Lazimnya, ramai yang lebih biasa dengan sakit dada sebelah kiri dan bagaimana ia boleh menunjukkan masalah jantung yang serius. Walau bagaimanapun, sakit dada sebelah kanan juga boleh menunjukkan keadaan perubatan yang memerlukan perhatian.
Sakit dada sebelah kanan boleh disebabkan oleh kecederaan pada tulang, tisu dan otot. Ia juga boleh disebabkan oleh keadaan tersembunyi dan masalah kesihatan mental.
Kebanyakan ketidakselesaan pada dada terutamanya pada sebelah kanan biasanya tidak berkaitan dengan jantung.

Punca yang Menyebabkan Sakit Dada Sebelah Kanan
Sakit dada sebelah kanan boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai keadaan dan kecederaan. Berikut adalah punca-punca yang mungkin menjadi penyebab kepada sakit dada ini.
1. Stres atau Keresahan
Stres dan keresahan yang teruk boleh mencetuskan serangan panik atau serangan keresahan (anxiety attack).
Orang yang mengalami serangan panik atau keresahan boleh mengalami gejala-gejala yang seumpama dengan serangan jantung seperti:
- Sakit dada
- Sukar bernafas
- Berpeluh
- Denyutan jantung laju atau berdebar-debar
Serangan panik biasanya berlangsung selama 5-10 minit.
2. Keterikan Otot
Semasa senaman, seseorang boleh menyebabkan otot dada mereka terik. Keterikan otot dada ini boleh menyebabkan dada berasa sakit dan sakit untuk disentuh.
Sakit dada akibat daripada keterikan otot ini biasanya hilang selepas anda mendapatkan rehat secukupnya atau mengambil ubat pelega kesakitan.
3. Kecederaan Tumpul Pada Dada
Sakit dada sebelah kanan juga boleh disebabkan oleh kecederaan (trauma) tumpul pada dada yang melibatkan otot pektoralis. [1]
Koyakan pada otot ini boleh berlaku akibat daripada kecederaan langsung atau tidak langsung pada dada. Trauma tumpul juga boleh mengakibatkan patah tulang rusuk atau anjakan tulang rusuk.
Selain sakit dada, gejala-gejala lain akibat kecederaan dada atau anjakan tulang rusuk termasuk:
- Sukar bernafas
- Lebam
- Bengkak
- Sakit
Sekiranya anda mengalami gejala-gejala ini, sila dapatkan rawatan daripada doktor untuk menentukan sama ada kecederaan tersebut dapat sembuh dengan sendiri atau jika rawatan perlu.
4. Patah Tulang Rusuk
Patah atau keretakan tulang rusuk sebelah kanan boleh menjadi penyebab kepada kesakitan dan bengkak di kawasan tersebut.
Ia boleh menjadi sangat menyakitkan dan membawa kepada komplikasi yang serius. Satu tulang rusuk yang patah biasanya tidak akan membawa kepada komplikasi, tetapi beberapa patah tulang boleh mengancam nyawa.
5. Pedih Ulu Hati dan Refluks Asid
Pedih ulu hati merujuk adalah sensasi pedih yang anda rasai di dada selepas makan atau semasa bersenam, membongkok atau berbaring pada waktu malam.
Ia biasanya disebabkan oleh refluks asid, yang berlaku apabila asid perut naik semula ke esofagus anda.
Selain sakit dada, ia juga turut menyebabkan gejala-gejala seperti:
- Sensasi pedih dalam tekak
- Sukar untuk menelan
- Kembung perut atau loya
- Rasa yang tidak menyenangkan di dalam mulut
- Rasa seperti makanan tersekat di dada atau kerongkong
6. Tumor
Tumor di dada atau dinding dada boleh menyebabkan sakit dada.
Bergantung kepada jenis tumor, gejala-gejala lain yang mungkin berlaku adalah: [2]
- Bengkak
- Benjolan
- Dada kelihatan tidak simetri
7. Pneumotoraks
Pneumotoraks berlaku apabila udara terlepas daripada paru-paru dan masuk ke dalam rongga antara paru-paru dan dinding dada. Ia boleh menyebabkan paru-paru menjadi kecut.
