Kekurangan vitamin E amat jarang berlaku kepada orang yang sihat. Kekurangan ini selalunya mempunyai kaitan dengan penyakit-penyakit tertentu. Terdapat beberapa tanda kekurangan vitamin E yang boleh menjadi “petunjuk” bahawa anda mengalami kekurangan vitamin ini.
Vitamin E ialah sejenis vitamin larut lemak yang boleh dijumpai dalam banyak makanan. Badan manusia memerlukan vitamin E untuk banyak fungsi seperti menguatkan sistem imun, mengendurkan saluran darah dan mencegah daripada darah membeku di dalamnya.
Selain itu, vitamin E juga turut bertindak sebagai antioksidan. Ia membantu melindungi sel-sel sihat daripada rosak akibat radikal bebas.
Sel-sel badan manusia juga menggunakan vitamin E untuk berinteraksi antara satu sama lain dan untuk menjalankan banyak fungsi penting yang lain.
Biasanya, paras vitamin E dalam darah yang normal adalah antara 5 to 20 mikrogram per mililiter (mcg/mL). Julat normal ini mungkin berbeza bagi bayi pramatang dan kanak-kanak di bawah umur 17 tahun.
Apabila orang dewasa mempunyai paras vitamin E dalam darah kurang daripada 5 mcg/mL, mereka dianggap mengalami kekurangan vitamin E.
Beberapa tanda atau gejala kekurangan vitamin E yang boleh memaklumkan kepada anda bahawa anda mungkin mengalami kekurangan vitamin E:
1. Otot Menjadi Lemah
Vitamin E ialah vitamin yang penting untuk sistem saraf pusat.
Ia juga turut bertindak sebagai antioksidan yang mencegah tekanan oksidatif.
Sekiranya berlaku kekurangan vitamin ini, ia boleh menyebabkan kerosakan saraf dan otot yang seterusnya membawa kepada kelemahan otot.
2. Kebas dan Semut-semut
Kerosakan pada saraf juga boleh menyebabkan saraf tidak dapat menghantar isyarat dengan betul.
Akibatnya, ia menyebabkan rasa kebas dan semut-semut. Keadaan ini turut dikenali sebagai neuropatif periferal.
Kerosakan saraf dan otot juga boleh menyebabkan hilang rasa di kaki dan tangan.
3. Hilang Kawalan Pergerakan Badan
Kekurangan vitamin E juga boleh menyebabkan gejala seperti hilang kawalan pergerakan.
Keadaan ini berlaku dipercayai disumbang oleh kerosakan neuron yang dikenali sebagai Purkinje neurons.
Tambahan itu juga, kerosakan saraf dan otot juga turut menyebabkan kawalan pergerakan menjadi sukar. Contohnya seperti berjalan.
4. Masalah Penglihatan
Kekurangan vitamin E juga boleh melemahkan reseptor cahaya di dalam retina dan sel-sel di dalam mata yang lain.
Lama-kelamaan, sekiranya tidak dirawat keadaan ini boleh menyebabkan buta atau hilang penglihatan.
5. Sistem Imun Lemah
Sistem imun yang lemah juga boleh menjadi tanda kekurangan vitamin E.
Kajian mendedahkan bahawa golongan berusia memerlukan vitamin E yang lebih banyak akibat daripada perubahan terhadap sistem imun yang berlaku selari dengan penuan.
Punca yang Menyebabkan Kekurangan Vitamin E
Kekurangan vitamin E amat jarang berlaku dalam kalangan manusia jika hanya disebabkan oleh pemakanan (diet) yang rendah dengan vitamin E.
Sebaliknya, ia cenderung untuk disebabkan oleh penyerapan atau pencernaan lemak yang tidak sempurna.
Keadaan ini biasanya disebabkan penyakit Crohn, fibrosis sista dan penyakit genetik seperti abetalipoproteinemia and ataxia with vitamin E deficiency (AVED).
Vitamin E memerlukan sedikit lemak daripada sistem pencernaan bagi membolehkan ia diserap.
Bayi pramatang mempunyai rizab vitamin E yang rendah kerana vitamin E hanya mampu melintasi plasenta dalam jumlah yang sedikit.
Rawatan
Rawatan kekurangan vitamin E adalah berdasarkan penyebab sebenar kekurangan tersebut berlaku.
Selain itu, pemberian suplemen (makanan tambahan) vitamin E juga mungkin turut diberikan.
Di samping itu juga, pengubahsuaian pemakanan kepada makanan yang tinggi vitamin E juga boleh membantu. Tingkatkan pengambilan sayur-sayuran berdaun, bijian penuh, kekacang atau minyak sayuran.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Sekiranya anda tidak mempunyai sejarah penyakit genetik tetapi mengalami sebarang tanda atau gejala kekurangan vitamin E, mereka harus mendapatkan rawatan.
Paras vitamin E yang sangat rendah dalam darah boleh menunjukkan masalah kesihatan yang sebenar. Pemeriksaan lanjut akan membantu untuk menentukan punca dan pilihan rawatan.
Rujukan
- Kemnic TR, Coleman M. Vitamin E Deficiency. [Updated 2023 Jul 4]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: NCBI
- Larry E. Johnson, L.E. (2022). Vitamin E Deficiency. MSD Manual.
- Pae, M. et al. (2012). The role of nutrition in enhancing immunity in aging. Aging and disease.