Kekurangan vitamin B12 boleh menjejaskan banyak fungsi badan yang melibatkan darah dan sel-sel saraf. Terdapat beberapa tanda kekurangan vitamin B12 yang boleh menjadi panduan kepada anda bagi mengambil langkah proaktif yang seterusnya.
Artikel ini akan menjelaskan 10 tanda kekurangan vitamin B12 yang mungkin berlaku kepada anda sekiranya anda tidak mendapatkan vitamin ini melalui diet harian yang mencukupi atau badan anda tidak menyerap vitamin ini dengan baik.
Vitamin B12 atau turut dikenali sebagai kobalamin ialah nutrien yang mempunyai banyak kebaikan terhadap fungsi badan.
Vitamin B12 membantu membantu memastikan sel-sel darah dan saraf anda sihat. Ia juga membantu penghasilan DNA iaitu bahan genetik di dalam sel-sel anda.
Vitamin B12 juga boleh membantu mencegah daripada berlakunya anemia akibat kekurangan vitamin ini.
Kekurangan vitamin B12 boleh berlaku disebabkan oleh 3 punca iaitu:
- Pengambilan dalam makanan yang tidak mencukupi: Mereka yang mengamalkan diet vegan selama kira-kira 3 tahun berisiko untuk mengalami kekurangan vitamin B12.
- Malserapan: Mereka yang pernah menjalani pembedahan perut, penghidap penyakit Crohn, penghidap penyakit seliak atau mereka yang dijangkiti cacing pita boleh mengalami kekurangan vitamin B12.
- Penyakit autoimun: Penghidap penyakit autoimun seperti anemia pernisius boleh mengalami kekurangan vitamin B12 akibat badan tidak dapat menghasilkan faktor intrinsik iaitu protein yang membantu badan menyerap vitamin B12.
Anda dianggap mengalami kekurangan vitamin B12 sekiranya ujian darah menunjukkan bacaan vitamin B12 dibawah 200 pg/mL.
Selain itu, terdapat juga tanda-tanda lain yang boleh menunjukkan bahawa anda mengalami kekurangan vitamin B12, antaranya adalah:
1. Kelesuan
Kelesuan atau keletihan adalah salah satu tanda kekurangan vitamin B12 yang banyak berlaku.
Hal ini demikian kerana sel-sel badan memerlukan vitamin B12 untuk berfungsi dengan baik. Kekurangan vitamin ini akan mengurangkan penghasilan sel-sel darah merah.
Akibatnya, ia akan menjejaskan penghantaran oksigen ke seluruh badan.
Tambahan itu juga, kekurangan vitamin B12 boleh menyebabkan anemia megaloblas. Penyakit ini menyebabkan pembentukan sel-sel darah merah yang besar, abnormal dan tidak matang.
2. Sakit Kepala
Sakit kepala juga merupakan tanda atau gejala kekurangan vitamin B12 yang banyak dilaporkan.
Satu kajian melaporkan bahawa mereka yang mengalami migrain didapati mempunyai paras vitamin B12 yang rendah. [1]
Manakala mereka yang sihat pula mempunyai paras vitamin B12 yang tinggi.
3. Kulit Menjadi Kuning
Kekurangan vitamin B12 juga boleh menyebabkan kulit anda menjadi kuning yang dikenali sebagai jaundis.
Keadaan ini berlaku akibat peningkatan pemusnahan sel darah merah yang disebabkan oleh pembentukan sel darah merah yang rosak. [2]
4. Kemurungan
Kekurangan vitamin B12 juga turut dikaitkan dengan kemurungan termasuklah kepada kanak-kanak dan remaja.
Satu kajian yang melibatkan 132 kanak-kanak dan remaja mendapati mereka yang mengalami kemurungan mempunyai paras vitamin B12 lebih rendah dan paras homosisteina yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak mengalami kemurungan. [3]
Homosisteina ialah sejenis asid amino yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada badan sekiranya berada pada paras yang tinggi.
5. Masalah Penghadaman dan Perut
Cirit-birit, sembelit, loya, angin, atau kembung perut boleh menjadi tanda kekurangan vitamin B12.
Masalah penghadaman dan perut ini boleh menjejaskan orang dewasa dan juga kanak-kanak.
6. Sukar untuk Fokus atau Memberikan Tumpuan
Kekurangan vitamin B12 boleh memberikan kesan negatif terhadap sistem saraf pusat termasuklah yang melibatkan tumpuan dan fungsi mental.
Terdapat kajian-kajian yang menunjukkan bahawa kekurangan vitamin B12 boleh melemahkan lagi fungsi mental dalam kalangan orang tua. [4, 5]
7. Sakit di Mulut dan Lidah
Sakit, kemerah-merahan atau keradangan di dalam mulut dan lidah juga boleh berlaku disebabkan oleh kekurangan vitamin B12.
Keadaan ini banyak berlaku kepada mereka yang mengalami anemia akibat kekurangan vitamin B12.
Walau bagaimanapun, ia tidak terhad bagi golongan tersebut sahaja kerana ia boleh juga berlaku kepada mereka yang tidak mengalami anemia.
8. Kebas dan Semut-semut di Tangan dan Kaki
Tanda kekurangan vitamin B12 yang berikutnya adalah kebas dan semut-semut di tangan dan kaki.
Ramai orang dewasa dan kanak-kanak yang mengalami kekurangan vitamin B12 melaporkan bahawa mereka mengalami sensasi seperti kebas dan semut-semut di tangan dan kaki. [6]
9. Gangguan Penglihatan
Gangguan penglihatan boleh menjadi tanda atau gejala kekurangan vitamin B12 yang berikutnya.
Keadaan ini mungkin terjadi akibat daripada kerosakan pada saraf optik. [7]
10. Kejang dan Lemah Otot
Kekurangan vitamin B12 boleh menjejaskan fungsi saraf motor dan deria. Akibatnya ia boleh membuatkan anda sering mengalami kekejangan dan lemah otot.
Rumusan
Kekurangan vitamin B12 mempunyai banyak tanda dan gejala seperti kelesuan, sakit kepala, jaundis dan lain-lain.
Banyak tanda dan gejala yang disebabkan oleh kekurangan vitamin B12 tidak khusus untuk kekurangan vitamin ini sahaja.
Justeru itu, sekiranya anda mengalami tanda atau gejala di atas, sila dapatkan pemeriksaan lanjut di klinik atau hospital berdekatan.
Rujukan
- Togha, M. et al. (2019). Serum Vitamin B12 and Methylmalonic Acid Status in Migraineurs: A Case-Control Study. Headache.
- Ankar A, Kumar A. Vitamin B12 Deficiency. [Updated 2022 Oct 22]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: NCBI
- Esnafoglu, E., & Ozturan, D. D. (2020). The relationship of severity of depression with homocysteine, folate, vitamin B12, and vitamin D levels in children and adolescents. Child and adolescent mental health.
- Boumenna, T. et al. (2021). Folate, vitamin B-12, and cognitive function in the Boston Puerto Rican Health Study. The American journal of clinical nutrition.
- Nalder, L. et al. (2021). Vitamin B12 and Folate Status in Cognitively Healthy Older Adults and Associations with Cognitive Performance. The journal of nutrition, health & aging.
- Wolffenbuttel, B. H. R. (2019). The Many Faces of Cobalamin (Vitamin B12) Deficiency. Mayo Clinic proceedings. Innovations, quality & outcomes.
- Ata, F. et al. (2020). Optic neuropathy as a presenting feature of vitamin B-12 deficiency: A systematic review of literature and a case report. Annals of medicine and surgery.