Gula darah yang tinggi dalam badan sinonim dengan penyakit kencing manis atau diabetes. Terdapat tanda-tanda gula darah tinggi dalam badan yang boleh menjadi panduan kepada anda untuk mengambil tindakan selanjutnya.
Terdapat 2 keadaan di mana ia merujuk kepada paras gula darah tinggi dalam badan iaitu hiperglisemia dan pradiabetes.
Hiperglisemia biasanya menjejaskan mereka yang menghidap diabetes jenis 1 dan diabetes jenis 2. Tetapi, ia juga boleh berlaku kepada mereka yang tidak menghidap diabetes terutamanya mereka yang sakit teruk seperti mereka yang baru diserang serangan jantung, strok atau jangkitan yang serius.

Manakala, pradiabetes pula merujuk kepada keadaan gula darah yang tinggi daripada normal. Tetapi ia tidak cukup tinggi untuk dianggap sebagai diabetes jenis 2 lagi. Tetapi, golongan ini berisiko tinggi untuk menghidap diabetes jenis 2.
Makan makanan yang sihat, menjadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada rutin harian dan mengekalkan berat badan yang sihat boleh membantu mengembalikan paras gula darah anda kepada paras normal.
Hiperglisemia dan pradiabetes kadangkala tidak menunjukkan sebarang gejala atau simptom.
Bagi mereka yang mengalami tanda dan gejala, terdapat beberapa tanda atau gejala yang menunjukkan paras gula darah tinggi dalam badan atau anda sudah beralih daripada pradiabetes kepada diabetes jenis 2.
Antaranya adalah:
1. Lebih Kerap Kencing Terutamanya Pada Waktu Malam
Kerap kencing terutamanya pada waktu malam adalah salah satu tanda atau gejala paras gula tinggi dalam badan.
Jika paras gula darah menjadi terlalu tinggi, badan akan cuba memperbaiki keadaan dengan mengeluarkan gula (glukosa) daripada darah melalui buah pinggang.
Apabila ini berlaku, buah pinggang juga akan menapis lebih banyak air. Akibatnya, anda perlu membuang air kecil (kencing) lebih banyak daripada biasa.
2. Sering Berasa Dahaga
Akibat terlalu kerap kencing, anda juga akan cenderung untuk lebih kerap berasa dahaga.
Kencing yang kerap dan banyak ini menggunakan lebih banyak air dalam badan anda. Air juga ditarik dari tisu-tisu badan untuk membantu menyingkirkan gula berlebihan. Akibat kehilangan banyak air, anda boleh berasa sangat dahaga.
Otak akan memberitahu anda untuk minum lebih banyak air untuk menghidrat. Seterusnya, keadaan ini mencetuskan lebih banyak kencing.
Kitaran kencing dan dahaga akan berterusan jika paras gula darah anda dibiarkan tinggi dan tidak seimbang.
3. Lapar Daripada Biasa Tetapi Kehilangan Berat Badan
Ramai orang yang mempunyai paras gula darah tinggi mendapati bahawa mereka lebih lapar daripada biasa. Keadaan ini menandakan gejala yang dipanggil polyphagia.
Di samping itu, walaupun anda makan lebih banyak, anda mungkin kehilangan berat badan tanpa sebab yang jelas akibat paras gula darah yang terlalu tinggi.
Keadaan ini berlaku disebabkan badan tidak mendapatkan tenaga daripada sumber yang biasa iaitu glukosa (gula). Maka, badan anda akan beralih kepada otot dan lemak untuk menghasilkan tenaga.
Apabila badan anda mula memecahkan otot dan lemak untuk tenaga, anda mengalami penurunan berat badan yang tidak disengajakan dan tidak sihat.
Sebagai tambahan kepada perubahan berat dan selera makan ini, anda mungkin berasa lemah pada otot dan kerap jatuh.
4. Sering Berasa Penat dan Kelesuan
Sering berasa penat dan kelesuan juga boleh menjadi tanda gula darah tinggi dalam badan.
Keadaan ini berlaku apabila badan anda tidak memproses insulin dengan betul atau ia tidak mempunyai jumlah insulin yang mencukupi.
