Pada awal April lalu pihak Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan akhbar berkaitan produk-produk kosmetik yang mengandungi racun berjadual. Terdapat dua jenis produk kosmetik yang didapati mengandungi racun berjadual ini iaitu:
- Beautywise Rejuvenating Cream
- Beautywise Rejuvenating Toner
Kedua-dua produk ini mengandungi hidrokuinon (hydroquinone) dan tretinoin.
Orang awam digesa untuk mengelakkan diri daripada membeli dan berhenti daripada menggunakan produk-produk ini.

Apakah Hidrokuinon dan Tretinoin?
Hidrokuinon
Hidrokuinon ialah agen pemutih kulit yang asalnya digunakan untuk melentur kulit bagi merawat mereka yang mengalami masalah hiperpigmentasi.
Namun begitu, bahan ini boleh mendatangkan kesan sampingan terutamanya kepada mereka yang memiliki kulit kering dan sensitif.
Antara kesan sampingan yang boleh berlaku adalah:
- kemerahan pada kulit
- ketidakselesaan
- perubahan warna kulit
- kulit menjadi terlebih sensitif
- boleh menghalang proses pigmentasi yang seterusnya mendedahkan kulit kepada sinaran UV yang berbahaya. Kesannya boleh menyebabkan kanser kulit
Dalam kes-kes tertentu, hidrokuinon boleh menyebabkan okronosis eksogen iaitu penyakit kulit yang menyebabkan pengumpulan pigmen kebiruaan pada wajah akibat penggunaan produk kosmetik yang mengandungi bahan ini pada jangka masa yang lama [1]
Menurut Peraturan Kawalan-kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, produk yang mengandungi hidrokuinon ini perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan penggunaannya perlulah dibawah nasihat profesional kesihatan.
Tretinoin
Tretinoin atau turut dikenali sebagai retinoic acid ialah ubat yang digunakan untuk merawat jerawat dan kulit rosak akibat sinaran matahari.
Namun, penggunaannya mesti dibawah seliaan doktor atau ahli profesional kesihatan kerana boleh mendatangkan kesan sampingan.
Antara kesan sampingan akibat penggunaan bahan ini adalah:
- kulit yang disapu bahan ini akan menjadi kemerah-merahan
- rasa tidak selesa
- kulit yang disapu mengalami kepedihan
- kulit menjadi mengelupas
- kulit menjadi terlebih sensitif terhadap sinaran cahaya matahari
Nasihat kepada Orang Awam
Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk ini dinasihatkan untuk berhenti menggunakannya.
Sekiranya mengalami kesan sampingan atau ketidakselesaan, sila dapatkan rawatan daripada doktor atau profesional kesihatan .
Orang awam disarankan untuk menyemak status sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA (www.npra.gov.my) atau menggunakan aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun di Google Play Store.
Rujukan
- Tan, Sukmawati & Singgih, Rendy & Wu, Vivian. (2020). Prevalence of Exogenous Okronosis Due to the Use of Whitening Cream Containing Hydroquinone from January 2014 – January 2019. Jurnal Kesehatan Andalas.