Adakah stres boleh menyebabkan mati pucuk? Apakah perkaitan antara stres dan mati pucuk?
Mungkin anda tertanya-tanya adakah benar bahawa stres boleh menyebabkan mati pucuk bagi kaum lelaki? Bagi menjawab persoalan ini, artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai stres (tekanan) dan mati pucuk.
Mati pucuk atau turut dikenali sebagai disfungsi erektil (ED) atau impotens ialah kegagalan untuk mencapai dan mengekalkan ereksi yang cukup lama untuk aktiviti seksual yang memuaskan. Di seluruh dunia, mati pucuk menjejaskan kira-kira 52% lelaki.
Stres atau tekanan sebenarnya boleh mengganggu fungsi seksual dan menyebabkan mati pucuk. [1]
Hubung Kait antara Stres dan Mati Pucuk
Stres atau tekanan adalah sebahagian daripada mekanisme survival biologi. Badan kita masih memerlukan stres untuk berhadapan dengan situasi lawan atau lari.
Terdapat 2 hormon utama yang memainkan peranan penting dalam tindak balas lawan atau lari iaitu adrenalin dan kortisol.
Pada mulanya, badan menghasilkan adrenalin dan bertindak segera supaya kita bersedia untuk bertindak balas terhadap bahaya.
Selepas adrenalin memuncak, kortisol dilepaskan untuk beberapa jam. Kortisol mengekalkan kita dalam keadaan stres sehingga ancaman itu berlalu.
Stres yang berpanjangan bermakna hormon yang direka untuk menghalang kita daripada bahaya mula menyebabkan isu berkaitan stres, seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan mati pucuk (disfungsi erektil).
Terdapat kajian yang turut menekankan kepentingan pengurusan stres dalam menambah baik masalah disfungsi erektil. [2]
Punca-punca Psikologi yang Menyebabkan Mati Pucuk
Bukan sahaja setakat stres, mati pucuk atau ED sebenarnya boleh berpunca daripada masalah kesihatan mental yang lain.
1. Keresahan atau Kebimbangan (Anxiety)
Keresahan mencetuskan tindak balas stres dan boleh meningkatkan kadar denyutan jantung, meningkatkan tekanan darah, dan menyebabkan pernafasan yang laju.
Satu kajian semula yang melibatkan 12 kajian melaporkan bahawa terdapat prevalens yang tinggi bagi mereka yang mengalami kecelaruan keresahan dan turut mengalami mati pucuk atau ED. [3]
Keresahan kronik yang membawa kepada ED boleh ditambah dengan kehilangan keyakinan seksual yang boleh mencetuskan kemurungan sekunder.
2. Kemurungan
Kemurungan boleh mengurangkan keinginan seksual dan tahap tenaga, yang membawa kepada ED.
Kajian menunjukkan bahawa kemurungan memainkan peranan dalam perkembangan ED selain ditambah dengan faktor risiko seperti kehilangan sumber pendapatan. [4]
3. Tekanan Perkerjaan dan Kewangan
Masalah kerja atau kewangan juga menyebabkan tekanan psikologi yang ketara.
Kehilangan pekerjaan dan tekanan kewangan adalah faktor risiko yang penting untuk ED.
4. Masalah Perhubungan
Konflik, kekurangan komunikasi dan isu perhubungan yang lain boleh mengurangkan keinginan seksual dan membawa kepada masalah dengan fungsi ereksi.
5. Penderaan, PTSD dan Trauma Seksual
Lelaki yang pernah mengalami sejarah penderaan, trauma atau kecelaruan stres pascatrauma (PTSD) mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami mati pucuk. [5]
6. Kurang Keyakinan Diri
Perasaan tidak mencukupi atau rendah diri boleh menjejaskan prestasi seksual secara negatif dan membawa kepada kesukaran ereksi.
Sebaik sahaja satu episod ED berlaku, ia mungkin menimbulkan ketakutan bahawa ia akan berlaku lagi. Ini boleh menyebabkan kebimbangan prestasi dan kurang keyakinan diri.
Otak mungkin menganggap ED sebagai kegagalan. Apabila seorang lelaki melakukan hubungan seksual, kedua-dua badan dan minda bawah sedar akan mengehadkan rangsangan lelaki tersebut dan menghalang ereksi, yang seterusnya menyebabkan kitaran ED. [6]
Mendapatkan Rawatan
Lelaki biasanya diajar kepentingan berdikari dan kekuatan. Ini boleh menyukarkan untuk mereka mendapatkan bantuan.
Walau bagaimanapun, tidak mendapat bantuan yang diperlukan untuk isu yang boleh dirawat seperti stres dan mati pucuk memanjangkan penderitaan untuk lelaki dan pasangan mereka.
Ia juga penting untuk memberitahu doktor anda jika anda mengalami masalah ED kerana ED boleh mendedahkan masalah kesihatan lain seperti masalah kardiovaskular.
- Terapi: Bercakap dengan kaunselor atau ahli terapi adalah bahagian penting dalam rawatan ED, dan telah terbukti lebih berkesan apabila digabungkan dengan ubat berbanding ubat sahaja. [7]
- Pengurusan stres: Teknik seperti latihan keprihatinan, meditasi dan relaksasi boleh membantu mengurangkan stres (tekanan) dan kebimbangan.
- Ubat-ubatan: Dalam sesetengah kes, ubat mungkin ditetapkan untuk membantu menguruskan kebimbangan atau kemurungan.
- Perubahan gaya hidup: Meningkatkan kesihatan keseluruhan melalui diet, senaman, berhenti merokok atau berhenti minum alkohol juga boleh meningkatkan fungsi erektil.
Rujukan
- Mourikis, I. et al. (2015). Anxiety and depression among Greek men with primary erectile dysfunction and premature ejaculation. Annals of general psychiatry.
- Kalaitzidou, I. et al. (2014). Stress management and erectile dysfunction: a pilot comparative study. Andrologia.
- Velurajah, R. et al. (2022). Erectile dysfunction in patients with anxiety disorders: a systematic review. International journal of impotence research.
- Dadomo, H. et al. (2020). Loss of Socio-Economic Condition and Psychogenic Erectile Dysfunction: the Role of Temperament and Depression. Adaptive Human Behavior and Physiology.
- Gewirtz-Meydan, A., & Opuda, E. (2022). The Impact of Child Sexual Abuse on Men’s Sexual Function: A Systematic Review. Trauma, violence & abuse.
- Adaikan P. G. (2015). AB022. The psyche of male sexual difficulties related to related to the partner. Translational Andrology and Urology.
- Database of Abstracts of Reviews of Effects (DARE): Quality-assessed Reviews [Internet]. York (UK): Centre for Reviews and Dissemination (UK); 1995-. Combination of psychological intervention and phosphodiesterase-5 inhibitors for erectile dysfunction: a narrative review and meta-analysis. 2014. Available from: NCBI