Keadaan ini akan menyukarkan paru-paru untuk mengembang apabila bernafas dan boleh menyebabkan kesakitan atau ketidakselesaan yang ketara.
Selain sakit dada, gejala-gejala berkaitan adalah: [3]
- Sukar bernafas
- Pening
- Denyutan jantung laju
- Hipotensi
8. Pneumonia
Pneumonia adalah keradangan paru-paru akibat jangkitan bakteria, virus atau fungi (kulat).
Sakit dada boleh berlaku apabila seseorang itu bernafas dan batuk.
Ia juga turut menyebabkan gejala-gejala seperti:
- Demam dan menggigil
- Batuk
- Denyutan jantung laju
- Sukar bernafas
- Berpeluh
9. Efusi Pleural
Efusi pleural adalah keadaan di mana cecair terkumpul dengan banyak di antara lapisan-lapisan tisu di luar paru-paru.
Cecair yang banyak di dalam rongga paru-paru ini boleh menguncupkan paru-paru. Keadaan ini boleh menyebabkan sakit dada dan sukar bernafas.
10. Hipertensi Pulmonari
Hipertensi pulmonari ialah keadaan yang menyebabkan tekanan darah tinggi di dalam saluran-saluran darah yang menghubungkan jantung dan paru-paru.
Lama-kelamaan, ia menyebabkan jantung berkerja dengan keras untuk mengepam darah ke seluruh badan.
Keadaan ini boleh menyebabkan sakit dada dan gejala-gejala seperti: [4]
- Sukar bernafas
- Batuk
- Suara serak
- Kelesuan
- Pening
- Loya dan muntah
11. Saluran Darah Paru-paru Tersumbat
Salur darah paru-paru tersumbat (pulmonary embolism) berlaku apabila tiba-tiba aliran darah melalui arteri paru-paru tersekat.
Ini adalah disebabkan oleh gumpalan darah beku kecil yang mengembara dari tempat lain ke salur darah paru-paru.
Sekiranya ia berlaku pada paru-paru sebelah kanan, maka ia boleh menyebabkan sakit dada sebelah kanan.
Selain itu, gejala-gejala berikut mungkin turut berlaku: [4]
- Sukar bernafas
- Denyutan jantung laju
- Pernafasan yang laju
- Batuk (dengan atau tanpa darah)
12. COVID-19
COVID-19 juga boleh menyebabkan gejala-gejala seperti sakit dada.
Selain itu, ia juga boleh menyebabkan gejala-gejala seperti:
- Demam
- Batuk
- Sukar bernafas
Sekiranya anda mengalami sakit atau tekanan yang berterusan pada dada, anda dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Sakit dada sebelah kanan boleh berlaku disebabkan oleh banyak punca. Sesetengahnya mungkin memerlukan rawatan segera.
Sekiranya anda mengalami sakit dada sebelah kanan yang diiringi oleh gejala-gejala berikut, sila dapatkan rawatan dengan segera.
- Sakit dan tekanan pada dada yang berterusan
- Sakit yang teruk pada dada yang berlaku secara tiba-tiba
- Sakit dada yang berlaku bersama-sama pening dan kelemahan
- Tidak sedarkan diri
- Sakit dada berserta sukar bernafas
- Demam panas atau batuk berdarah
- Sakit yang menjalar ke rahang atau bahu
Rujukan
- Jain A, Waseem M. Chest Trauma. [Updated 2022 Aug 7]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: NCBI
- Bajaj T, Aboeed A. Chest Wall Tumors. [Updated 2022 Sep 5]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: NCBI
- McKnight CL, Burns B. Pneumothorax. [Updated 2022 Aug 8]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: NCBI
- Abu Bakar, Z. (2015). Penyakit Saluran Darah Pulmonari. MyHealth KKM