Stevia ialah tumbuhan yang berasal dari Amerika Selatan dan telah digunakan sebagai pemanis sejak beratus tahun lamanya. Stevia lazimnya digunakan dalam minuman atau makanan sebagai pengganti gula putih dan dianggap pilihan yang lebih sihat kerana sifatnya yang sifar kalori.
Jika dahulu, stevia banyak disarankan kepada mereka yang menghidap penyakit kencing manis atau diabetes. Tetapi sekarang, kesedaran terhadap penjagaan kesihatan juga turut menyebabkan permintaan tinggi terhadap pemanis ini dalam kalangan mereka yang sihat atau dalam program diet.
Untuk memahami dan mengetahui dengan lebih lanjut mengenai stevia, artikel ini akan menjelaskan beberapa perkara utama dan penting untuk diketahui oleh masyarakat umum.
Apa itu Stevia?
Stevia atau nama saintifiknya Stevia rebaudiana Bertoni adalah tumbuhan herba yang berasal dari Amerika Selatan yang telah digunakan sejak 200 tahun dahulu.
Orang asli di kawasan ini telah menggunakan daun tumbuhan ini sebagai pemanis minuman mereka atau mengunyahnya untuk mendapatkan rasa manisnya.
Pada tahun 1899, pokok stevia telah direkodkan secara saintifik sebagai Eupatorium rebaudianum oleh Moises Santiago de Bertoni di Paraguay. Pada tahun 1905, tumbuhan ini kemudiannya dinamakan sebagai Stevia rebaudiana iaitu salah satu daripada keluarga pokok bunga matahari.
Ekstrak pokok stevia mula-mula diperdagangkan sebagai pemanis oleh negara Jepun pada tahun 1970. Sehingga kini, produk pemanis ini masih popular dan mendapat sambutan.
Stevia telah diusahakan dibeberapa buah negara seperti Paraguay, China, Kenya, Amerika Syarikat, Vietnam, Brazil, India, Argentina dan Columbia.
Ekstrak stevia merupakan istilah yang digunakan merujuk kepada penyediaan yang merendamkan daun daripada tumbuhan stevia untuk mengekstrak sebatian manis daripada daun tersebut.
Sebatian manis dalam daun stevia dipanggil “glikosida steviol“ atau dalam artikel ini kita istilahkan sebagai gula stevia. Sebatian ini terbentuk secara semula jadi dalam daun tumbuhan herba ini. Glikosida adalah sebatian yang terdiri daripada gula yang terikat pada molekul lain.
Terdapat 11 jenis gula stevia, dua daripadanya iaitu rebaudioside A dan steviosida adalah yang paling banyak terdapat dalam daun tumbuhan ini.
Ekstrak daun stevia yang tulen boleh mengandungi satu atau beberapa jenis gula stevia yang berbeza. Ini menjadikannya 250 hingga 300 kali lebih manis daripada gula putih (sukrosa).
Kenapa Stevia Sifar Kalori?
Stevia juga turut dikenali sebagai gula atau pemanis yang sifar kalori.
Kajian menunjukkan tiada pengumpulan stevia (termasuklah sebarang komponen atau bahan sampingan stevia) dalam badan dan ia disingkirkan dari badan semasa proses metabolisme.
Tenaga yang dihasilkan semasa fermentasi unit glukosa (gula) stevia adalah sangat rendah dan ini menjadikan ia sesuai dikatakan membekal sifar kalori. [1, 2]
Ekstrak daun stevia yang berketulenan tinggi juga tidak dapat dimetabolismekan. Oleh itu, ia tidak mempunyai kalori atau sifar kalori.
Khasiat Stevia untuk Kesihatan
Stevia juga dilaporkan mempunyai khasiat yang tertentu buat beberapa golongan terutamanya mereka yang menghidap penyakit kencing manis.
Berikut adalah beberapa khasiat stevia berdasarkan sokongan kajian-kajian sains.
1. Diabetes atau Penyakit Kencing Manis
Stevia sememangnya popular dalam kalangan pesakit diabetes atau kencing manis.
Ia digunakan sebagai pemanis dan pengganti kepada gula putih (gula pasir) kerana sifatnya yang tiada kalori.
Beberapa kajian dilakukan untuk melihat kesan stevia terhadap gula darah bagi pesakit diabetes.
Satu kajian klinikal yang dijalankan terhadap 34 orang pesakit diabetes jenis 2 mendapati pengambilan satu cawan teh mengandungi 2% ekstrak stevia sebanyak 3 kali sehari tidak mendatangkan sebarang kesan terhadap paras gula darah, purata gula darah (HbA1C), insulin dan paras lipid (lemak). [3]
Selain itu, terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa stevia boleh mengurangkan selera makan dan tidak menyebabkan peningkatan pengambilan makanan dan paras gula darah selepas makan. Ciri-ciri ini menjadikan ia sebagai makanan yang berguna untuk kepada pesakit diabetes. [4]
2. Tekanan Darah Tinggi
Stevia juga dilaporkan mempunyai kesan positif terhadap mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi atau hipertensi.
Satu kajian yang dijalankan terhadap 106 orang pesakit hipertensi melaporkan bahawa pengambilan kapsul mengandungi steviosida (gula stevia) sebanyak 250 mg selama 3 bulan menyebabkan penurunan ketara terhadap tekanan darah sistolik dan diastolik dan kesannya berterusan sepanjang tahun. [5]
Ini menunjukkan steviosida ini boleh menjadi salah satu terapi alternatif bagi pesakit hipertensi.
