Apa itu Sindrom Bayi Biru?
Sindrom bayi biru atau turut dikenali sebagai metamoglobinemia bayi adalah keadaan di mana kulit bayi menjadi biru. Ini berlaku disebabkan oleh penurunan jumlah hemoglobin dalam darah bayi.
Hemoglobin ialah protein darah yang bertanggungjawab untuk membawa oksigen di seluruh badan dan menghantarnya ke tisu-tisu dan sel-sel berbeza.
Apabila darah tidak dapat membawa oksigen ke seluruh badan, bayi menjadi biru.
Sindrom bayi biru jarang berlaku di negara maju, tetapi ia kadang-kadang berlaku di kawasan luar bandar. Bayi yang dilahirkan di negara membangun dengan bekalan air yang kurang terus berisiko untuk mengalami keadaan ini.
Punca yang Menyebabkan Sindrom Bayi Biru?
Punca atau penyebab paling biasa sindrom bayi biru adalah air yang tercemar dengan nitrat.
Selepas bayi meminum susu formula yang dibuat dengan air yang tinggi dengan nitrat, badan menukarkan nitrat kepada nitrit.
Nitrit ini mengikat hemoglobin dalam badan, membentuk metamoglobin yang tidak dapat membawa oksigen.
Nitrat adalah sebatian yang paling biasa dalam air minuman dalam komuniti petani yang menggunakan air perigi. Pencemaran ini disebabkan oleh penggunaan baja dan baja asli.
Selain air yang mengandungi nitrat, makanan bayi buatan sendiri yang mengandungi makanan yang tinggi nitrat seperti bayam atau ubi bit juga boleh menyebabkan sindrom ini.
Bayi yang lebih muda dari 3 bulan berisiko tinggi untuk sindrom bayi biru, tetapi ia juga boleh berlaku pada populasi lain.
Beberapa penyakit lain yang boleh menyebabkan bayi kelihatan biru adalah seperti berikut:
- Tetralogy of Fallot (TOF): TOF adalah penyakit jantung kongenital yang serius menyebabkan empat keabnormalan struktur dalam jantung yang membawa kepada kekurangan oksigen dalam darah.
- Keabnormalan jantung kongenital yang lain: Sebarang kelainan jantung kongenital yang menjejaskan jumlah oksigen dalam darah bayi boleh menyebabkan kulit mereka menjadi biru.
- Metamoglobinemia: Akibat daripada terhidu nitrik oksida atau ubat anestetik atau antibiotik tertentu.
Gejala-gejala atau Tanda
Selain warna kulit yang kebiru-biruan, beberapa gejala atau tanda lain yang boleh diperhatikan adalah:
- Kerengsaan
- Kelesuan atau tidak bermaya
- Cirit-birit
- Muntah
- Susah untuk makan
- Berat tidak bertambah
- Sukar bernafas
- Tidak sedarkan diri
- Sawan
Diagnosis
Ibu bapa atau penjaga yang melihat perubahan warna kebiruan pada kulit bayi mereka harus membawa bayi mendapatkan rawatan dengan doktor.
Doktor akan memulakan diagnosis dengan mengambil sejarah perubatan yang menyeluruh dengan bertanya tentang sebarang gejala, corak pemakanan, dan keadaan di rumah.
Mereka kemudian akan melakukan pemeriksaan fizikal, melihat perubahan warna kawasan yang berubah warna dan mendengar denyutan jantung dan paru-paru.
Ujian-ujian lain yang mungkin turut dijalankan adalah:
- Ujian darah
- Sinar-X di dada
- Ekokardiogram untuk melihat fungsi jantung
- Ketepuan oksigen untuk menentukan jumlah oksigen dalam darah
- Pengkateteran jantung untuk melihat terus saluran darah dan struktur di dalam jantung
Doktor mungkin meminta anda untuk membawa air minuman di rumah untuk diuji akan paras nitrat.
Air dengan paras nitrat di bawah 10 miligram seliter (mg/L) dianggap selamat. Jika sampel air mempunyai paras nitrat melebihi 10 mg/L, jangan berikan kepada bayi.
Rawatan
Rawatan bergantung kepada punca sindrom bayi biru. Jika keadaan itu disebabkan oleh kecacatan jantung kongenital, bayi anda berkemungkinan besar memerlukan pembedahan pada satu ketika.
Pakar bedah biasanya akan melakukan pembedahan sebelum bayi berumur 1 tahun, idealnya pada usia sekitar 6 bulan, atau lebih awal sedikit.
Ubat-ubatan juga mungkin disyorkan. Bayi dengan metamoglobinemia boleh membalikkan keadaan dengan mengambil ubat yang dipanggil methylene blue, yang boleh membekalkan oksigen kepada darah.
Sekiranya sindrom ini berpunca daripada air paip atau air perigi yang tinggi dengan nitrat, mengelakkan sumber pencemaran nitrat ini adalah penting untuk merawat sindrom bayi biru ini.
Rujukan
- Greer, F. R. et al (2005). Infant methemoglobinemia: the role of dietary nitrate in food and water. Pediatrics.
- Knobeloch, L. et al. (2000). Blue babies and nitrate-contaminated well water. Environmental health perspectives.
- Christiano,D. (2017). Blue Baby Syndrome. Healthline