Otak adalah aset yang penting bagi anda. Ia mengawal apa sahaja yang anda lakukan. Adalah penting untuk menjaga kesihatan otak anda. Namun, terdapat beberapa tabiat yang boleh merosakkan otak anda.
Mengubah tabiat-tabiat ini boleh membantu otak anda kembali berfungsi dengan baik dan meningkatkan kesihatan otak anda.
Seterusnya, ia boleh mencegah atau melambatkan terjadinya penyakit-penyakit kemerosotan otak yang berkaitan dengan usia seperti demensia atau Alzheimer.
Artikel ini menyenaraikan 10 tabiat yang boleh merosakkan otak yang perlu diubah sekiranya anda memilikinya.
1. Merokok
Merokok adalah satu tabiat buruk yang bukan sahaja merosakkan otak tetapi turut menjejaskan kesihatan badan secara keseluruhannya.
Merokok boleh merosakkan saluran-saluran darah dan menyebabkan keradangan yang berpanjangan (kronik). Kerosakan ini boleh membawa kepada kemerosotan kognitif dan strok.
Selain itu, merokok juga boleh menyebabkan otak anda mengecut. Merokok juga menyebabkan memori anda semakin merosot menjadi anda dua kali lebih berisiko untuk mengalami demensia termasuklah Alzheimer.
Berhenti merokok adalah cara terbaik untuk diri dan otak anda.
2. Banyak Makan Makanan Segera
Banyak makan makanan segera atau makanan rapu (junk food) juga boleh merosakkan otak anda.
Orang yang banyak memakan makanan segera atau makanan rapu mempunyai bahagian otak yang berkaitan dengan pembelajaran, memori dan kesihatan mental yang lebih kecil.
Selain itu, makanan-makanan jenis ini juga tinggi dengan kalori, lemak, gula dan garam yang boleh meningkatkan risiko kepada obesiti dan diabetes. Masalah kesihatan seperti ini juga boleh menjejaskan kesihatan otak anda.
Oleh itu, amalkan pemakanan yang sihat dan kurangkan makanan segera atau rapu.
3. Tidak Tidur Secukupnya
Tidur adalah satu keperluan untuk manusia. Tidak mendapatkan tidur yang secukupnya boleh menjejaskan otak anda.
Apabila anda tidak mendapatkan tidur yang cukup, otak anda tidak mempunyai peluang untuk berehat dan pulih.
Keadaan ini boleh menjurus kepada keadaan yang serius seperti kemerosotan memori, penyelesaian masalah dan penaakulan.
Jika anda ingin melindungi otak anda, pastikan anda mendapat sekurang-kurangnya tujuh jam tidur secara konsisten setiap malam. Ia juga penting untuk menangani sebarang gangguan tidur, seperti apnea tidur.
4. Terlalu Banyak Duduk (Tidak Aktif)
Tidak aktif dan terlalu banyak duduk juga merupakan tabiat yang boleh merosakkan otak.
Satu kajian pada 2018 mendapati duduk terlalu lama mempunyai kaitan dengan perubahan pada bahagian otak yang penting untuk ingatan.
Melalui imbasan MRI, penyelidik mendapati medial temporal lobe (MTL) iaitu bahagian otak yang menghasilkan memori baru adalah lebih nipis bagi mereka yang duduk lebih lama. Penipisan MTL boleh menjadi pelopor kepada kemerosotan kognitif dan demensia. [1]
5. Stres yang Kronik
Stres yang berpanjangan atau kronik juga tidak baik untuk otak anda.
Stres yang kronik boleh membunuh sel-sel otak dan mengecutkan prefrontal cortex iaitu bahagian yang bertanggungjawab kepada memori dan pembelajaran.
6. Kurang Bersosial
Kesepian dikaitkan dengan kemurungan dan risiko kepada penyakit Alzhimer serta mempercepatkan kemerosotan kognitif.
Kajian pada tahun 2020 turut mendapati kesepian boleh meningkatkan risiko kepada demensia. [2]
Interaksi sosial tidak bermakna berapa ramai anda mempunyai pengikut di media sosial, tetapi apa yang penting ialah interaksi sebenar yang secara bersemuka.
7. Makan Berlebihan
Tabiat suka makan secara berlebihan juga boleh menyebabkan kerosakan otak.
Jika anda makan terlalu banyak makanan walaupun jenis makanan yang betul, otak anda mungkin tidak dapat membina rangkaian perhubungan yang kuat yang membantu anda berfikir dan mengingati.
Tabiat makan berlebihan ini boleh menyebabkan anda mendapat berat badan berlebihan yang berbahaya, yang boleh menyebabkan penyakit jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi.
8. Mendengar Muzik Terlalu Kuat
Tabiat mendengar muzik terlalu kuat juga boleh merosakkan otak anda.
Dengan fon telinga anda pada kelantangan penuh, anda boleh merosakkan pendengaran anda secara kekal dalam masa 30 minit sahaja.
Tetapi ini bukan hanya melibatkan telinga anda; Kehilangan pendengaran pada orang tua dikaitkan dengan masalah otak, seperti Alzheimer dan kehilangan tisu otak.
Ini mungkin kerana otak anda perlu bekerja keras untuk memahami apa yang diperkatakan di sekeliling anda sehingga ia tidak dapat menyimpan apa-apa yang anda dengar ke dalam ingatan.
9. Duduk dalam Gelap Terlalu Lama
Jika anda menghabiskan terlalu banyak masa dalam gelap, otak anda tidak mendapat pendedahan cahaya matahari yang mencukupi.
Ini boleh membawa kepada masalah seperti gangguan afektif bermusim dan kemurungan. Jika anda ingin memastikan otak anda sihat, pastikan anda mendapat banyak cahaya matahari setiap hari.
Buka tingkap dan langsir pada setiap hari dan pastikan anda keluar dari semasa ke semasa.
10. Banyak Meminum Arak
Tabiat meminum alkohol atau arak juga boleh mengecutkan otak anda.
Menurut satu kajian pada tahun 2022, meminum alkohol pada kadar ringan hingga sederhana boleh menyebabkan pengecutan otak. [3]
Para penyelidik mendapati bahawa setengah bir sehari sudah cukup untuk mencetuskan perubahan ini dan kaitan ini semakin kuat dengan semakin tingginya tahap penggunaan alkohol.
Rujukan
- Siddarth, P. et al. (2018). Sedentary behavior associated with reduced medial temporal lobe thickness in middle-aged and older adults. PloS one.
- Sutin, A. R. et al. (2020). Loneliness and Risk of Dementia. The journals of gerontology. Series B, Psychological sciences and social sciences.
- University of Pennsylvania. (2022). More alcohol, less brain: Association begins with an average of just one drink a day. ScienceDaily.