Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini meminta orang ramai agar tidak membeli dan menghentikan penggunaan produk kosmetik berikut kerana dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri.
Bil. | Nama Produk | Racun Berjadual yang Dikesan |
---|---|---|
1. | JLFara Seaweed | Merkuri |
Sehubungan dengan itu, Pengarah Perkhidmatan Farmasi, KKM telah membatalkan notifikasi produk kosmetik tersebut.
Produk kosmetik ini tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.

Kenapa Merkuri Berbahaya untuk Kesihatan?
Racun berjadual seperti merkuri adalah dilarang di dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
Merkuri juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan sekiranya ibu hamil dan ibu menyusukan anak terdedah kepada produk yang mengandungi merkuri.
Selain itu, merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.
Peringatan Kepada Penjual dan Pengedar Produk Kosmetik Ini
Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk tersebut serta-merta.
Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Peringatan Kepada Orang Awam
Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera berhenti menggunakannya. Sekiranya mengalami ketidakselesaan atau kesan advers, sila dapatkan nasihat ahli profesional kesihatan terdekat.