Apa itu Serangan Jantung?
Serangan jantung atau turut dikenali sebagai infarksi miokardium ialah keadaan yang sangat serius yang berlaku disebabkan oleh kekurangan aliran darah ke otot jantung.
Kekurangan aliran darah boleh berlaku kerana pelbagai faktor tetapi biasanya ia berkaitan dengan penyumbatan pada satu atau lebih arteri jantung.
Tanpa aliran darah, otot jantung yang terjejas akan mula mati. Jika aliran darah tidak dipulihkan dengan cepat, serangan jantung boleh menyebabkan kerosakan jantung kekal dan kematian.
Penyakit jantung koronari atau penyakit arteri koronari adalah penyebab utama kepada serangan jantung.
Selain itu, kekejangan teruk atau pengecutan tiba-tiba arteri koronari yang menghentikan aliran darah ke jantung juga boleh menyebabkan serangan jantung.
Bagaimana Rasa Serangan Jantung?
Apabila serangan jantung berlaku, aliran darah ke bahagian jantung anda terhenti atau jauh di bawah normal, yang menyebabkan kecederaan atau kematian pada bahagian otot jantung anda.
Apabila sebahagian daripada jantung anda tidak dapat mengepam kerana ia mati, ia boleh mengganggu urutan pengepaman untuk seluruh jantung anda.
Akibatnya anda akan berasa sakit dada seperti tekanan, himpitan, rasa ketat atau ketidakselesaan.
Gejala-gejala Serangan Jantung
Gejala-gejala serangan jantung berbeza-beza. Sesetengah orang mempunyai gejala ringan. Manakala yang lain pula mempunyai gejala yang teruk. Sesetengah orang tidak mempunyai gejala.
Antara gejala-gejala yang lazim berlaku adalah:
- Sakit dada (angina) yang berasa seperti tekanan, ketat, sakit atau dihimpit.
- Sakit atau ketidakselesaan yang merebak ke bahu, lengan, belakang, leher, rahang, gigi atau kadangkala di bahagian perut atas.
- Kelesuan
- Pedih hulu hati atau ketidakhadaman
- Berpeluh sejuk
- Pening kepala
- Loya
- Pitam
- Sukar bernafas
Gejala-gejala Serangan Jantung Bagi Wanita
Golongan wanita boleh mengalami gejala-gejala yang tidak seperti kebiasaan.
Selain gejala-gejala biasa, mereka boleh mengalami gejala-gejala lain seperti:
- Sakit menusuk yang terasa di leher, tangan dan belakang
- Insomnia (sukar untuk tidur)
- Loya dan muntah
Punca yang Menyebabkan Serangan Jantung
Sebilangan besar serangan jantung berlaku kerana penyumbatan pada salah satu saluran darah yang membekalkan darah ke jantung anda.
Keadaan ini paling kerap berlaku kerana plak, bahan melekit yang boleh terkumpul di bahagian dalam arteri anda. Pembentukan plak tersebut dipanggil aterosklerosis.
Penyumbatan arteri akibat pembentukan plak ini juga turut dikenali sebagai penyakit arteri koronari.
Serangan jantung boleh disebabkan oleh penyumbatan penuh atau sebahagian daripada arteri jantung (koronari).
Selain itu, beberapa punca lain yang boleh menyebabkan serangan jantung adalah:
- Kekejangan arteri koronari: Ini adalah penyempitan saluran darah yang teruk yang tidak tersumbat. Arteri umumnya mempunyai plak kolesterol atau terdapat pengerasan awal saluran akibat merokok atau faktor risiko lain.
- Jangkitan tertentu: Jangkitan COVID-19 atau virus lain boleh menyebabkan kerosakan terhadap otot jantung.
- Trauma: Ini termasuk koyakan atau pecah pada arteri koronari.
- Ketidakseimbangan elektrolit
Faktor Risiko
Beberapa faktor risiko serangan jantung adalah:
- Usia: Lelaki berumur 45 tahun ke atas dan wanita berumur 55 tahun ke atas lebih berkemungkinan mendapat serangan jantung berbanding lelaki dan wanita yang lebih muda.
- Penggunaan tembakau: Ini termasuk merokok dan pendedahan jangka panjang kepada asap rokok. Jika anda merokok, berhenti.
- Paras kolesterol atau trigliserida tinggi: Tahap kolesterol LDL (kolesterol jahat) yang tinggi berkemungkinan besar akan menyempitkan arteri. Tahap lemak darah (trigliserida) yang tinggi juga meningkatkan risiko serangan jantung.
- Tekanan darah tinggi: Tekanan darah tinggi boleh merosakkan arteri yang menuju ke jantung
- Obesiti: Obesiti dikaitkan dengan tekanan darah tinggi, diabetes, tahap trigliserida dan kolesterol jahat yang tinggi, dan tahap kolesterol baik yang rendah.
- Diabetes: Gula darah tinggi meningkatkan risiko serangan jantung.
- Kurang bersenam: Kekurangan aktiviti fizikal dikaitkan dengan risiko serangan jantung yang lebih tinggi.
- Diet tidak sihat: Diet tinggi gula, lemak haiwan, makanan diproses, lemak trans dan garam meningkatkan risiko serangan jantung.
- Tekanan (stres): Tekanan emosi, seperti kemarahan yang melampau, boleh meningkatkan risiko serangan jantung.
Rawatan
Merawat serangan jantung bermakna memulihkan aliran darah ke otot jantung yang terjejas secepat mungkin.
Rawatan segera diperlukan untuk memperbaiki aliran darah dan memulihkan tahap oksigen. Oksigen tambahan diberikan segera.
Rawatan serangan jantung khusus bergantung kepada sama ada terdapat sekatan separa atau lengkap terhadap aliran darah.
Ubat-ubatan
Ubat-ubatan untuk merawat serangan jantung adalah:
- Aspirin: Aspirin boleh mengurangkan pembekuan darah. Ia membantu memastikan darah bergerak melalui arteri yang sempit.
- Nitrogliserin: Ubat ini melegakan sakit dada dan menyebabkan saluran darah melebar supaya darah dapat melaluinya dengan lebih mudah.
- Ubat trombolitik: Ubat-ubatan ini membantu memecahkan sebarang bekuan darah yang menghalang aliran darah ke jantung.
- Ubat antiaritmia: Ubat ini boleh menghentikan atau mencegah malfungsi ritma jantung.
- Statins: Ubat ini membantu menurunkan paras kolesterol yang tidak sihat.
Pembedahan dan Prosedur Lain
Jika anda mengalami serangan jantung, pembedahan atau prosedur mungkin dilakukan untuk membuka arteri yang tersumbat.
Antaranya adalah:
- Angioplasti koronari dan stenting: Prosedur ini dilakukan untuk membuka arteri jantung yang tersumbat.
- Pembedahan pemintasan arteri koronari: Ini adalah pembedahan jantung terbuka. Pakar bedah mengambil saluran darah yang sihat dari bahagian badan yang lain untuk mencipta laluan baharu bagi darah di dalam jantung.
Bila Perlu Berjumpa Doktor
Sekiranya anda berasa anda mengalami serangan jantung, sila dapatkan pertolongan dengan segera.
Ambil langkah-langkah berikut:
- Hubungi talian kecemasan untuk bantuan perubatan: Buat panggilan 999 dengan segera sekiranya anda berasa anda mengalami serangan jantung.
- Ambil ubat nitrogliserin jika dipreskripsi oleh doktor anda. Ambil seperti yang diarahkan sementara menunggu bantuan kecemasan.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2022). Heart Attack. MayoClinic
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Heart Attack (Myocardial Infarction). Cleveland Clinic