Gluten ialah protein yang terdapat dalam bijirin seperti gandum. Tak tolerans gluten pula merujuk kepada tindak balas buruk apabila seseorang itu makan makanan yang mengandungi gluten. Terdapat beberapa tanda tak tolerans gluten yang boleh dikenalpasti.
Artikel ini akan menyenaraikan tanda-tanda tak tolerans gluten yang biasanya berlaku kepada mereka yang menghidap penyakit seliak atau kepekaan terhadap protein ini.
Penyakit seliak (celiac) adalah bentuk tak tolerans gluten yang paling teruk. Penyakit seliak ialah penyakit autoimun yang boleh menyebabkan kerosakan pada usus kecil akibat daripada pemakanan makanan yang mengandungi gluten.

Terdapat juga mereka yang tak tolerans kepada gluten tetapi tidak melibatkan penyakit seliak, keadaan ini dikenali sebagai kepekaan gluten bukan seliak (non-celiac gluten sensitivity) atau kepekaan gluten.
Selain terdapat didalam gandum,gluten juga boleh didapati dalam sumber atau produk berikut:
Berikut adalah tanda atau simptom-simptom tak tolerans gluten.
1. Kembung Perut
Kembung perut mungkin boleh terjadi disebab oleh banyak perkara termasuklah akibat tak tolerans gluten.
Kembung perut berlaku apabila perut anda membuncit atau penuh dengan angin selepas makan.
Kembung perut boleh mengganggu aktiviti harian mereka yang mengalaminya kerana ia membuatkan seseorang itu berasa tidak selesa.
Kajian turut menunjukkan, masalah kembung perut adalah antara tanda tak tolerans gluten yang paling lazim berlaku bagi mereka yang menghidap kepekaan gluten. [1]
2. Sakit Perut
Selain daripada kembung perut, sakit perut juga boleh menjadi petanda bahawa seseorang itu tak tolerans kepada gluten.
Walaupun ia boleh disebabkan pelbagai punca lain, namun sekiranya anda mengalami sakit perut dan diikuti tanda-tanda lain setelah makan makanan yang mengandungi gluten. Berkemungkinan tinggi anda tak tolerans gluten.
Berdasarkan kajian, sakit perut juga adalah antara tanda yang paling lazim berlaku kepada mereka yang tak tolerans gluten. [2]
3. Cirit-birit atau Sembelit
Cirit-birit juga merupakan tanda-tanda tak tolerans gluten yang lazim berlaku.
Bagi mereka yang mengalami penyakit seliak, cirit-birit atau sembelit boleh berlaku akibat daripada keradangan di usus kecil selepas makan makanan bergluten.
Mereka yang mengalami kepekaan gluten juga turut mengalami cirit-birit. Menurut satu kajian, kira-kira 50% penghidap kepekaan gluten mengalami cirit-birit dan 20% mengalami sembelit. [1]
4. Kelesuan Kronik
Seterusnya, tanda-tanda yang boleh dilihat secara luaran pula antaranya ialah kelesuan yang kronik.
Walaupun pada asasnya, kelesuan adalah perkara normal dan tidak melibatkan sebarang penyakit. Tetapi jika ia kerap berlaku dan berlaku secara berterusan maka itu menunjukkan ada sesuatu yang menyebabkan kelesuan itu.
Menurut kajian yang dijalankan terhadap kanak-kanak yang menghidap kepekaan gluten, kelesuan adalah simptom yang ketiga tertinggi selepas sakit perut dan cirit-birit kronik. [3]
5. Masalah Kulit
Mereka yang mengalami kepekaan gluten turut boleh mengalami masalah kulit seperti ekzema dan kemerahan pada kulit.
Masalah kulit seperti dermatitis herpetiformis pula boleh menjadi petanda bahawa seseorang itu mungkin menghidap penyakit seliak.
Dermatitis herpetiformis ialah keradangan pada kulit yang menyebabkan lepuh. [4]
6. Sakit Kepala
Ramai orang mengalami sakit kepala walaupun sekali dalam hidup mereka.
Terdapat pelbagai jenis sakit kepala dan mereka yang mengalami kepekaan gluten atau penyakit seliak biasanya akan mengalami sakit kepala yang berterusan (kronik) dan boleh membawa kepada migrain.
Kajian yang diterbitkan pada 2013 menunjukkan bahawa sakit kepala kronik paling tinggi dilaporkan dalam kalangan pesakit seliak dan diikuti oleh mereka yang menghidap kepekaan gluten.
Kajian ini juga turut mendapati mereka yang menghidap penyakit seliak lebih lazim mengalami migrain. [5]
7. Sakit Sendi dan Otot
Tanda-tanda yang berikutnya ialah sakit sendi dan otot. Sakit sendi dan otot boleh juga disebabkan oleh banyak punca-punca lain.
