Mengambil maklum mengenai simptom-simptom COVID-19 adalah langkah bijak yang harus diambil oleh setiap individu di Malaysia.
Berpandukan perkongsian maklumat di seluruh dunia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), simptom-simptom COVID-19 di Malaysia adalah hampir sama seperti mana di negara-negara lain.
Penyakit yang dikelaskan sebagai pandemik ini telah merebak ke 235 buah negara dan wilayah yang melibatkan 79,232,555 kes dan 1,754,493 kematian setakat 27 Disember 2020. [1]
Di Malaysia, sehingga 27 Disember 2020, terdapat 20,233 kes aktif daripada 105,096 kes secara keseluruhan. Sehingga tarikh ini juga, seramai 452 orang telah menjadi korban bagi pandemik ini. [2]
COVID-19 atau penyakit Coronavirus 2019 adalah penyakit pernafasan yang boleh merebak daripada seorang individu kepada individu yang lain.
COVID-19 ialah virus dan penyakit yang baru yang bermula dari wilayah Wuhan, China pada Disember 2019.
Tempoh inkubasi atau jarak masa antara pertama kali dijangkiti virus sehingga penampakan simptom-simptom adalah dianggarkan antara 1 hingga 14 hari.
Kebanyakkannya menunjukkan simptom seawal 5 hari (berdasarkan maklumat dari WHO).
Simptom-simptom COVID-19 Malaysia
Berdasarkan maklumat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mereka yang disyaki menghidap penyakit COVID-19 ini mempunyai simptom-simptom atau gejala COVID-19 seperti berikut: [3]
Sekurang-kurangnya mempunyai 2 gejala berikut:
- Demam
- Sakit kepala
- Hidung tersumbat
- Selesema
- Sakit tekak
- Muntah atau loya
- Mengigil
- Kelesuan
- Kejang otot
- Cirit-birit
Atau memiliki salah satu daripada gejala berikut:
- Batuk
- Sesak nafas
- Sukar bernafas
- Tiba-tiba hilang deria bau
- Tiba-tiba hilang deria rasa
Atau mengalami penyakit pernafasan yang teruk seperti:
- Radang paru-paru
- Sindrom kecemasan respiratori akut
Simptom-simptom ini boleh kelihatan selepas 1 hingga 14 hari selepas terdedah kepada virus ini.
Kebanyakkan simptom ini bermula dengan ringan dan bertambah teruk secara beransur-ansur. Terdapat juga individu yang dijangkiti tetapi tidak menunjukkan sebarang simptom dan rasa tidak sihat.
Siapakah Berisiko Tinggi?
Golongan-golongan yang memiliki kriteria berikut berisiko tinggi untuk terkena jangkitan COVID-19 ini:
- Pernah hadir di kawasan yang dikaitkan dengan kluster COVID-19 atau zon merah.
- Pernah mengembara ke luar negara dalam masa 14 hari sebelum bergejala.
- Pernah tinggak di luar negara dalam masa 14 hari sebelum bergejala.
- Mempunyai kontak dengan mereka yang positif COVID-19 dalam masa 14 hari sebelum muncul gejala.
Selain itu, golongan-golongan berikut juga turut berisiko tinggi terkena jangkitan dan mendapat komplikasi yang serius yang boleh membawa maut.
- Warga emas.
- Kanak-kanak.
- Wanita mengandung.
- Pesakit kronik iaitu pesakit kencing manis (diabetes), darah tinggi (hipertensi), jantung dan asma.
- Pesakit yang mempunyai imuniti rendah seperti penghidap kanser dan HIV.
Kebanyakan pesakit COVID-19 yang meninggal dunia di Malaysia adalah mereka yang telah mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.
Bagaimana Virus Ini Merebak?
Virus yang menyebabkan pandemik COVID-19 ini boleh tersebar melalui titisan air akibat daripada seseorang yang batuk, bersin atau menghembus nafas. Titisan ini terlalu berat untuk terapung di udara, maka ia akan terus jatuh ke lantai atau sebarang permukaan.
Anda boleh dijangkiti sekiranya bernafas berdekatan mereka yang telah dijangkiti COVID-19 atau menyentuh permukaan yang telah tercemar oleh virus ini dan kemudiannya menyentuh mulut, hidung atau mata.
Apakah yang Perlu Dilakukan Jika Anda Mempunyai Simptom COVID-19?
Sekiranya anda atau orang terdekat dengan anda seperti ahli keluarga menunjukkan simptom COVID-19, segeralah mendapatkan rawatan di hospital-hospital berdekatan dan amalkan langkah-langkah pencegahan.
Simptom hanyalah tanda dan tidak semestinya anda positif COVID-19. Oleh itu,jangan takut untuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital.
Langkah-langkah Pencegahan COVID-19
Mencegah lebih baik daripada mengubati. Beberapa langkah-langkah pencegahan atau perlindungan boleh dilakukan bagi mengelak daripada virus ini terus merebak antaranya adalah:
1. Selalu Mengamalkan Tahap Kebersihan Diri yang Tinggi
Kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau menggunakan pencuci tangan (hand sanitizer). Sentiasa menjaga kebersihan diri.
2. Elak Bersalaman atau Bersentuhan
Tangan yang tidak dibasuh dengan kerap dan betul penuh dengan kuman.
3. Tutup Mulut dan Hidung
Tutup mulut dan hidung menggunakan tisu apabila batuk dan bersin. Buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah.
4. Pakai Penutup Hidung dan Mulut
Pakai penutup hidung dan mulut (mask) jika bergejala.
5. Berhenti Merokok
Berhenti merokok jika anda seorang perokok atau jauhi asap rokok (jangan jadi perokok pasif). Golongan ini mudah untuk dijangkiti virus corona ini kerana selalu meletakkan tangan dibibir.
Selain itu, sekiranya terkena jangkitan virus ini,ia boleh membawa kepada kes yang lebih teruk kerana paru-paru perokok telah pun rosak.
6. Jauhi Kawasan yang Menjadi Tumpuan Ramai
Sekiranya tiada keperluan, elakkan daripada mengunjung ke tempat-tempat tumpuan ramai seperti pusat membeli-belah atau pasar. Jika tidak dapat dielakkan, pakai pelitup muka dan amalkan penjarakan fizikal.
7. Mengamalkan Penjarakan Fizikal
Mengamalkan penjarakan fizikal atau sosial di tempat awam sekurang-kurangnya 1 meter.
Rujukan
- World Health Organization .(2020). WHO Coronavirus Disease (COVID-19) Dashboard. WHO [diakses pada 28 Disember 2020].
- Kementerian Kesihatan Malaysia. (2020). Situasi Semasa Pandemik COVID-19 Di Malaysia. KKM [diakses pada 28 Disember 2020].
- Kementerian Kesihatan Malaysia. (2020). Soalan Lazim (FAQ) Rasmi Berkaitan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. KKM [diakses pada 28 Disember 2020].