Sakit kepala sebelah kiri boleh menjadi salah satu petanda atau simptom kepada masalah atau penyakit yang sebenar. Terdapat beberapa punca sakit kepala sebelah kiri yang akan dibincangkan dalam artikel ini. Teruskan membaca.
Sakit kepala adalah antara sakit yang memberi kesan kepada hampir 50 peratus orang dewasa di seluruh dunia. Sakit kepala boleh berlaku pada satu bahagian kepala atau kedua-dua bahagian kepala.
Sakit kepala boleh datang secara perlahan atau secara tiba-tiba. Rasa sakit ini boleh berdenyut-denyut, tumpul atau tajam menusuk.
Kadangkala, sakit ini boleh merebak hingga ke bahagian leher, belakang mata atau gigi.

Apakah Punca Sakit Kepala Sebelah Kiri?
Terdapat beberapa punca atau penyebab kepada sakit kepala sebelah kiri. Antaranya adalah:
1. Migrain
Migrain akan menyebabkan anda berasa sakit kepala yang teruk, sakit ini akan berdenyut-denyut dan selalunya berlaku sebelah kepala.
Gejala ini selalunya akan disertai oleh rasa loya, muntah, sensitif kepada cahaya dan bunyi, dan aura. [1]
Aura ialah perubahan dalam penglihatan, percakapan dan sensasi lain. Kebiasaannya, migrain boleh berlarutan 4 hingga 72 jam.
Migrain boleh dicetuskan oleh: [2]
- Stres atau tekanan
- Makanan atau minuman seperti arak, keju dan coklat
- Cahaya yang terlampau terang
- Bunyi kuat yang lama
- Bau yang kuat seperti minyak wangi
- Pramenstruasi bagi wanita
2. Sakit kepala tegangan
Sakit kepala tegangan atau tension headache adalah salah satu daripada beberapa jenis sakit kepala yang menyebabkan rasa ketat di kepala, rasa sakit yang menekan yang bermula dari belakang mata dan merebak ke dahi atau belakang kepala.
Sakit kepala jenis berlaku hanya pada satu bahagian kepala dan sakit kepala sebelah kiri mungkin disebabkan sakit kepala jenis ini.
Di samping itu juga sakit kepala jenis ini juga turut menyebabkan rasa tegang pada otot leher dan bahu.
Sakit kepala jenis ini boleh disebabkan oleh:
- Stres
- Tegangan di leher dan bahu
- Posisi badan yang buruk
- Kecederaan pada leher
3. Sakit kepala kelompok
Sakit kepala kelompok ini sebenarnya jarang berlaku. Sakit kepala jenis ini amat menyakitkan dan dicirikan oleh kesakitan di satu bahagian kepala.
Sakit kepala jenis ini akan menyebabkan serangan sakit yang kuat pada satu bahagian kepala, sakit ini menjadi kuat yang berlanjutan antara 15 minit hingga 3 jam. Pesakit boleh mengalami beberapa serangan dalam sehari.
Sakit kepala kelompok juga mungkin menyebabkan simptom-simptom berikut:
- mata merah dan berair
- kelopak mata menjadi bengkak
- berpeluh dimuka
- hidung tersumbat atau berair
- anak mata menjadi kecil
Penyebab-penyebab lain kepada sakit kepala sebelah kiri
- Kecederaan
- Berkaitan saluran darah
- Terlebih guna ubat
- Keradangan
- Sinusitis
- Suka langkau waktu makan
- Kurang tidur
Rawatan
Rawatan bagi sakit kepala sebelah kiri bergantung kepada tahap keterukan dan punca yang menyebabkan sakit ini.
Bagi kes-kes yang ringan, ubat penahan sakit seperti paracetamol, ibuprofen dan aspirin mungkin sudah mencukupi.
Sekiranya sakit kepala ini teruk, doktor mungkin akan memberikan ubat penghilang kesakitan atau ubat pengendur otot terutamanya untuk migrain dan sakit kepala tegangan.
Urutan juga boleh mengurangkan kesakitan akibat sakit kepala tegangan ini. [3]
Manakala, sakit kepala kelompok pula boleh dirawat dengan satu sesi rawatan oksigen.
Perubahan pada gaya hidup boleh membantu mengurangkan atau menghindari sakit kepala jenis ini. Lakukan aktiviti santai atau senaman regangan otot bagi mencegah dan mengurangkan sakit kepala sebelah kiri ini.
Elakkan juga makanan yang boleh menyebabkan sakit kepala seperti kafein, arak dan keju.
Bila perlu berjumpa doktor
Dapatkan rawatan segera sekiranya timbul gejala-gejala seperti berikut bersama-sama sakit kepala:
- Kabur penglihatan
- Demam
- Sakit kepala itu terjadi pertama kali sejak 50 tahun
- Perubahan pada corak sakit kepala
- Sakit kepala semakin teruk
- Perubahan pada mental dan personaliti
- Menyebabkan aktiviti harian tidak terurus
- Sakit kepala bermula selepas terhantuk di kepala
- Tidak sedarkan diri
- Sakit dan merah pada mata
Rujukan
- Schwedt T. J. (2014). Chronic migraine. BMJ.
- Marmura M. J. (2018). Triggers, Protectors, and Predictors in Episodic Migraine. Current pain and headache reports.
- Del Blanco Muñiz, J. A., & Zaballos Laso, A. (2018). [Tension-type headache. Narrative review of physiotherapy treatment]. Anales del sistema sanitario de Navarra.