Kekurangan zat besi berlaku apabila badan anda tidak mendapat zat besi yang mencukupi daripada makanan yang mengandungi zat besi. Keadaan ini dikenali sebagai anemia disebabkan kekurangan zat besi. Terdapat beberapa simptom yang boleh dilihat jika anda kekurangan zat besi.
Jom! Ketahui dengan lebih lanjut mengenai simptom-simptom kekurangan zat besi ini.
Zat besi ialah mineral surih yang diperlukan oleh badan untuk menghasilkan hemoglobin iaitu protein dalam sel-sel darah merah. Antara tugas hemoglobin ini ialah untuk membawa oksigen ke seluruh badan.
Jika badan tidak mempunyai hemoglobin yang mencukupi, tisu dan otot badan tidak dapat berfungsi dengan baik akibat kekurangan oksigen. Keadaan ini akan membawa kepada anemia.
Walaupun terdapat banyak jenis anemia tetapi anemia disebabkan kekurangan zat besi adalah yang paling biasa berlaku.
Zat besi boleh diperolehi melalui pemakanan terutamanya makanan yang tinggi dengan zat besi.
Terdapat beberapa punca yang menyebabkan kekurangan zat besi ini berlaku. Antaranya:
- Pengambilan zat besi yang tidak mencukupi melalui pemakanan.
- Keperluan zat besi yang tinggi semasa mengandung.
- Kehilangan darah yang banyak semasa haid.
- Kehilangan darah akibat pendarahan dalaman.
- Penyakit usus inflamatori.
Kekurangan zat besi boleh menyebabkan simptom-simptom yang boleh menganggu aktiviti harian serta kualiti hidup penghidapnya.
Berikut adalah 10 tanda atau simptom kekurangan zat besi.
1. Penat yang Luar Biasa
Rasa penat yang luar biasa adalah simptom yang paling biasa bagi kekurangan zat besi.
Ini kerana kekurangan zat besi bermakna anda kekurangan hemoglobin yang diperlukan untuk membawa oksigen ke seluruh badan.
Kesannya, tisu dan otot badan kurang mendapat oksigen untuk berfungsi. Jantung anda juga harus bekerja dengan lebih kuat untuk mengepam darah yang mengandungi oksigen ke seluruh badan, keadaan ini boleh membuatkan anda penat. [1]
Bagaimana untuk membezakan penat akibat kekurangan zat besi dengan penat biasa?
Biasanya mereka yang mengalami kekurangan zat besi ini akan mengalami penat yang disertai rasa tidak bertenaga, sukar untuk memberi tumpuan dan rasa aneh.
2. Muka atau Kulit Menjadi Pucat
Kulit atau muka pucat juga adalah salah satu simptom kekurangan zat besi.
Hemoglobin memberikan darah merah warna merahnya. Jadi, sekiranya jumlah hemoglobin ini berkurangan ia membuatkan darah kurang merah. Oleh sebab itu, kulit akan kelihatan pucat.
Pucat yang berlaku di muka, bibir, gusi dan kuku adalah lokasi yang paling mudah untuk dilihat atau dikenal pasti.
Manakala, bagi mereka yang berkulit gelap, kelopak mata bawah adalah lokasi yang paling ketara kelihatan.
Namun, simptom ini perlu disahkan dengan ujian darah untuk memastikan ia berkaitan dengan kekurangan zat besi.
3. Pening atau Sakit Kepala
Rasa pening atau sakit kepala adalah salah satu tanda yang sering terjadi kepada penghidap anemia disebabkan kekurangan zat besi.
Simptom ini lebih kerap terjadi kepada golongan wanita. [2]
Sakit kepala atau pening ini terjadi disebabkan oleh otak tidak mendapat oksigen yang mencukupi akibat daripada jumlah hemoglobin yang rendah. Akibatnya, salur darah dalam otak akan bengkak dan menyebabkan tekanan dan sakit kepala. [3]
Terdapat beberapa jenis sakit kepala yang disebabkan oleh pelbagai punca. Sakit kepala yang berulang-ulang dan kerap mungkin disebabkan oleh kekurangan zat besi.
