Kekurangan vitamin B3 (niasin) ialah keadaan yang berlaku apabila seseorang tidak mendapat atau tidak dapat menyerap vitamin B3 yang mencukupi. Terdapat beberapa tanda kekurangan vitamin B3 yang boleh dijadikan panduan agar rawatan segera dapat diberikan.
Vitamin B3 atau turut dikenali sebagai niasin adalah vitamin larut air dalam kumpulan vitamin B. Vitamin ini memainkan peranan penting dalam membantu menukarkan makanan yang dimakan kepada tenaga.
Selain itu, vitamin B3 juga berpotensi dalam mengurangkan paras kolesterol dan boleh bertindak sebagai antioksidan.
Badan mengeluarkan sebarang niasin yang tidak diperlukan dalam air kencing. Badan tidak menyimpan niasin,maka anda mesti mengambilnya dalam makanan setiap hari.
Kekurangan vitamin B3 jarang berlaku di negara-negara maju tetapi masih boleh berlaku di negara-negara membangun.
Akses kepada makanan-makanan yang kaya dengan vitamin B3 adalah penting bagi mencegah daripada berlakunya kekurangan vitamin ini.
Contohnya seperti:
- Ikan tuna
- Ikan bilis
- Hati lembu
- Tepung gandum
- Kacang tanah
- Kuaci bunga matahari
Tanda-tanda atau Gejala Kekurangan Vitamin B3 (Niasin)
Tanda-tanda atau gejala kekurangan vitamin B3 yang ringan mungkin tidak disedari pada awalnya. Tetapi jika kekurangan tersebut berterusan, ia boleh membawa kepada keadaan yang dikenali sebagai pelagra.
Pelagra dikenali dengan ciri-ciri “4 D” iaitu:
- Diarea (cirit-birit)
- Dermatitis (iritasi kulit)
- Demensia
- Death (kematian)
Tanda-tanda dan gejala pelagra adalah seperti:
- Loya dan muntah
- Diarea (cirit-birit)
- Sembelit
- Lidah berwarna merah cerah
- Ruam yang seperti selaran matahari (sunburn) dan boleh menjadi gelap dalam sinaran matahari
- Lepuh
- Insomnia
- Sakit kepala
- Kelesuan
- Kemurungan
- Halusinasi
- Paranoia
- Keagresifan
- Hilang memori
- Hilang selera makan
- Tingkah laku ingin bunuh diri
Sekiranya tidak dirawat, pelagra boleh membawa maut dalam masa beberapa tahun.
Punca yang Menyebabkan Kekurangan Vitamin B3
Punca yang menyebabkan kekurangan vitamin B3 boleh dibahagikan kepada dua iaitu primer dan sekunder.
Kekurangan vitamin B3 atau pelagra primer atau pelagra primer disebabkan oleh pemakanan yang rendah dengan vitamin B3 (niasin) atau triptofan (sejenis asid amino).
Triptofan boleh ditukar kepada niasin di dalam badan, maka tidak mendapatkan asid amino ini dengan cukup juga boleh menyebabkan kekurangan vitamin B3.
Kekurangan vitamin B3 atau pelagra sekunder berlaku apabila badan anda tidak dapat menyerap vitamin B3. Terdapat beberapa perkara yang boleh menghalang badan anda daripada menyerap vitamin B3 iaitu:
- Ketagihan alkohol
- Gangguan pemakanan
- Penyakit Crohn
- Kolitis ulseratif
- Sirosis hati
- Pengambilan ubat antikonvulsan dan ubat imunosupresif
- Tumor karsinoid
- Penyakit Hartnup
Rawatan
Kekurangan vitamin B3 boleh dirawat menggunakan suplemen.
Pelagra boleh dirawat menggunakan suplemen vitamin B3 dalam bentuk nikotinamida yang diambil secara oral (makan).
Nikotinamida tidak menyebabkan gatal-gatal, kemerahan, sensasi terbakar atau sesemut.
Bagi pelagra yang disebabkan oleh masalah kesihatan atau faktor-faktor lain. Merawat punca tersebut boleh merawat kekurangan terhadap vitamin ini.
Bagi sesetengah kes, pengambilan niasin atau nikotinamida secara oral atau intravena juga menunjukkan tindak balas yang baik terhadap pelagra sekunder.
Rujukan
- Redzic S, Hashmi MF, Gupta V. Niacin Deficiency. [Updated 2023 Jul 25]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: NCBI
- Pietrangelo, A. (2022). Understanding Niacin Deficiency. verywellhealth.