Kekurangan vitamin B2 boleh menyebabkan beberapa tanda atau gejala yang perlu diberikan perhatian dan dirawat.
Artikel ini menyediakan panduan kepada anda berkenaan dengan tanda-tanda kekurangan vitamin B2, punca yang menyebabkannya dan rawatan yang bersesuaian.
Vitamin B2 atau riboflavin adalah vitamin larut air yang digunakan badan untuk memetabolismekan karbohidrat, lemak dan protein kepada gula (glukosa) sebagai tenaga.
Selain itu, vitamin B2 juga bertindak sebagai antioksidan yang memastikan sistem imun badan berfungsi dengan baik.

Kekurangan vitamin B2 adalah sangat jarang berlaku di negara-negara maju. Tetapi, bagi negara-negara membangun seperti di Asia dan Afrika, kekurangan vitamin B2 masih berlaku.
Punca yang Menyebabkan Kekurangan Vitamin B2
Kekurangan vitamin B2 boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu:
- Kekurangan vitamin B2 primer yang berlaku berpunca daripada pemakanan yang rendah dengan vitamin B2.
- Kekurangan vitamin B2 sekunder yang berlaku disebabkan oleh perkara lain seperti penyakit atau masalah tertentu. Contohnya seperti malserapan, cirit-birit kronik, penyalahgunaan alkohol, gangguan hati atau mereka yang menjalani hemodialisis.
Golongan-golongan Berisiko
Beberapa golongan yang berisiko mengalami kekurangan vitamin B2 adalah:
- Warga emas
- Penagih alkohol
- Wanita yang mengambil pil perancang
- Wanita hamil dan menyusu
- Penghidap sindrom Brown-Vialetto-Van Laere (BVVL)
- Pengamal diet vegan
Tanda-tanda atau Gejala Kekurangan Vitamin B2
Tanda-tanda atau gejala kekurangan vitamin B2 mungkin berbeza-beza antara satu individu dengan individu lain.
Tanda-tanda atau gejala yang biasa berlaku adalah:
- Kulit menjadi pucat
- Rekahan yang menyakitkan di penjuru mulut
- Rekahan di bibir
- Kulit kering
- Ulser di mulut
- Kesakitan di mulut dan lidah
- Lidah bertukar warna menjadi warna magenta (ungu kemerahmerahan)
- Tompokan bersisik dan bergris di sekitar hidung, antara hidung dengan bibir, telinga, kelopak mata dan di kawasan kemaluan.
- Kelesuan
- Penglihatan kabur
- Kemurungan
- Hiperemia dan edema (sembab) di tekak
- Rambut gugur
Kebiasaannya, mereka yang mengalami kekurangan vitamin B2 turut mengalami kekurangan nutrien yang lain.
Diagnosis
Selain melihat kepada tanda-tanda atau gejala, doktor mungkin turut menjalankan beberapa ujian seperti:
- Pemeriksaan fizikal
- Ujian air kencing
- Kelegaan gejala selepas pemberian suplemen vitamin B2
Rawatan dan Langkah-langkah Pencegahan
Rawatan kekurangan vitamin B2 biasanya melibatkan pemberian suplemen vitamin B2 (riboflavin) pada dos yang tinggi sehingga pulih.
Bagi kes-kes yang teruk, vitamin B2 mungkin diberikan dalam bentuk suntikan.
Sebagai langkah-langkah pencegahan, golongan yang menjalani hemodialisis atau dialisis peritoneum atau yang mengalami gangguan malserapan harus mengambil suplemen vitamin B2 atau multivitamin setiap hari.
Rujukan
- Mahabadi N, Bhusal A, Banks SW. Riboflavin Deficiency. [Updated 2023 Jul 17]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: NCBI
- Johnson, L.E. (2022). Riboflavin Deficiency. MSD Manual