Sayyidul Istighfar adalah bacaan atau doa yang memohon keampunan yang sangat baik jika diamalkan. Sayyidul Istighfar bermaksud penghulu istighfar iaitu ketua daripada istighfar-istighfar biasa. Sayyidul Istighfar adalah bacaan istighfar yang lebih lengkap dan penuh dengan kelebihannya.
Jika pada kelazimannya, anda membaca istighfar ringkas seperti Astaghfirullah hal Azim atau Astaghfirullah al-‘Aziim, al-lazi la ilaha illahu, al-Hayyul-Qayyum wa atubu ilaih.
Anda boleh menambah amalan zikir ini dengan membaca Sayyidul Istighfar yang lebih sempurna dan afdal. Lafaz-lafaz dalam istighfar ini penuh dengan adab dan kepujian kepada Allah SWT.
Panduan Bacaan

Bacaan Rumi Sayyidul Istighfar
Allahumma anta Rabbi la ilaha illa anta, Khalaqtani wa ana abduka, wa ana ‘ala ahdika wa wa’dika mastata’tu, A’udhu bika min sharri ma sana’tu, abu’u laka bini’matika ‘alaiya wa abu’u bidhanbi, faghfirli innahu la yaghfiru dhunuba illa anta.
Makna atau Maksud
“Ya Allah, Engkau Tuhanku, tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkau menciptakanku dan hamba-Mu dan aku (terikat) dengan janji-Mu semampu yang aku boleh laksanakan, aku mohon perlindungan-Mu dari kejahatan yang aku lakukan, aku mengakui bahawa semua nikmat yang Engkau berikan kepadaku adalah milik-Mu dan aku mengakui terhadap dosa-dosaku. Oleh itu ampunilah aku, sesungguhnya tiada yang dapat memberi keampunan kecuali Engkau.”
Audio Bacaan Sayyidul Istighfar
Kelebihan Sayyidul Istighfar
Sayyidul Istighfar mempunyai banyak kelebihannya sekiranya diamalkan setiap hari oleh umat Islam.
Antara kelebihan-kelebihan penghulu istighfar ini adalah:
1. Dijamin Syurga
Mereka yang mengamalkan istighfar ini pada sebelah pagi dan malam dengan penuh keyakinan, sekiranya mereka meninggal dunia, maka mereka akan menjadi penghuni syurga.
Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Barangsiapa yang mengucapkannya pada siang hari dan meyakininya, lalu dia mati pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk penghuni syurga. Dan barangsiapa mengucapkannya pada malam hari dalam keadaan meyakininya, lalu dia mati sebelum waktu pagi, maka dia termasuk penghuni syurga.”
Hadis Riwayat Al-Bukhari
2. Diberikan Kelapangan dan Rezeki
Selain itu, barang siapa yang sentiasa mengamalkan istighfar, Allah SWT akan membuka jalan keluar bagi kesempitannya, menghilangkan kebimbangannya dan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.
Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka”.
Riwayat Abu Daud (1518)
3. Mengurangkan Keresahan dan Kemurungan
Dalam aspek kesihatan mental pula, memohon keampunan kepada Allah SWT atau bertaubat boleh mengurangkan keresahan dan kemurungan yang dialami.
Kelebihan ini dibuktikan dalam kajian yang mendapati meletakkan kepercayaan kepada Allah SWT, bertaubat, mengaku dosa dan memohon keampunan boleh mengurangkan keresahan dan kemurungan yang dialami.
4. Umpama 1000x Istighfar Biasa
Membaca 1x penghulu istighfar ini umpama 1000x istighfar biasa ( Astaghfirullah hal Azim).
Jadikanlah bacaan istighfar ini sebagai zikir harian agar beroleh pelbagai manfaat daripadanya.