Kekurangan magnesium atau hipomagnesemia adalah satu masalah kesihatan yang mungkin kurang diberi perhatian. Simptom kekurangan magnesium ini selalunya tidak spesifik yang menyebabkan masalah ini sukar untuk dikesan.
Kekurangan magnesium ini boleh disebabkan oleh pelbagai punca sama ada kekurangan pengambilan mineral ini melalui pemakanan, penyerapan dalam usus yang berkurangan atau kehilangan mineral ini daripada badan terlalu banyak.
Selain itu, terdapat juga faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kekurangan magnesium seperti peningkatan usia, masalah kesihatan, ketagihan alkohol yang kronik, mengambil ubat tertentu dan mengandung atau menyusu.

Masalah kesihatan seperti penyakit berkaitan usus seperti penyakit seliak, penyakit diabetes dan menghidap paratiroid juga boleh menyebabkan kekurangan magnesium.
Kekurangan magnesium pada jangka masa yang lama boleh mendatangkan kesan yang buruk seperti:
- ketumpatan tulang berkurangan
- mengalami masalah berkaitan fungsi otak
- mengalami masalah dengan fungsi otot dan saraf
- mengalami masalah berkaitan sistem penghadaman
Artikel ini akan menerangkan tanda dan simptom-simptom yang berkaitan dengan kekurangan magnesium.
1. Hilang Selera Makan dan Lemah
Pada peringkat awal, kekurangan magnesium akan menyebabkan simptom-simptom seperti:
- hilang selera makan
- loya
- muntah-muntah
- rasa lemah
- kelesuan
Pada peringkat awal ini, sukar untuk menentukan sama ada simptom-simptom yang berlaku ini adalah disebabkan oleh kekurangan magnesium.
Hal ini kerana, simptom-simptom awal ini turut boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang lain.
2. Pengecutan dan Kekejangan Otot
Sekiranya kekurangan magnesium ini semakin teruk,pesakit mungkin akan mengalami:
- kekejangan otot
- pengecutan otot
- rasa kebas dan sesemut
Dalam sesetengah senario, kekurangan ini boleh menyebabkan sawan dan terkejang-kejang (konvulsi).
Pesakit juga mungkin akan mengalami kekejangan otot yang kerap semasa melakukan aktiviti fizikal. Ini kerana magnesium juga adalah elektrolit penting untuk fungsi otot.
Berdasarkan laporan kes, mereka yang mengalami kekurangan magnesium ini boleh mengalami kekejangan, spasma atau pengecutan otot yang teruk sehinggakan tidak boleh berjalan. [1]
3. Rentak Jantung yang Tidak Normal
Aritmia jantung atau rentak jantung yang tidak teratur adalah antara simptom kekurangan magnesium yang serius. [2]
Mereka yang mengalami aritmia jantung ini mungkin akan turut mengalami gejala seperti berikut:
- sesak nafas
- sakit dada
- pengsan
- pening
Bagi kes yang teruk aritmia jantung ini boleh menyebabkan kegagalan jantung atau strok.
Para pengkaji percaya keadaan ini disebabkan oleh ketidakseimbangan antara paras kalium di dalam dan di luar sel-sel otot jantung yang disebabkan oleh kekurangan magnesium. [3]
4. Keresahan atau Kemurungan
Keresahan atau kemurungan juga boleh menjadi simptom atau tanda kepada kekurangan magnesium. [4]
Sesetengah pengutus neuro (neurotransmiter) memerlukan mineral magnesium untuk berfungsi dengan baik.
Ketidakseimbangan neurotransmiter ini boleh menyebabkan seseorang itu sukar untuk bertenang yang meningkatkan risiko mengalami masalah mental seperti kebimbangan atau keresahan (anxiety) dan kemurungan.
