Penyakit psoriasis ialah penyakit kulit yang menyebabkan kulit pesakit tersebut menebal lebih cepat daripada kadar biasa. Kesannya, penyakit ini menyebabkan bahagian kulit yang terkesan mengalami tompok-tompok merah yang diselaputi sisik keputih-putihan.
Biasanya, sel-sel kulit yang baru tumbuh akan perlahan-lahan naik ke permukaan dan akhirnya akan luruh. Kitaran hidup sel-sel kulit ini biasanya berlaku dalam masa satu bulan.
Namun, bagi penghidap psoriasis, kitaran hidup sel-sel kulit ini hanya berlaku dalam masa beberapa hari sahaja. Kesannya, sel-sel kulit lama tidak sempat untuk luruh.
Ini menyebabkan berlakunya timbunan sel-sel kulit akibat daripada lebihan pengeluaran. Kesannya, kulit menjadi semakin tebal dan bersisik.
Lazimnya, psoriasis ini berlaku dibahagian siku, lutut, kulit kepala dan kaki. Tetapi ia juga boleh terjadi di bahagian-bahagian badan yang lain termasuklah leher dan muka.
Jenis-jenis Psoriasis
Terdapat 5 jenis psoriasis iaitu:
1. Psoriasis plak
Psoriasis plak adalah jenis yang paling lazim terjadi. Psoriasis jenis ini akan menyebabkan kulit mengalami tompok-tompok merah,timbul, kering dan dilitupi sisik berwarna putih perak.
Selalunya berlaku di bahagian siku, lutut, pinggang dan kulit kepala.
2. Psoriasis pustular
Psoriasis pustular adalah jenis yang lazimnya terjadi kepada orang dewasa. Ia menyebabkan kulit mengalami keradangan dan lepuh bernanah.
Selalunya terjadi di bahagian kaki dan tangan.
3. Psoriasis guta
Psoriasis guta adalah jenis yang selalunya terjadi kepada kanak-kanak. Ia disebabkan oleh jangkitan bakteria. Lazimnya berlaku di bahagian lengan, kaki dan badan.
4. Psoriasis songsang
Psoriasis jenis ini menyebabkan kulit mengalami tompok merah yang licin dan keradangan. Ia akan menjadi lebih teruk sekiranya pesakit berpeluh atau berlaku pergeseran.
Jangkitan kulat mungkin pencetus kepada psoriasis jenis ini. Ia biasanya terbentuk di kawasan kelangkang, ketiak, punggung dan buah dada (payudara).
5. Psoriasis eritrodermik
Psoriasis eritrodermik ini adalah jenis psoriasis yang teruk dan jarang berlaku. Psoriasis eritrodermik menyebabkan kulit badan kelihatan seperti selar matahari (sunburn) atau ruam. Ia juga menyebabkan sisik yang terbentuk tanggal (luruh) dalam bentuk yang besar.
Penghidap psoriasis eritrodermik ini boleh jatuh sakit dan demam. Psoriasis jenis ini boleh mengancam nyawa, dapatkan rawatan daripada doktor pada kadar yang segera.
Simptom-simptom Penyakit Psoriasis
Simptom-simptom psoriasis berbeza-beza bagi setiap individu dan bergantung kepada jenis psoriasis yang dihidapi.
Antara simptom-simptom yang lazim berlaku adalah:
- Tompok-tompok merah yang dilitupi oleh sisik putih kekelabuan.
- Rasa gatal-gatal, sakit dan membakar.
- Sakit dan bengkak sendi.
- Kuku menjadi tebal dan berlubang.
- Bintik-bintik bersisik (selalunya terjadi kepada kanak-kanak).
- Kulit yang kering dan merekah yang boleh berdarah dan gatal.
Biasanya simptom atau gejala psoriasis ini mempunyai kitaran dimana ia akan menyerang selama beberapa minggu atau bulan. Kemudian, mereda untuk sementara waktu atau hilang sepenuhnya.
Kemudian, simptom ini akan kembali timbul kembali selepas beberapa minggu atau akibat dicetuskan oleh faktor luaran.
Komplikasi
Psoriasis boleh menyebabkan sakit sendi (artritis) yang dikenali sebagai artritis psoriatik. Artritis psoriatik ini akan menyebabkan sakit dan bengkak pada mana-mana bahagian sendi termasuklah sendi jari tangan dan kaki.
Punca Penyakit Psoriasis
Para pengkaji tidak mengetahui punca sebenar yang menyebabkan penyakit ini. Tetapi, berdasarkan kajian, terdapat 2 faktor utama yang memainkan peranan dalam pembentukan penyakit ini iaitu sistem imun dan genetik.
Terdapat juga beberapa faktor luaran yang boleh mencetuskan simptom-simptom psoriasis dan memburukkan lagi keadaan.
Sistem imun
Psoriasis ialah keadaan autoimun yang menyebabkan badan menyerang dirinya sendiri. Bagi kes psoriasis, sistem imun secara silap menyerang sel-sel kulit.
Serangan ini menyebabkan proses penjanaan sel-sel kulit baru menjadi terlalu cepat. Kulit lama pula tidak sempat untuk luruh. Akhirnya berlaku timbunan kulit.
