Kaki adalah anggota badan yang membawa anda ke mana sahaja setiap hari. Tetapi anda mungkin tidak terlalu memikirkan tentangnya sehingga kaki anda sakit. Sakit tumit atau sakit tapak kaki adalah antara sakit kaki yang sering berlaku.
Sakit kaki boleh menjejaskan aktiviti harian anda. Oleh itu, adalah penting untuk mendapatkan rawatan yang betul.
Bergantung pada kecederaan atau keadaan, anda mungkin merasakan gejala-gejala yang berkisar antara sakit yang tajam kepada sakit yang berterusan.
Punca Sakit Tumit atau Sakit Tapak Kaki
Kaki manusia agak rumit dan begitu juga dengan punca mengapa bahagian bawah kaki anda sakit.
Kerumitan ini disebabkan oleh unsur-unsur yang membentuk struktur kaki anda. Setiap kaki mempunyai 26 tulang, 30 sendi, dan hampir 100 otot dan ligamen yang menyambungkannya.
1. Plantar Fasciitis
Fasia plantar atau dalam bahasa Inggerisnya “plantar fascia” ialah sekumpulan tisu yang menyelaputi sepanjang bahagian tapak kaki dan menghubungkan tulang jari kaki ke tulang tumit.
Salah satu punca yang menyebabkan sakit tumit atau sakit tapak kaki adalah keradangan pada fasia plantar ini. Ia turut dikenali sebagai plantar fasciitis.
Plantar fasciitis ini akan menyebabkan gejala-gejala seperti kesakitan yang tajam dan mencucuk di tumit atau sakit di bahagian tapak kaki.
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada plantar fasciitis iaitu:
- Mempunyai berat badan berlebihan atau obes
- Mempunyai kaki yang rata dan lengkungan yang sangat tinggi
- Memakai kasut yang mempunyai sokongan lengkung yang tidak baik
- Berjalan berkaki ayam
- Hamil
- Berjalan, berlari atau berdiri terlalu lama pada permukaan keras
2. Metatarsalgia
Metatarsalgia adalah istilah untuk kesakitan dan keradangan pada bebola kaki. Ini adalah kawasan antara lengkung dan pangkal jari kaki anda, di bawah tulang metatarsus.
Metatarsalgia menyebabkan gejala-gejala seperti sakit yang tajam atau membakar pada bebola kaki.
Metatarsalgia ini sering terjadi kepada mereka yang melakukan aktiviti yang berimpak tinggi yang menekan tapak kaki seperti berlari atau melompat.
Beberapa faktor yang menyumbang kepada pembentukan metatarselgia adalah:
- Usia lanjut
- Mempunyai lengkung tapak kaki yang tinggi
- Mempunyai tulang yang panjang di tapak kaki
- Bermain sukan berimpak tinggi yang melibatkan melompat dan berlari
- Mempunyai berat badan berlebihan atau obes
- Menghidap gout
- Menghidap diabetes
- Menghadapi masalah aliran darah
- Memakai kasut tumit tinggi atau kasut yang tidak padan
- Mempunyai kecacatan pada jari kaki
3. Neuropati Periferi
Neuropati periferi ialah sakit saraf yang berpunca daripada yang rosak atau tidak berfungsi dan merupakan punca sakit kaki bagi ramai orang yang menghidap penyakit kronik.
Antara penyakit kronik yang merosakkan saraf periferi adalah seperti diabetes, penyalahgunaan alkohol yang teruk, penyakit Lyme, atau penyakit autoimun seperti Lupus.
Neuropati periferi lazimnya menyebabkan gejala-gejala seperti sensasi kebas, membakar atau menikam di kaki atau tangan yang merebak ke betis atau lengan.
4. Neuroma
Neuroma ialah gumpalan sel saraf yang tidak normal. Ia terbentuk di antara jari kaki, biasanya selepas kecederaan.
Wanita adalah lebih cenderung untuk mengalami neuroma berbanding lelaki.
Neuroma mungkin terasa seperti kerikil di dalam kasut anda. Ia paling biasa di antara jari kaki kedua dan ketiga, atau jari ketiga dan keempat.