3. Kawalan Berat Badan
Stevia juga popular digunakan dalam kalangan mereka yang ingin mangawal atau mengurangkan berat badan.
Pengamal diet keto atau diet Atkins biasa menggunakan stevia sebagai pengganti gula bagi menampung keinginan yang sangat terhadap gula (sugar craving).
Satu kajian terkini yang dijalankan terhadap 30 orang peserta mendapati pengambilan stevia menyebabkan pengurangan rasa lapar dan keinginan untuk makan. Kesan positif ini boleh memberikan impak yang baik dalam mengawal atau mengurangkan berat badan. [4]
Satu kajian lain yang dijalankan terhadap individu sihat mendapati pengambilan stevia boleh mengekalkan berat badan dan menyederhanakan pengambilan kalori harian. [6]
Risiko atau Kesan Sampingan
Kajian-kajian keselamatan melabelkan ekstrak stevia sebagai selamat dan bebas kesan sampingan.
Menurut FDA, gula stevia (glikosida steviol) yang diekstrak daripada pokok stevia diiktiraf sebagai selamat secara umum atau Generally Recognized As Safe (GRAS).
Di Malaysia, menurut penerbitan pada 2015, stevia dibenarkan digunakan dalam produk farmaseutikal sebagai pemanis.
Walau bagaimanapun, pengguna harus mengetahui bahawa sesetengah produk stevia yang dijual di pasaran mengandungi gula alkohol seperti eritritol. Gula alkohol ini digunakan untuk mengurangkan kesan rasa pahit stevia ini.
Bagi mereka yang sensitif terhadap gula alkohol, mereka mungkin mengalami kembung perut, loya, cirit-birit atau kejang perut.
Adakah Stevia Selamat Bagi Wanita Hamil?
Pemanis stevia yang dijual di pasaran secara umumnya adalah selamat dimakan oleh wanita hamil pada kadar sederhana atau sedikit.
Sekiranya anda sensitif terhadap gula alkohol, pastikan anda memilih produk yang tidak mengandungi gula ini.
Ekstrak mentah atau keseluruhan daun stevia termasuk yang ditanam dirumah adalah tidak selamat digunakan sekiranya anda hamil. Ini kerana masih kurang bukti dari kajian yang melaporkan mengenai pengambilan keseluruhan daun atau ekstrak mentah stevia terhadap kandungan.
Pengambilan Harian Boleh Terima (ADI)
Pengambilan Harian Boleh Terima (ADI) adalah jumlah bahan yang boleh dimakan oleh seseorang dalam makanan atau minuman setiap hari sepanjang hayatnya tanpa risiko kesihatan yang besar.
Menurut Joint FAO-WHO Expert Committee on Food Additives (JECFA), Pengambilan Harian Boleh Terima (ADI) bagi stevia adalah sebanyak 4 mg/kg berat badan sehari, dinyatakan sebagai setara steviol.
Ini bersamaan kira-kira 12 mg ekstrak gula stevia berketulenan tinggi bagi setiap kilogram berat badan sehari.
Cara penggiraannya adalah:
- Berat badan = 70 kg
- ADI= 12 mg/kg
- 70 kg x 12 mg/kg = 840 mg gula stevia sehari.
Ini bermakna, sekiranya satu sacet atau peket pemanis stevia mengandungi 21 mg gula stevia (glikosida steviol), seseorang itu perlu mengambil 40 sacet sehari (840/21 = 40) sebelum mencapai tahap maksimum ADI ini.
Lazimnya, perkara ini amatlah jarang berlaku.
Rumusan
Stevia adalah sejenis pemanis semula jadi yang berasal daripada tumbuhan herba, Stevia rebaudiana Bertoni.
Pemanis ini semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna sebagai satu alternatif kepada gula putih (gula pasir) kerana sifatnya yang rendah atau sifar kalori. Ia juga turut sesuai diambil oleh pesakit kencing manis atau diabetes.
Secara umumnya, stevia adalah selamat untuk dimakan. Kesan sampingan mungkin hanya berlaku bagi produk stevia yang dicampur dengan gula alkohol seperti eritritol.
Justeru itu, anda boleh menggunakannya tanpa ragu-ragu dan pastikan tidak mengambilnya secara berlebihan.
Rujukan
- EFSA Panel on Food Additives and Nutrient Sources (ANS). (2010). Scientific Opinion on safety of steviol glycosides for the proposed uses as a food additive. EFSA Journal.
- Gardana, C. et al. (2003). Metabolism of stevioside and rebaudioside A from Stevia rebaudiana extracts by human microflora. Journal of agricultural and food chemistry.
- Ajami, M. et al. (2020). Effects of stevia on glycemic and lipid profile of type 2 diabetic patients: A randomized controlled trial. Avicenna journal of phytomedicine.
- Farhat, G. et al. (2019). Effects of Stevia Extract on Postprandial Glucose Response, Satiety and Energy Intake: A Three-Arm Crossover Trial. Nutrients.
- Chan, P. et al. (2000). A double-blind placebo-controlled study of the effectiveness and tolerability of oral stevioside in human hypertension. British journal of clinical pharmacology.
- Stamataki, N. S. et al. (2020). Effects of the Daily Consumption of Stevia on Glucose Homeostasis, Body Weight, and Energy Intake: A Randomised Open-Label 12-Week Trial in Healthy Adults. Nutrients.