Tidak tahan sakit akibat gigi bongsu? Cuba 8 petua merawat sakit gigi bongsu yang ringkas ini.
Gigi bongsu ialah gigi geraham yang ketiga yang tumbuh pada peringkat umur 17-25 tahun. Ketika tumbuh, gigi ini kerap terhimpit kerana ruang pada rahang mulut tidak mencukupi untuk gigi ini tumbuh dengan baik.
Keadaan ini boleh menyebabkan kesakitan, bengkak pada gusi, penyakit gusi, nafas berbau, jangkitan pada gusi dan kerosakan gigi bersebelahan (karies gigi) pada individu tersebut.
Kesakitan akibat gigi bongsu ini sememangnya boleh menyebabkan ketidakselesaan dan menganggu aktiviti harian mereka yang mengalaminya.
Oleh itu, artikel ini berkongsi petua merawat sakit gigi bongsu yang boleh mengurangkan kesakitan yang dialami sebelum pesakit berjumpa dengan doktor gigi.
1. Berkumur dengan Air Garam
Berkumur dengan air suam yang dicampuri garam adalah rawatan yang sangat popular untuk merawat sakit gigi.
Kajian klinikal terhadap 47 orang pesakit gusi (periodontitis) menunjukkan berkumur dengan air garam boleh mengurangkan bengkak seperti mana ubat yang digunakan untuk mengurangkan merah dan bengkak gusi. [1]
2. Makan Ubat Penahan Sakit
Ubat penahan sakit seperti paracetamol, aspirin atau ibuprofen boleh digunakan untuk melegakan sakit gigi bongsu.
Terdapat kajian yang mendapati aspirin dan paracetamol menunjukkan keberkesanan untuk melegakan kesakitan akibat sakit gigi. [2]
3. Pes Bawang Putih dan Halia
Pes campuran bawang putih dan halia boleh membantu mencegah jangkitan kuman pada gusi dan gigi akibat gigi bongsu yang menolak gigi berhampiran.
Kajian mendapati pes bawang putih yang dicampurkan halia berkesan dalam mencegah atau merencatkan pertumbuhan mikroorganisma yang menyebabkan karies gigi dan penyakit gusi. [3]
Anda boleh menghasilkan pes ini dengan menumbuk bawang putih dan halia sehingga lumat. Sapukan pes ini di bahagian gigi dan gusi yang sakit.
4. Minyak Pati Kayu Manis
Minyak pati kayu manis juga didapati mempunyai ciri-ciri antibakteria yang dapat mencegah bakteria yang menyebabkan karies gigi. [4]
Cairkan minyak pati ini ke dalam air, kemudian gunakan air itu untuk berkumur.
5. Minyak Pati Bunga Cengkih
Minyak pati bunga cengkih turut mempunyai ciri-ciri antibakteria seperti minyak kayu manis yang dapat mencegah bakteria jenis Streptococcus mutans yang menyebabkan karies gigi. [5]
Minyak bunga cengkih ini boleh dicampurkan dengan air suling dan digunakan untuk berkumur. Sekiranya kesakitan gigi itu amat kuat, titiskan minyak bunga cengkih ini ke atas kapas dan letakkan kapas ini berdekatan gigi yang sakit itu.
6. Minyak Pati Serai
Minyak pati serai juga boleh digunakan untuk mencegah karies gigi. Minyak ini turut mempunyai ciri-ciri antibakteria yang dapat mencegah bakteria karies gigi dan radang pada gusi. [5, 6]
Campurkan beberapa titis minyak pati serai ini ke dalam segelas air, kemudian gunakannya untuk berkumur.
7. Minyak Pati Pudina
Daun pudina mempunyai minyak pati yang boleh melegakan kesakitan dan mengurangkan bengkak.
Titiskan minyak pati pudina ini ke atas kapas dan sapukan kapas ini dibahagian yang sakit atau biarkan kapas itu disitu.
8. Pek Ais atau Pad Pemanas
Pek ais atau pad pemanas boleh membantu mengurangkan kesakitan akibat sakit gigi bongsu.
Pek ais yang diletakkan di pipi di bahagian yang sakit boleh mengurangkan kesakitan, bengkak dan keradangan. Manakala, pad pemanas pula boleh melegakan tegangan dan meningkatkan pengaliran darah.
Caranya, letakkan pek ais atau pad pemanas pada tempat yang sakit selama 15 minit, kemudian berehat sebentar sebelum meletakkan pek atau pad ini semula.
Pek ais dan pad pemanas ini boleh digunakan secara bergilir-gilir dan pastikan mengakhiran rawatan ini dengan pek ais.
Punca atau Penyebab Sakit Gigi Bongsu
Sakit gigi bongsu berpunca daripada gigi bongsu yang tersekat akibat tidak mempunyai ruang yang cukup untuk tumbuh atau tidak tumbuh dengan normal.
Gigi bongsu yang tersekat ini boleh timbul separa atau tidak timbul langsung. Sama ada gigi ini timbul separa atau tidak timbul langsung, gigi ini mungkin:
- Tumbuh bersudut ke arah gigi di sebelahnya.
- Tumbuh bersudut ke arah dalam mulut.
- Tumbuh pada sudut tepat ke arah gigi di sebelahnya.
- Tumbuh secara menegak atau kebawah seperti gigi lain tetapi terperangkap di antara rahang mulut.
Rumusan
Petua merawat sakit gigi bongsu ini boleh membantu mengurangkan kesakitan atau melegakan keradangan yang berlaku.
Namun begitu, petua merawat sakit gigi bongsu ini hanyalah bersifat sementara. Pesakit dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan daripada doktor gigi untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Sekiranya sakit gigi bongsu ini tidak dirawat dengan betul, ada kemungkinan ia boleh menyebabkan komplikasi yang lebih teruk seperti kerosakan pada gigi lain, pembentukan sista pada rahang, pereputan gigi atau penyakit gusi.
Rujukan
- Collins, J. R. et al. (2021). Anti-inflammatory effect of salt water and chlorhexidine 0.12% mouthrinse after periodontal surgery: a randomized prospective clinical study. Clinical oral investigations.
- Voelker, M. et al. (2016). Efficacy of disintegrating aspirin in two different models for acute mild-to-moderate pain: sore throat pain and dental pain. Inflammopharmacology.
- Kanth, M. R. et al. (2016). Efficacy of Specific Plant Products on Microorganisms Causing Dental Caries. Journal of clinical and diagnostic research.
- Gupta, C. et al. (2011). Comparative study of cinnamon oil and clove oil on some oral microbiota. Acta bio-medica : Atenei Parmensis.
- Chaudhari, L. K. et al. (2012). Antimicrobial activity of commercially available essential oils against Streptococcus mutans. The journal of contemporary dental practice.
- Dany, S. S. et al. (2015). Efficacy of 0.25% Lemongrass Oil Mouthwash: A Three Arm Prospective Parallel Clinical Study. Journal of clinical and diagnostic research.