Sakit mata merah atau dalam bahasa perubatannya “konjunktivitis” ialah keradangan atau jangkitan pada selaput lutsinar yang melitupi mata putih dan bahagian dalam kelopak mata (konjunktiva).
Apabila saluran-saluran darah yang kecil mengalami keradangan, ia akan lebih kelihatan. Ini menyebabkan mata putih anda kelihatan merah atau merah jambu.
Konjunktivitis turut dirujuk sebagai radang selaput mata. Penyakit ini kerap terjadi dan biasanya disebabkan oleh bakteria, virus atau alahan.
Kanak-kanak adalah golongan yang sering mengalami penyakit ini dan ia boleh menjadi sangat mudah berjangkit terutamanya di taska atau sekolah.
Walau bagaimanapun, penyakit ini jarang-jarang sekali menjejaskan penglihatan pesakit. Rawatan boleh membantu mengurangkan ketidakselesaan yang berlaku.
Jenis-jenis
Sakit mata merah boleh dibahagikan kepada beberapa jenis mengikut punca yang menyebabkannya. Semua jenis radang selaput mata ini tidak menjejaskan penglihatan.
Antara jenis-jenis sakit mata merah atau konjunktivitis adalah:
- Konjunktivitis yang disebabkan oleh bakteria
- Konjunktivitis yang disebabkan oleh virus
- Konjunktivitis yang disebabkan oleh alahan
Gejala-gejala Sakit Mata Merah
Gejala-gejala penyakit ini boleh dibahagikan mengikut jenis atau punca yang menyebabkannya.
Gejala-gejala sakit mata merah (konjunktivitis) yang disebabkan oleh bakteria adalah:
- Mata merah
- Discaj pekat (tahi mata berwarna putih atau kekuningan)
- Kelopak mata melekat terutamanya pada waktu pagi
- Selalunya bermula pada sebelah mata dan kemudiannya berjangkit ke sebelah mata yang lain
- Berlarutan selama seminggu
Gejala-gejala sakit mata merah (konjunktivitis) yang disebabkan oleh virus adalah:
- Mata merah
- Discaj cair (keluar air mata yang banyak)
- Selalunya bermula pada sebelah mata dan kemudiannya berjangkit ke sebelah mata yang lain
- Berlarutan sehingga 2 minggu atau lebih
Gejala-gejala sakit mata merah (konjunktivitis) yang disebabkan oleh alahan adalah:
- Mata merah
- Gatal mata (kadang-kadang gatal hidung jika melibatkan resdung)
- Discaj yang berlendir
- Mata sentiasa berair
- Kedua-dua belah mata sakit pada masa yang sama
- Boleh berlanjutan buat masa yang lama
Punca-punca yang Menyebabkan Sakit Mata Merah
Penyakit ini lazimnya disebabkan oleh:
- Bakteria
- Virus
- Alahan
Selain itu, ia juga boleh disebabkan oleh:
- Percikan bahan kimia ke mata
- Objek asing di dalam mata
- Saluran air mata tersumbat (bagi bayi baru lahir)
Terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan risiko seseorang untuk mengalami radang selaput mata ini. Antaranya adalah:
- Terdedah kepada orang yang telah dijangkiti konjunktivitis bakteria atau virus
- Menggunakan kanta lekap
- Terdedah kepada alergen
Rawatan
Rawatan sakit mata merah atau radang selaput mata biasanya mengutamakan pelegaan simptom-simptom. Sila dapatkan rawatan di hospital atau klinik untuk mengetahui sebab penyakit ini dan mendapatkan rawatan yang bersesuaian.
Sekiranya penyakit ini disebabkan oleh bakteria, rawatan menggunakan antibiotik dalam bentuk ubat titis mata dan salap mata boleh digunakan.
Sekiranya ia disebabkan oleh virus, ia tidak memerlukan rawatan yang khusus. Sebaliknya mencuci mata dengan kerap dan perlahan-lahan boleh membantu. Ubat antivirus sekiranya keradangan yang berlaku disebabkan oleh virus herpes simpleks.
Bagi radang selaput mata yang disebabkan oleh alahan, ubat-ubatan untuk mengawal alahan dan mengurangkan gatal boleh membantu.
Mencuci atau mengelap mata dengan air suam juga boleh membantu merawat penyakit ini. Elakkan mengguna kanta lekap sehingga tanda-tanda penyakit ini hilang.
Cara-cara Mencegah Jangkitan
Sakit mata merah yang disebabkan oleh bakteria atau virus boleh berjangkit dengan mudah. Langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan jangkitan:
- Kerap mencuci tangan terutamanya setelah menyentuh mata.
- Jangan berkongsi ubat titis mata atau tuala muka.
- Elakkan tempat yang sesak.
- Elakkan menghantar anak ke sekolah atau pusat penjagaan kanak-kanak selagi mata anak anda masih merah atau berair.
- Buang semua ubat titis mata setelah anak anda sihat.
Komplikasi
Biasanya, penyakit radang selaput mata ini akan hilang dengan sendirinya atau selepas anda mengambil sebarang ubat yang ditetapkan oleh doktor anda, tanpa masalah yang berpanjangan.
Konjunktivitis ringan selalu tidak berbahaya dan akan bertambah menjadi lebih baik tanpa rawatan.
Tetapi sesetengah bentuk penyakit ini boleh menjadi serius dan mengancam penglihatan, kerana ia boleh menyebabkan parut pada kornea mata. Ia termasuk yang disebabkan oleh gonorea, chlamydia atau strain tertentu adenovirus.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2020). Pink eye (conjunctivitis). MayoClinic
- R. Sukumar. (2012). Konjunktivitis. MyHealth KKM.