Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NRPA) dalam satu makluman mendedahkan bahawa terdapat satu produk kosmetik yang terbaru yang dikesan mengandungi racun berjadual.
Orang awam digesa untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk berikut:
Bil. | Nama Produk | Racun Berjadual yang Dikesan |
---|---|---|
1. | Night Cream ForU By D Ains Beauty Empire | Hidrokuinon, Tretinoin dan Betamethasone 17-Valerate |
Untuk maklumat umum juga, pihak Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM telah membatalkan notifikasi produk kosmetik terbabit dan ia tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
Apa itu Hidrokuinon, Tretinoin dan Betamethasone 17-valerate?
Produk yang mengandungi hidrokuinon (hydroquinone), tretinoin dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini.
Hidrokuinon
Penggunaan hidrokuinon tanpa kawalan boleh menyebabkan kemerahan pada kulit, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif dan boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi).
Depigmentasi menyebabkan kulit kurang perlindungan daripada sinaran UV yang berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kepada kanser kulit.
Tretinoin
Penggunaan tretinoin tanpa kawalan pula boleh menyebabkan kulit menjadi kemerahan, tidak selesea, mengelupas, pedih dan hipersensitif kepada cahaya matahari.
Betamethasone 17-Valerate
Penggunaan Betamethasone 17-Valerate tanpa kawalan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu krim tersebut menipis dan mudah untuk mengalami iritasi, jerawat dan perubahan pada pigmentasi kulit.
Bahan kimia ini juga berisiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.
Peringatan Kepada Penjual dan Pengedar Produk Kosmetik Ini
Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.
Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Peringatan Kepada Orang Awam
Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.