Maka, gula akan kekal di dalam darah dan bukannya masuk ke dalam sel-sel badan untuk digunakan sebagai tenaga.
Selain itu, kerap kencing juga boleh menyebabkan anda berisiko tinggi untuk mengalami dehidrasi yang menjadi faktor kepada kelesuan.
5. Luka Lebih Lambat Sembuh daripada Biasa
Luka atau lebam yang lambat sembuh juga adalah tanda kepada paras gula darah yang tinggi atau diabetes.
Diabetes menyebabkan kerosakan saraf dan menjejaskan peredaran darah, terutamanya di bahagian kaki. Akibatnya, ia boleh melambatkan penyembuhan kerana tidak ada aliran darah yang mencukupi ke kawasan tersebut.
Malah, luka kecil juga menjadi mudah terdedah kepada jangkitan, yang boleh menjadi sangat serius dan mengakibatkan pemotongan (amputasi) kaki.
6. Rasa Semut-semut dan Kebas di Tangan atau Kaki
Paras gula darah yang tinggi dan tidak terkawal juga boleh menyebabkan kerosakan saraf. Keadaan ini dikenali sebagai neuropati diabetes.
Keadaan ini menyebabkan anda berasa semut-semut atau kebas di tangan atau kaki. Sesetengah orang mungkin turut mengalami rasa sakit pada tangan dan kaki mereka.
7. Penglihatan Kabur dan Kerap Sakit Kepala
Seterusnya, paras gula darah yang tinggi dan tidak terkawal dalam badan boleh menyebabkan tanda seperti penglihatan kabur dan kerap sakit kepala.
Paras gula darah yang tinggi menyebabkan kanta mata membengkak akibat daripada cecair yang bocor ke dalamnya. Keadaan ini akan mengubah bentuk kanta, yang menjadikannya tidak dapat memfokus dengan betul, menyebabkan penglihatan kabur.
Anda juga akan turut mengalami sakit kepala yang kerap.
8. Mengalami Perubahan Kulit
Perubahan warna kulit menjadi gelap dan tebal berbaldu merupakan tanda yang sinonim dengan diabetes atau rintangan insulin. Ia turut dikenali sebagai acanthosis nigricans.
Perubahan ini biasanya berlaku di leher, ketiak dan selangkang berpunca daripada rintangan insulin.
Selain itu, lepuh, jangkitan, kekeringan, kegatalan, perubahan warna dan kelainan pada kulit semuanya boleh menjadi tanda amaran kepada paras gula darah yang tinggi.
9. Gusi Bengkak dan Berdarah
Penyakit gusi yang menyebabkan gusi bengkak dan berdarah boleh berpunca daripada komplikasi diabetes. Penghidap diabetes lebih cenderung untuk menghidap penyakit gusi.
Diabetes boleh menjejaskan mulut anda dengan mengubah air liur anda. Diabetes menyebabkan kelenjar air liur kurang menghasilkan air liur.
Apabila kurang air liur mengalir, risiko untuk gigi berlubang, penyakit gusi, dan masalah mulut lain meningkat.
10. Lebih Kerap Mengalami Jangkitan Yis
Hiperglisemia atau paras gula darah yang tinggi juga boleh menyebabkan jangkitan yis pada kemaluan yang lebih kerap.
Candida albicans adalah kulat atau yis yang sering menyebabkan jangkitan tersebut.
Golongan wanita dan lelaki yang tidak bersunat yang mengalami hiperglisemia adalah golongan yang berisiko mengalami jangkitan yis.
Walaupun jangkitan yis boleh berlaku kepada mereka yang tidak menghidap diabetes, mempunyai lebih banyak glukosa (gula) dalam darah meletakkan anda pada risiko yang lebih tinggi untuk mendapatkannya.
Yis memakan glukosa dan jika gula darah anda tinggi, terdapat lebih banyak glukosa dalam saluran kencing.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2022). Prediabetes. MayoClinic
- NHS Inform. Hyperglycaemia (high blood sugar).
- National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases. (2022). Diabetes, Gum Disease, & Other Dental Problems
- Cleveland Clinic. (2022). What You Should Know About Unexplained Weight Loss and Diabetes.
- Mayo Clinic Staff. (2022). Acanthosis nigricans. MayoClinic