Apabila seseorang yang menghidap penyakit seliak atau kepekaan gluten makan makanan yang mengandungi gluten, ia akan merangsang sistem imun untuk bertindak balas. Kesannya, ia menyebabkan keradangan.
Keradangan ini akan menyerang organ-organ dalam badan atau tisu-tisu lembut yang turut melibatkan sendi atau otot.
8. Kebas di Tangan atau Kaki
Mereka yang menghidap kepekaan gluten juga turut mengalami kebas di tangan atau kaki.
Simptom atau tanda ini turut menunjukkan bahawa tak tolerans gluten turut boleh menganggu sistem saraf.
Kebiasaanya, simptom ini lebih sinonim bagi mereka yang menghidap penyakit diabetes jenis 2 atau kekurangan vitamin B12. [6]
Kajian-kajian turut melaporkan bahawa kira-kira 20% atau 30% mereka yang mempunyai kepekaan gluten bukan seliak mengalami kebas di tangan atau kaki. [1, 2]
9. Brain Fog
Brain fog ialah istilah yang merujuk kepada keadaan seseorang itu yang sukar untuk berfikir dengan jelas.
Salah satu simptom kepada tak tolerans gluten ini ialah mempunyai “brain fog” atau “foggy mind“.
Mereka yang mengalami simptom ini mungkin sukar untuk memberi tumpuan, fikiran kabur, tidak dapat berfikir dengan baik atau kelesuan mental.
10. Kekurangan Darah (Anemia)
Kekurangan darah akibat kekurangan zat besi adalah jenis kekurangan nutrien yang paling banyak berlaku di seluruh dunia.
Kekurangan darah atau anemia akibat kekurangan zat besi ini akan menunjukkan simptom-simptom seperti kelesuan yang ekstrem, kulit menjadi pucat, sakit kepala atau pening, sejuk di tangan dan kaki. [7]
Bagi penyakit seliak, kekurangan darah berlaku akibat kerosakan penyerapan nutrien di dalam usus kecil. Ini menyebabkan jumlah zat besi yang diserap daripada makanan berkurang.
11. Kemurungan
Mereka yang menghidap penyakit seliak juga terdedah atau cenderung untuk mengalami kemurungan (depresi).
Hal ini dipercayai disebabkan oleh beberapa faktor iaitu paras hormon serotonin yang tidak normal, perubahan bakteria baik dalam usus dan penghasilan peptida yang dikenali sebagai gluten exorphin yang menganggu sistem saraf pusat. [8]
12. Kecelaruan Autoimun
Penyakit seliak ialah penyakit autoimun yang menyerang saluran pencernaan selepas seseorang itu makan makanan bergluten.
Penyakit autoimun ini mendedahkan individu tersebut kepada penyakit autoimun yang lain seperti: [9]
- Penyakit diabetes jenis 1
- Tiroiditis Hashimoto
- Penyakit Addison
- Alopecia areata (botak bertompok)
- Vitiligo
- Psoriasis
- Hepatitis autoimun
- Penyakit Graves (gangguan tiriod)
Rumusan
Tak tolerans gluten adalah satu keadaan yang menyebabkan seseorang itu peka atau sensitif terhadap gluten.
Terdapat dua bentuk tak tolerans gluten iaitu melibatkan penyakit seliak dan kepekaan gluten bukan seliak. Kedua-duanya mempunyai banyak tanda-tanda atau simptom-simptom yang boleh dikenalpasti.
Walau bagaimanapun, tanda atau simptom ini boleh juga berkait dengan masalah kesihatan yang lain. Oleh itu, sila dapatkan rawatan daripada doktor untuk menentusahkan masalah yang dihadapi oleh anda.
Rujukan
- Volta, U. et al (2014). An Italian prospective multicenter survey on patients suspected of having non-celiac gluten sensitivity. BMC medicine.
- Czaja-Bulsa G. (2015). Non coeliac gluten sensitivity – A new disease with gluten intolerance. Clinical nutrition.
- Francavilla, R. et al. (2014). Clinical, serologic, and histologic features of gluten sensitivity in children. The Journal of pediatrics.
- Reunala T. (1998). Dermatitis herpetiformis: coeliac disease of the skin. Annals of medicine.
- Dimitrova, A. K. et al. (2013). Prevalence of migraine in patients with celiac disease and inflammatory bowel disease. Headache.
- Hughes R. A. (2002). Peripheral neuropathy. BMJ (Clinical research ed.).
- Mayo Clinic Staff. (2019). Iron deficiency anemia .MayoClinic [diakses pada 19 Februari 2021].
- Biesiekierski, J. R., & Iven, J. (2015). Non-coeliac gluten sensitivity: piecing the puzzle together. United European gastroenterology journal.
- Caio, G. et al. (2019). Celiac disease: a comprehensive current review. BMC medicine.