4. Jantung Berdegup Kencang
Simptom kekurangan zat besi yang seterusnya ialah degupan jantung yang kencang atau berdegup secara tidak normal.
Degupan jantung yang kencang ini berlaku akibat kekurangan hemoglobin dan jantung terpaksa bekerja dengan lebih kuat untuk mengepam darah yang mengandugi oksigen ke seluruh badan.
Kekurangan zat besi yang teruk boleh menyebabkan kegagalan jantung. [4]
5. Sesak Nafas
Sesak nafas juga adalah antara simptom yang paling biasa berlaku akibat kekurangan zat besi.
Kekurangan hemoglobin juga bermakna otot-otot badan tidak mendapat oksigen yang mencukupi untuk berfungsi atau melakukan aktiviti harian.
Akibatnya, kadar pernafasan akan meningkat kerana badan akan cuba untuk mendapatkan oksigen yang lebih. Ini akan menyebabkan sesak nafas. [5]
Sekiranya anda menyedari perubahan bahawa anda sering berasa sesak nafas walaupun melakukan perkara harian yang mudah, kekurangan zat besi mungkin menjadi puncanya.
6. Sindrom Kaki Resah
Sindrom kaki resah atau dalam bahasa Inggerisnya, restless leg syndrome turut merupakan salah satu simptom kekurangan zat besi.
Sindrom ini membuatkan seseorang itu rasa tidak selesa pada kakinya bersama-sama dorongan yang kuat untuk mengerakkan kaki tersebut. Dorongan ini lebih kuat ketika anda sedang berehat atau hendak tidur.
Sindrom ini boleh menganggu tidur seseorang dan mengakibatkan mereka mengantuk pada siang hari serta boleh menganggu prestasi kerja.
Malah kajian turut melaporkan mereka yang mengalami sindrom ini mempunyai kualiti tidur yang rendah, kurang waktu tidur, rasa penat dan kurang bertenaga pada keesokkan harinya. [6]
7. Keinginan untuk Makan Bahan Bukan Makanan (Pika)
Keinginan untuk makan bahan bukan makanan seperti lumpur, kotoran, kertas, kapur atau cat juga boleh menjadi tanda kepada kekurangan zat besi. Simptom ini dikenali sebagai pika.
Punca kepada pika ini adalah pelbagai dan kekurangan zat besi adalah salah satu daripadanya. Pika ini juga boleh berlaku dalam kalangan wanita hamil kerana mereka adalah golongan paling terdedah kepada kekurangan zat besi.[7]
8. Bengkak atau Rasa Pedih di Lidah dan Mulut
Sekiranya anda mengalami radang seperti bengkak atau rasa pedih di lidah juga boleh menjadi petanda bahawa anda mengalami kekurangan zat besi.
Lidah yang bengkak ini akan turut kelihatan pucat atau licin. [8]
Namun, harus diingat juga alahan makanan juga boleh menyebabkan lidah bengkak.
Selain lidah, mulut juga boleh turut terkesan akibat kekurangan zat besi ini. Antara simptom yang dapat dilihat ialah: [9]
- Mulut kering
- Retak dihujung mulut (cheilosis)
9. Rambut Kering dan Rosak
Rambut yang kering dan rosak juga merupakan salah satu simptom yang sering terjadi jika berlakunya kekurangan zat besi.
Kekurangan hemoglobin akibat kekurangan zat besi menyebabkan sel-sel yang menyokong pertumbuhan rambut turut tidak mendapat oksigen yang mencukupi.
Akibatnya, rambut dan kulit menjadi kering dan lemah.
Malah, terdapat kajian yang mengaitkan kekurangan zat besi dengan keguguran rambut. [10]
10. Kuku Menjadi Rapuh
Kuku yang rapuh dan membentuk seperti sudu juga adalah simptom kekurangan zat besi. Walau bagaimanapun, simptom ini adalah antara simptom yang jarang berlaku. [5]
Biasanya simptom ini bermula dengan kuku menjadi rapuh dan senang patah.