Gejala-gejala neuroma adalah seperti sakit terbakar pada bebola kaki, serta kebas dan kesemutan yang menjalar ke jari kaki anda.
Selain itu, beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko terbentuknya neuroma adalah:
- Memakai kasut tanpa sokongan betul
- Selalu memakai kasut tumit tinggi
- Sering memakai kasut ketat seperti kasut yang dipakai dalam balet atau untuk memanjat batu
- Mempunyai bunion
5. Sesamoiditis
Sesamoid ialah dua tulang kecil di bawah pad ibu jari kaki. Tulang ini membantu menyokong tendon yang melenturkan jari kaki ini.
Tulang ini boleh mendapat beban berlebihan. Keadaan ini kesakitan tumpul dan keradangan dengan rasa sakit di pangkal ibu jari kaki.
Beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko terbentuknya sesamoiditis adalah:
- Bersukan yang meletakkan tekanan yang banyak pada bebola kaki seperti berlari, menari balet atau tenis
- Mempunyai lengkung kaki yang tinggi
- Selalu memakai kasut tumit tinggi
6. Sindrom Terowong Tarsus
Terowong tarsus ialah ruang sempit di bahagian dalam buku lali. Banyak arteri, urat, tendon atau saraf yang melalui terowong ini.
Sindrom terowong tarsus jarang-jarang menyebabkan sakit tapak kaki atau sakit tumit.
Sindrom terowong tarsus berlaku apabila saraf tibial posterior terhimpit di dalam terowong tarsus. Akibatnya, ia menyebabkan gejala-gejala seperti sakit, kebas atau kesemutan di kaki.
Rawatan
Rawatan untuk sakit tumit atau sakit tapak kaki bergantung kepada puncanya.
Beberapa perubahan gaya hidup boleh membantu anda mengatasi sakit tumit atau sakit tapak kaki ini. Contohnya seperti:
- Pemilihan kasut: Memakai kasut yang bersesuaian dan menggunakan pelapik kasut yang menyokong kaki anda. Ia boleh membantu bagi sakit kaki yang disebabkan oleh plantar fasciitis, metatarsalgia dan neuroma.
- Menurunkan berat badan: Berat badan berlebihan atau obes dikaitkan dengan peningkatan risiko kesakitan, keradangan dan masalah lain pada kaki. Menurunkan berat badan boleh mengurangkan tekanan pada kaki anda.
- Pemakanan: Amalkan diet yang mengutamakan makanan yang bersifat antiradang boleh membantu mengurangkan kesakitan.
- Postur: Membetulkan postur badan boleh mengurangkan tekanan dan kesakitan pada kaki.
Ubat-ubatan
Ubat pelega kesakitan belian kaunter yang boleh didapati di farmasi atau kedai ubat boleh membantu mengurangkan kesakitan.
Antaranya adalah:
- Paracetamol
- Ibuprofen
- Naproxen
Sekiranya ia tidak berkesan, suntikan kortison mungkin berfungsi bagi sakit tumit atau tapak kaki yang disebabkan oleh:
- Plantar fasciitis
- Sesamoiditis
- Neuroma
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Kadang-kadang, sakit tumit atau sakit tapak kaki hilang dengan sendirinya dalam masa beberapa hari. Pada masa lain, ia mungkin menjadi kronik yang boleh menjejaskan kualiti hidup anda.
Oleh itu, adalah penting untuk mendapatkan diagnosis dan rawatan yang betul.
Sila berjumpa dengan doktor atau ahli profesional kesihatan sekiranya anda mengalami:
- Sakit baru yang berlarutan selama beberapa hari
- Sakit tumit atau tapak kaki kronik yang semakin teruk
- Sakit yang tidak selesa dan menyukarkan untuk anda berjalan atau berdiri
- Kesemutan atau tidak berasa kaki
- Kecederaan yang menyebabkan sakit kaki
- Pening atau loya berkaitan dengan sakit kaki
- Demam atau bengkak dengan sakit kaki
- Menghidap diabetes atau penyakit lain yang menjejaskan saraf
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2022). Plantar fasciitis. MayoClinic
- Brooks, L. (2023). Bottom of Foot Pain. verywellhealth