Apa itu Ruam Kulit?
Ruam boleh ditaktifkan sebagai erupsi kulit yang boleh terjadi di seluruh badan atau setempat. Erupsi ini mempunyai ciri-ciri tertentu yang bergantung kepada penyebabnya.
Istilah ruam atau ruam kulit adalah istilah perubatan yang umum. Ruam boleh berbeza dengan ketara dari segi rupa dan boleh disebabkan oleh banyak punca. Lazimnya, ruam menjadi petunjuk atau gejala kepada pelbagai masalah perubatan yang lain.
Selain itu, ruam juga boleh disebabkan oleh masalah alahan atau disebabkan bahan yang menyebabkan iritasi seperti bahan kimia, bahan pencuci dan sebagainya. Sesetengah ruam boleh menjadi lebih teruk sehingga menjadi lepuh atau tompokan kulit yang kasar.
Tambahan daripada itu juga, ruam ini boleh juga kering, lembap, berbintik-bintik, licin atau berkerak. Ruam juga boleh menyebabkan rasa gatal-gatal, sakit atau menyebabkan perubahan warna pada kulit.
Penyebab Ruam Kulit
Terdapat banyak faktor atau punca yang boleh menyumbang kepada berlakunya ruam kulit, antaranya adalah seperti berikut:
1. Dermatitis sentuh
Dermatitis sentuh (contact dermatitis) adalah penyebab yang paling lazim menyebabkan ruam. Dermatitis sentuh berlaku apabila kulit bersentuhan dengan benda yang boleh menyebabkan tindak balas. Contohnya seperti produk kecantikan, pokok beracun, bahan kimia atau pewarna pakaian.
Kulit biasanya akan mengalami keradangan dan kemerahan. Ruam yang terbentuk lazimnya kering, bersisik dan gatal.
2. Kandidiasis
Kandidiasis adalah jangkitan kulat Candida albicans pada bahagian selangkang atau dubur. Jangkitan ini juga boleh menyebabkan ruam gatal yang kelihatan pada lipatan kulit.
3. Ubat-ubatan
Sesetengah ubat-ubatan boleh menyebabkan ruam bagi sesetengah orang. Ia mungkin disebabkan oleh kesan sampingan atau tindak balas alahan.
4. Ekzema
Ekzema atau turut dikenali dermatitis atopi adalah ruam yang berlaku terutamanya kepada orang yang menghidap alahan atau asma.
Ruam ekzema biasanya menyebabkan kulit kemerahan, gatal dan kulit kelihatan bersisik.
5. Psoriasis
Psoriasis adalah penyakit kulit kronik yang turut melibatkan ruam. Penyakit ini boleh menyebabkan ruam gatal dan bersisik pada bahagian-bahagian badan seperti kulit kepala, siku dan sendi.
6. Lupus eritematosus
Lupus eritematosus ialah penyakit autoimun yang turut boleh mencetuskan ruam pada bahagian badan yang terdedah kepada cahaya matahari seperti muka, lengan dan tangan.
Simptom yang paling lazim bagi lupus adalah ruam merah, berbentuk rama-rama pada bahagian hidung dan dagu.
7. Rosasea
Rosasea adalah penyakit kronik yang melibatkan kulit pada hidung, pipi dan dahi. Penyakit ini menyebabkan ruam merah pada kulit muka.
8. Kudis buta (skabies)
Kudis buta (skabies) adalah penyakit kulit yang disebabkan oleh tungau yang tinggal dan menggorek ke dalam kulit.
Kudis buta turut menyebabkan gatal-gatal yang teruk dan ruam seperti jerawat.
9. Kurap
Kurap adalah jangkitan kulat pada kulit yang membentuk ruam seperti gegelang. Ruam ini lazimnya berwarna merah dan gatal.
10. Ruam panas
Ruam panas adalah iritasi pada kulit yang menyengat dan menyebabkan kulit menjadi merah. Ruam panas biasanya berlaku ketika cuaca panas dan lembap.
Ruam panas kelihatan seperti gugusan jerawat atau lepuh kecil pada bahagian badan seperti di bahagian leher, selangkang, dibawah payudara, ketiak atau dipelipat siku.
Penyebab Ruam Kulit Bagi Kanak-kanak
Kanak-kanak juga terdedah kepada ruam yang terbentuk akibat daripada penyakit atau faktor-faktor lain. Contohnya seperti:
1. Cacar air
Cacar air adalah penyakit yang disebabkan virus yang menyebabkan ruam lepuh yang gatal dan merah di seluruh badan.
2. Campak
Campak adalah jangkitan virus yang menyebabkan ruam gatal dan berwarna merah. Ruam ini juga kelihatan seperti bintat-bintat kecil.
3. Penyakit Kawasaki
Penyakit Kawasaki adalah penyakit yang jarang-jarang berlaku tetapi serius. Penyakit ini boleh menyebabkan ruam dan demam pada peringkat awal.
4. Demam skarlet
Demam skarlet (demam merah) adalah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan oleh bakteria jenis Streptococcus jenis A yang menghasilkan toksin (racun).
Penyakit ini menyebabkan ruam merah yang kelihatan seperti selar matahari dan terasa seperti kertas pasir.
5. Ruam lampin
Ruam lampin adalah ruam yang biasa dialami oleh bayi atau kanak-kanak kecil. Ruam ini biasanya disebabkan oleh memakai lampin yang kotor terlalu lama.
Bagaimana untuk Mengetahui Bahawa Ruam Itu Serius?
Walau kebanyakan ruam adalah tidak berbahaya atau mengancam nyawa, tetapi terdapat ruam yang boleh menjadi isyarat kepada perkara yang lebih serius.
Sekiranya anda atau orang disekeliling anda mengalami ruam dan turut mengalami simptom-simptom berikut, sila mendapatkan rawatan dengan segera.
- Ruam diseluruh badan. Mungkin menjadi petanda kepada alahan (alergi) atau jangkitan.
- Ruam berserta demam. Mungkin disebabkan oleh jangkitan dan alahan.
- Ruam yang tiba-tiba dan merebak dengan cepat. Ia mungkin tanda kepada tindak balas alahan, sekiranya ia turut menyebabkan kesukaran bernafas, sila dapatkan rawatan kecemasan.
- Ruam yang bertukar menjadi lepuh.
- Ruam yang menyakitkan.
- Ruam yang bernanah, bengkak, berkerak dan menyakitkan.
Rujukan
- Philips, N. (2018). Rash. Healthline
- Newman, T. (2018). What is casing my rash? MedicalNewsToday