Lelaki mungkin mengalami testosteron rendah apabila mereka semakin tua atau disebabkan oleh beberapa keadaan kesihatan. Terdapat tanda dan gejala yang menjadi petunjuk bahawa testosteron anda berada pada paras yang rendah.
Testosteron rendah (hipogonadisme lelaki) adalah keadaan di mana buah zakar anda tidak menghasilkan hormon testosteron yang mencukupi.
Testosteron ialah hormon yang boleh menjejaskan penampilan dan perkembangan seksual, merangsang pengeluaran sperma, dorongan seks, membantu membina otot dan jisim tulang.
Badan anda biasanya mengawal ketat paras testosteron dalam darah. Paras biasanya tertinggi pada waktu pagi dan menurun sepanjang hari.
Hipotalamus dan kelenjar pituitari anda biasanya mengawal jumlah testosteron yang dihasilkan dan dikeluarkan oleh buah zakar (testikel) anda.
Sebarang masalah dengan buah zakar, hipotalamus atau kelenjar pituitari anda boleh menyebabkan testosteron rendah.
Berikut ialah beberapa tanda atau gejala yang memberitahu kepada anda bahawa paras hormon testosteron anda rendah atau sangat rendah:
1. Kurang Dorongan Seks
Testosteron memainkan peranan penting dalam libido atau dorongan seks pada lelaki.
Penurunan ketara dalam hormon ini sering mengakibatkan penurunan ketara dalam keinginan seksual. Ini boleh menjejaskan hubungan intim.
Sesetengah orang mungkin mengalami penurunan dorongan seks apabila mereka semakin tua, tetapi mereka yang mempunyai testosteron rendah mungkin akan mengalami penurunan yang lebih drastik.
2. Mengalami Kesukaran Mencapai dan Mengekalkan Ereksi
Testosteron merangsang reseptor di otak untuk menghasilkan nitrik oksida, molekul yang membantu mencetuskan ereksi.
Paras testosteron yang rendah boleh menyebabkan kesukaran untuk mencapai atau mengekalkan ereksi.
Terdapat juga beberapa keadaan lain yang boleh menyebabkan kesukaran mencapai ereksi seperti:
- Stres
- Diabetes
- Gangguan tiroid
- Kemurungan
- Keresahan
- Kolesterol tinggi
- Tekanan darah tinggi
Selain itu, merokok dan alkohol turut menyumbang kepada masalah ereksi.
3. Hilang Jisim Otot
Testosteron adalah penting untuk pertumbuhan dan penyelenggaraan otot.
Paras yang rendah membawa kepada pengurangan jisim otot, menjadikan aktiviti fizikal lebih mencabar dan berpotensi menyumbang kepada penambahan berat badan akibat penurunan metabolisme.
Walau bagaimanapun, kajian semula pada 2016 melaporkan bahawa testosteron menjejaskan jisim otot tetapi tidak semestinya kekuatan atau fungsi. [1]
4. Peningkatan Lemak Badan
Penurunan testosteron boleh mengakibatkan peningkatan lemak badan, terutamanya di sekitar perut.
Ini berlaku kerana perubahan dalam metabolisme dan pengedaran lemak, menjadikan kawalan berat badan lebih sukar.
Tambahan itu juga, tanda testosteron yang rendah juga boleh dilihat pada tisu dada yang semakin membesar. Keadaan ini dikenali sebagai ginekomastia.
Ginekomastia boleh berlaku apabila terdapat ketidakseimbangan testosteron dan estrogen dalam badan.
5. Kelesuan atau Tidak Bertenaga
Lelaki dengan testosteron rendah sering mengalami keletihan kronik dan penurunan ketara dalam tahap tenaga.
Ini boleh menjejaskan aktiviti harian, prestasi kerja dan kualiti hidup keseluruhan.
6. Ketumpatan Tulang Merosot
Testosteron membantu mengekalkan ketumpatan tulang. Tahap yang rendah boleh menyebabkan penurunan kepadatan tulang, meningkatkan risiko patah tulang dan keadaan seperti osteoporosis.
7. Keguguran Rambut
Walaupun keguguran rambut adalah bahagian semula jadi penuaan, lelaki dengan testosteron rendah mungkin mengalami kehilangan rambut yang lebih ketara. Mereka boleh mengalami keguguran rambut di kepala dan bulu badan.
Testosteron adalah penting untuk pertumbuhan rambut.
8. Kemerosotan Memori
Fungsi kognitif seperti ingatan dan tumpuan boleh dipengaruhi oleh paras testosteron yang rendah.
Lelaki yang rendah dengan paras testosteron mungkin mengalami kesukaran untuk fokus, kemerosotan dalam ingatan, dan kelesuan kognitif secara keseluruhan.
Menurut satu kajian semula pada 2019, suplemen testosteron boleh meningkatkan daya ingatan pada lelaki tua dengan paras yang testosteron rendah walaupun kesannya mungkin kecil. [2]
9. Saiz Zakar dan Testikel Mengecil
Testosteron memainkan peranan penting dalam perkembangan zakar dan testis (buah zakar) serta pengeluaran sperma.
Paras testosteron yang rendah boleh menyebabkan saiz zakar dan buah zakar yang lebih kecil dan jumlah sperma yang lebih rendah, yang berpotensi menjejaskan kesuburan.
10. Gangguan Tidur
Testosteron rendah boleh dikaitkan dengan gangguan tidur, termasuk insomnia atau gangguan tidur yang lain. Ini juga boleh menyumbang kepada rasa letih dan kekurangan tenaga.
11. Sel-sel Darah Merah Rendah
Testosteron membantu dalam penghasilan sel darah merah. Tahap testosteron yang rendah boleh menyebabkan anemia, iaitu keadaan kekurangan sel-sel darah merah yang dicirikan oleh gejala-gejala seperti keletihan, kelemahan, dan sesak nafas.
Menurut satu kajian, rawatan testosteron meningkatkan paras sel-sel darah merah dengan ketara bagi mereka yang mengalami anemia yang tidak dapat dijelaskan serta mereka yang mengalami anemia daripada punca yang diketahui. [3]
Penyebab Testosterone Rendah
Paras testosteron secara semula jadi berkurangan apabila seseorang lelaki semakin tua, tetapi keadaan atau masalah kesihatan lain juga boleh menyebabkan testosteron rendah.
Ini termasuklah:
- Kecederaan testikel
- Stres
- Rawatan kanser
- Penyakit buah pinggang
- Ketagihan alkohol
- Penyakit autoimun
- Sirosis hati
- AIDS
- Obesiti
- Jangkitan
- Sindrom metabolik
- Ubat-ubatan tertentu
Rumusan
Memahami tanda-tanda atau gejala yang dinyatakan ini adalah penting untuk mengenal pasti paras testosteron rendah.
Jika tanda atau gejala ini hadir, adalah penting untuk berunding dengan doktor untuk diagnosis dan rawatan yang betul.
Rawatan mungkin termasuk perubahan gaya hidup, terapi penggantian hormon, atau menangani keadaan kesihatan yang menyumbang kepada testosteron rendah.
Rujukan
- Huo, S. et al. (2016). Treatment of Men for “Low Testosterone”: A Systematic Review. PloS one.
- Tan, S. et al. (2019). Effects of Testosterone Supplementation on Separate Cognitive Domains in Cognitively Healthy Older Men: A Meta-analysis of Current Randomized Clinical Trials. The American journal of geriatric psychiatry.
- Roy, C. N. et al. (2017). Association of Testosterone Levels With Anemia in Older Men: A Controlled Clinical Trial. JAMA internal medicine.