Kemudian jika kekurangan zat besi ini berterusan, kuku ini akan membentuk lekuk di tengah dan naik di sebelah tepi seperti bentuk sudu.
Keadaan ini dikenali sebagai koilonikia (koilonychia).
Cara untuk Mengatasi Masalah Kekurangan Zat Besi
Sekiranya anda mendapati anda menunjukkan simptom-simptom kekurangan zat besi, perkara yang pertama yang perlu dilakukan ialah mendapatkan rawatan daripada doktor.
Ujian darah boleh mengesahkan sama ada anda benar-benar kekurangan zat besi atau tidak. Pengesahan daripada doktor penting untuk membolehkan rawatan yang betul diberikan.
Doktor mungkin akan menasihatkan anda supaya meningkatkan pengambilan zat besi melalui makanan atau makanan tambahan (supplement).
Anda juga boleh mendapatkan dos yang sesuai daripada doktor anda.
Makan Makanan Tinggi Zat Besi
Sekiranya kekurangan zat besi itu terjadi disebabkan pemakanan anda yang kurang dengan sumber zat besi. Tambah atau ubah menu harian anda dengan makanan tinggi zat besi berikut:
- Daging lembu.
- Kerang
- Kepah
- Telur
- Daging ayam
- Sayur bayam
- Sayur kangkung
- Biji labu
- Sayur pucuk paku
Makanan yang Boleh Membantu Penyerapan Zat Besi
Makanan yang tinggi dengan vitamin C boleh membantu badan anda menyerap zat besi dengan lebih baik.
Diet harian yang mengabungkan makanan tinggi zat besi dan vitamin C boleh membantu anda mengatasi masalah kekurangan zat besi.
Rumusan
Anemia disebabkan kekurangan zat besi adalah jenis anemia yang paling biasa berlaku di seluruh dunia.
Simptom-simptom yang sering terjadi akibat kekurangan zat besi ini ialah penat yang luar biasa, kulit menjadi pucat, sakit kepala dan sesak nafas serta diikuti oleh beberapa simptom lain.
Kekurangan zat besi boleh diatasi dengan mudah iaitu dengan mengubah pemakanan anda kepada makanan yang kaya dengan zat besi. Pengambilan makanan yang tinggi dengan vitamin C juga digalakkan kerana boleh membantu penyerapan zat besi.
Pengambilan makanan tambahan (supplement) juga boleh diambil jika disarankan oleh doktor anda.
Rujukan
- Camaschella, Clara.(2015). Iron-Deficiency Anemia. New England Journal of Medicine.
- Tayyebi, A., et al. (2019). Is There Any Correlation between Migraine Attacks and Iron Deficiency Anemia? A Case-Control Study. International journal of hematology-oncology and stem cell research.
- Markey, Keira A et al.(2016). Understanding idiopathic intracranial hypertension: mechanisms, management, and future directions. The Lancet Neurology.
- Hegde, N., et al. (2006). The cardiomyopathy of iron deficiency. Texas Heart Institute journal.
- Lopez, A., et al. (2016). Iron deficiency anaemia. Lancet (London, England).
- Allen, R. P., et al. (2013). The prevalence and impact of restless legs syndrome on patients with iron deficiency anemia. American journal of hematology.
- Johnson BE.(1990). Pica. In: Walker HK, Hall WD, Hurst JW, editors. Clinical Methods: The History, Physical, and Laboratory Examinations. 3rd edition.
- Yang-Che Wu.(2014). Oral manifestations and blood profile in patients with iron deficiency anemia. Journal of the Formosan Medical Association.
- Auerbach, M., & Adamson, J. W. (2016). How we diagnose and treat iron deficiency anemia. American journal of hematology.
- Almohanna, H. M., et al. (2019). The Role of Vitamins and Minerals in Hair Loss: A Review. Dermatology and therapy.