Selain itu, kekurangan magnesium juga boleh menyebabkan beberapa kecelaruan psikiatri yang lain seperti: [5]
- insomnia
- cepat marah
- serangan panik
- sakit kepala
- pening
- tingkah laku psikotik
- hipokondriasis (individu yang terlalu mengambil berat akan kesihatan dirinya sehinggakan simptom kecil dipersepsikan sebagai besar)
5. Hipokalsemia dan Hipokalemia
Hipokalsemia ialah keadaan di mana paras kalsium dalam darah adalah rendah daripada paras normal. Manakala, hipokalemia pula ialah keadaan di mana paras kalium (potassium) dalam darah adalah rendah.
Kedua-dua keadaan ini boleh menjadi simotom atau petanda kepada kekurangan magnesium.
Hipokalsemia berlaku apabila berlakunya hipomagnesemia (kekurangan magnesium). Hipomagnesemia merosakkan fungsi kelenjar paratiroid iaitu kelenjar yang menghasilkan hormon.
Biasanya, kelenjar ini akan merembeskan hormon yang meningkatkan paras kalsium dalam darah apabila paras kalsium ini rendah. Magnesium diperlukan untuk menghasilkan hormon ini.
Oleh itu, jika paras magnesium rendah, maka hormon yang dihasilkan juga rendah dan kesannya paras kalsium dalam darah juga rendah (hipokalsemia).
Hipokalemia pula terjadi apabila mineral magnesium yang mengawal saluran keluar kalium daripada sel-sel buah pinggang ini berkurangan (hipomagnesemia). Kekurangan magnesium ini menyebabkan kalium dikumuhkan dengan lebih banyak oleh buah pinggang yang seterusnya menyebabkan hipokalemia.
6. Osteoporosis
Osteoporosis adalah penyakit yang menyebabkan tulang menjadi lemah dan rapuh.
Terdapat banyak faktor yang menyebabkan berlakunya osteoporosis ini dan salah satu faktor yang menyumbang kepada penyakit ini adalah kekurangan magnesium.
Kekurangan magnesium mempunyai kesan langsung terhadap osteoporosis. [6]
Kajian terhadap haiwan mendapati pemakanan yang rendah dengan mineral magnesium boleh menyebabkan kehilangan jisim tulang. [7]
Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa terdapat perkaitan antara osteoporosis dengan kekurangan magnesium. Kajian yang melibatkan wanita menopaus ini mendapati wanita yang menghidap osteoprosis turut mengalami kekurangan kepekatan magnesium dalam darah. [8]
Makanan Tinggi dengan Mineral Magnesium
Pemakanan yang tinggi dengan mineral magnesium adalah salah satu cara untuk mengatasi masalah kekurangan magnesium ini.
Beberapa makanan yang tinggi dengan mineral magnesium adalah:
- Kacang badam (almond)
- Biji labu
- Kacang tanah
- Coklat hitam
- Avokado
- Tauhu
Rujukan
- Bilbey, D. L., & Prabhakaran, V. M. (1996). Muscle cramps and magnesium deficiency: case reports. Canadian family physician Medecin de famille canadien.
- Dyckner T. (1980). Serum magnesium in acute myocardial infarction. Relation to arrhythmias. Acta medica Scandinavica.
- Dyckner, T., & Wester, P. O. (1981). Relation between potassium, magnesium and cardiac arrhythmias. Acta medica Scandinavica. Supplementum.
- Serefko, A. et al. (2016). Magnesium and depression. Magnesium research.
- Barbagallo, M. et al. (2021). Magnesium in Aging, Health and Diseases. Nutrients.
- Castiglioni, S. et al. (2013). Magnesium and osteoporosis: current state of knowledge and future research directions. Nutrients.
- Rude, R. K., Singer, F. R., & Gruber, H. E. (2009). Skeletal and hormonal effects of magnesium deficiency. Journal of the American College of Nutrition.
- Chang, J. et al. (2020). The Association Between the Concentration of Serum Magnesium and Postmenopausal Osteoporosis. Frontiers in medicine.