Keadaan ini yang menyebabkan terjadinya plak yang berkaitan dengan psoriasis.
Genetik
Sesetengah orang mewarisi genetik yang memudahkan mereka terkena penyakit psoriasis ini. Walau bagaimanapun, peratusnya adalah rendah.
Faktor Luaran
Ramai yang menghidap psoriasis tetapi tidak mengalami simptom-simptom sehinggalah penyakit ini dicetuskan oleh beberapa faktor luaran.
Antara pencetus psoriasis adalah:
- Tekanan (stres).
- Jangkitan pada kulit atau saluran pernafasan.
- Merokok atau menjadi perokok pasif.
- Peminum arak tegar.
- Kecederaan pada kulit seperti gigitan atau sengat serangga, selar matahari (sunburn) dan luka.
- Cuaca terutamanya cuaca sejuk.
- Ubat-ubatan seperti ubat darah tinggi, ubat antimalaria, beta-blocker atau litium.
- Udara tercemar.
- Vaksin seperti vaksin influenza.
Terdapat juga faktor dalaman yang boleh mencetus psoriasis. Antaranya adalah:
- Obesiti
- Kencing manis (diabetes)
- Tekanan darah tinggi (hipertensi)
- Tekanan mental
- Sindrom metabolik
- Dyslipidemia (kandungan lemak atau kolesterol yang tinggi dalam darah)
Rawatan Penyakit Psoriasis
Rawatan psoriasis bertujuan untuk mengurangkan keradangan, memperlahankan pertumbuhan sel-sel kulit dan simptom-simptom penyakit ini.
Terdapat beberapa jenis rawatan yang tersedia untuk penyakit ini. Ini termasuklah ubat sapuan, ubat makan atau suntikan dan terapi cahaya.
Ubat sapuan
Ubat sapuan terdiri daripada krim atau minyak yang boleh disapu pada permukaan kulit. Ubat jenis ini boleh membantu mengurangkan psoriasis yang ringan hingga sederhana.
Antara jenis ubat sapuan yang boleh merawat penyakit psoriasis ini termasuklah:
- Vitamin D sintetik. Vitamin D sintetik seperti calcipotriene dan calcitriol boleh membantu memperlahankan tumbesaran sel-sel kulit.
- Retinoid topikal.
- Kortikosteroid topikal. Ubat ini adalah ubat preskripsi.
- Krim yang berasaskan arang (coal tar). Ubat jenis ini boleh mengurangkan sisik, gatal-gatal dan keradangan.
- Asid salisilik. Syampu asid salisilik boleh mengurangkan sisik bagi psoriasis kulit kepala.
- Anthralin. Krim yang boleh digunakan untuk melambat pertumbuhan sel-sel kulit.
Ubat makan atau suntikan
Bagi pesakit yang mengalami psoriasis sederhana hingga teruk atau rawatan lain tidak berkesan, doktor mungkin akan mempreskripsikan ubat makan atau suntikan. Ubat ini selalunya diberikan pada jangka masa yang singkat kerana faktor kesan sampingan.
Antaranya adalah:
- Retinoid
- Cyclosporine
- Methotrexate
- Steroid
- Biologics
Terapi cahaya
Terapi cahaya adalah salah satu rawatan yang menggunakan cahaya ultrauggu (UV) atau cahaya semulajadi.
Cahaya matahari boleh membunuh sel-sel darah putih yang terlebih aktif yang menyerang sel-sel kulit yang sihat.
Terdapat beberapa pilihan terapi cahaya atau fototerapi yang didapati seperti:
- Cahaya matahari
- Laser eksimer
- PUVA (psoralen plus ultraviolet A)
- UVB jalur lebar (UVB broadband)
- UVB jalur sempit (UVB narrowband)
Adakah penyakit psoriasis berjangkit?
Tidak, penyakit ini tidak berjangkit. Anda tidak akan dijangkiti sekiranya menyentuh luka atau bahagian yang terbentuk penyakit ini.
Rumusan
Penyakit psoriasis ialah penyakit autoimun yang tiada penawar. Walau bagaimanapun, terdapat banyak pilihan rawatan yang boleh membantu melegakan simptom-simptom serta keradangan yang berlaku.
Penyakit ini dipercayai berpunca daripada faktor genetik dan sistem imun yang bertindak secara tidak normal. Penyakit ini boleh juga dicetuskan oleh beberapa faktor luaran atau dalaman.
Sekiranya anda mengesyaki anda atau ahli keluarga terdekat menghidapi penyakit ini, sila dapatkan rawatan daripada klinik kesihatan atau hospital berdekatan.
Rujukan
- Kimberly Holland. (2020). Everything You Need to Know About Psoriasis. Healthline [diakses pada 28 Disember 2020].
- Kamiya, K., et al. (2019). Risk Factors for the Development of Psoriasis. International journal of molecular sciences.
- Rendon, A., & Schäkel, K. (2019). Psoriasis Pathogenesis and Treatment. International journal of molecular sciences.
- Nair PA, Badri T. Psoriasis. [Updated 2020 Nov 20]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2020 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK448194/