Kekurangan kalsium boleh berlaku sekiranya anda tidak mendapatkan mineral kalsium dalam diet harian secara mencukupi. Pada peringkat awal, ia mungkin tidak menyebabkan tanda-tanda atau gejala. Tetapi, pada jangka masa panjang, terdapat tanda yang menunjukkan anda kekurangan kalsium.
Kalsium adalah mineral yang penting untuk setiap orang. Badan anda menggunakan kalsium untuk membina tulang dan gigi yang kuat.
Bukan setakat itu sahaja, terdapat banyak lagi kebaikan kalsium termasuklah untuk fungsi otot dan jantung.
Biasanya, kekurangan kalsium yang berlaku adalah ringan sehingga anda tidak menyedarinya. Walau bagaimanapun, sekiranya tidak ditangani, ia boleh menjadi lebih teruk dan boleh mengancam nyawa.
Bagi mineral atau vitamin lain, mungkin mudah untuk mengetahui anda kekurangannya. Ujian darah mungkin boleh menentukan anda kekurangan vitamin tersebut.
Tetapi, tidak bagi kalsium. Paras kalsium dalam darah biasanya normal walaupun pengambilan kalsium anda rendah.
Hal ini demikian kerana badan anda akan mengambil kalsium daripada tulang untuk menampung apa yang diperlukan oleh badan untuk berfungsi.
Kekurangan kalsium biasanya boleh diatasi dengan mudah melalui pengambilan makanan tambahan (suplemen) kalsium.
Berikut adalah beberapa tanda kekurangan kalsium yang perlu anda awasi:
1. Pengurangan Ketumpatan Mineral Tulang dan Osteoporosis
Kalsium adalah mineral yang penting untuk tulang. Paras kalsium yang tinggi diperlukan bagi memastikan tulang kekal kuat.
Sekiranya paras kalsium dalam badan rendah, badan boleh mengalihkan sebahagian daripada kalsium daripada tulang untuk digunakan, ini menjadikannya tulang rapuh dan terdedah kepada kecederaan.
Lama-kelamaan, ia boleh menyebabkan pengurangan ketumpatan mineral kalsium di dalam tulang. Keadaan ini turut dikenali sebagai osteopenia.
Osteopenia juga boleh membawa kepada osteoporosis, yang menyebabkan tulang menjadi nipis dan terdedah kepada patah tulang, kesakitan dan masalah dengan postur.
Walau bagaimanapun, ia mungkin mengambil masa selama beberapa tahun untuk osteoporosis untuk terbentuk akibat kekurangan kalsium.
2. Masalah Otot
Tanda kekurangan kalsium yang seterusnya adalah masalah yang berkaitan dengan otot.
Jika anda mengalami kekurangan kalsium, anda mungkin akan mengalami:
- Kekejangan otot
- Sakit otot
- Sakit di peha atau lengan semasa berjalan atau bergerak
- Kebas atau semut-semut di tangan, lengan, kaki atau sekitar mulut
Tanda-tanda atau gejala ini mungkin datang dan pergi. Namun, ia lazimnya tidak hilang dengan melakukan aktiviti.
3. Kelesuan yang Teruk
Kekurangan kalsium juga boleh menyebabkan kelesuan yang teruk. Ia menyebabkan anda kekurangan tenaga dan berasa lenguh.
Selain itu, kelesuan yang berkaitan dengan kekurangan kalsium boleh juga melibatkan beberapa gejala lain seperti:
- Pening
- Kurang fokus
- Pelupa
- Kekeliruan
Kelesuan ini juga boleh mengganggu tidur malam anda yang seterusnya menyebabkan insomnia.
4. Masalah Berkaitan Kulit dan Kuku
Di samping itu juga, kekurangan kalsium boleh juga menjejaskan kesihatan kulit dan kuku anda.
Kekurangan kalsium yang berterusan boleh menyebabkan:
5. Sindrom Prahaid yang Teruk
Terdapat juga penyelidikan-penyelidikan yang mengaitkan kekurangan kalsium dengan sindrom prahaid (PMS) yang teruk.
Satu kajian semula yang melibatkan 28 kajian melaporkan bahawa paras vitamin D dan kalsium yang rendah semasa separuh kedua kitaran haid mungkin menyumbang kepada gejala PMS. [1]
Terdapat juga percubaan klinikal yang mendapati pengambilan 500 miligram (mg) kalsium setiap hari selama 2 bulan boleh menambah baik mood dan mengurangkan kadar penahanan bendalir dalam kalangan wanita yang mengalami PMS. [2]
6. Masalah Gigi
Gigi juga merupakan bahagian badan yang mengandungi banyak mineral kalsium. Sekiranya kekurangan kalsium berlaku, badan akan menggunakan kalsium di dalam gigi.
Akibatnya, ia membawa kepada masalah gigi seperti:
- Gigi rapuh
- Pereputan gigi
- Akar gigi yang lemah
- Kerengsaan gusi
Bagi kanak-kanak kecil, kekurangan kalsium boleh mengganggu pertumbuhan gigi.
7. Keresahan atau Kebimbangan
Sesetengah bukti ada mengaitkan kekurangan kalsium dengan gangguan mood seperti keresahan atau kebimbangan. [3]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut masih diperlukan untuk mengesahkannya.
Apakah Punca yang Menyebabkan Kekurangan Kalsium?
Biasanya, golongan yang berusia adalah golongan yang berisiko tinggi untuk mengalami kekurangan kalsium.
Kekurangan ini mungkin berpunca daripada beberapa faktor seperti:
- Pengambilan makanan yang rendah kalsium pada jangka masa lama
- Ubat yang menyebabkan penyerapan kalsium berkurang
- Faktor genetik
- Perubahan hormon terutamanya wanita
- Tak tolerans terhadap makanan yang kaya dengan kalsium seperti tak tolerans laktosa.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Sekiranya anda mengalami gejala-gejala kekurangan kalsium, langkah terbaik adalah berjumpa doktor untuk mendapatkan diagnosis dan ujian darah.
Kekurangan kalsium berlaku apabila kepekatan kalsium dalam darah berkurang dibawah 8.8 mg/dL.
Rujukan
- Abdi, F. et al. (2019). A systematic review of the role of vitamin D and calcium in premenstrual syndrome. Obstetrics & gynecology science.
- Shobeiri, F. et al. (2017). Effect of calcium on premenstrual syndrome: A double-blind randomized clinical trial. Obstetrics & gynecology science.
- Schafer AL, Shoback DM. Hypocalcemia: Diagnosis and Treatment. [Updated 2016 Jan 3]. In: Feingold KR, Anawalt B, Blackman MR, et al., editors. Endotext [Internet]. South Dartmouth (MA): MDText.com, Inc.; 2000-. Available from: NCBI