untuk mengosongkan sum-sum tulang.
- Kemudian, dilakukan pemindahan sel stem yang diperolehi oleh pesakit atau penderma lain.
- Rawatan ini khusus kepada jenis kanser yang berulang, tidak menunjukkan respon yang baik terhadap kemoterapi, dan terhadap jenis limfoma yang agresif dan mudah berulang.
Kaedah rawatan yang sesuai akan ditentukan oleh doktor selepas melakukan diagnosa terhadap pesakit.
Adakah Pesakit Limfoma Boleh Sembuh?
Pesakit kanser limfoma mempunyai harapan yang tinggi untuk sembuh. Kadar penyembuhan bergantung kepada seteruk mana sel-sel kanser ini telah merebak dan jenis kanser ini.
Menurut Persatuan Kanser Amerika, peratusan pesakit yang masih hidup selepas 5 tahun (5 year survival rate) untuk limfoma bukan Hodgkin adalah 70%.
Manakala bagi limfoma Hodgkin pula bergantung kepada tahap kanser ini. Bagi kanser limfoma Hodgkin tahap 1, peratusan pesakit yang masih hidup selepas 5 tahun adalah 90%. Bagi kanser limfoma Hodgkin tahap 4 pula, peratusan pesakit yang masih hidup selepas 5 tahun adalah sebanyak 65%.
Rujukan
- Felman, A. (2019). What to know about lymphoma. MedicalNewsToday
- Abdul Hamid, S.S. (2015). Limfoma. MyHealth KKM
- The American Cancer Society medical and editorial content team. (2018). Signs and Symptoms of Non-Hodgkin Lymphoma. American Cancer Society.
- Ratini, M. (2022). What Is Lymphoma? WebMD.
- Mayo Clinic Staff. (2022). Lymphoma. MayoClinic