Selain rawatan perubatan moden, terdapat juga petua atau rawatan tradisional yang boleh merawat kayap. Artikel ini menyenaraikan 9 petua atau rawatan di rumah yang boleh anda cuba.
Kayap adalah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus varicella zoster. Dalam bahasa Inggeris penyakit ini dikenali sebagai shingles atau herpes zoster.
Virus varicella zoster ini juga merupakan virus yang menyebabkan cacar air (chickenpox). Pada awal jangkitan, virus ini menyebabkan cacar air. Selepas penyakit ini pulih, virus ini kekal tidak aktif di dalam badan.
Setelah sekian lama, virus ini kemudiannya boleh kembali aktif dan menyebabkan kayap.
Berbeza dengan cacar air, kayap menyebabkan ruam dengan sakit yang amat sangat. Lazimnya, kayap berlaku pada satu bahagian badan sahaja.
Simptom-simptom atau Tanda Kayap
Simptom-simptom atau tanda kayap biasanya menyebabkan jangkitan pada sebahagian kecil badan.
Antara simptom-simptom atau tanda penyakit kayap adalah seperti berikut:
- Sakit
- Rasa seperti terbakar
- Rasa kebas
- Sensitif terhadap sentuhan
- Ruam merah
- Lepuh yang mengandungi cecair
- Gatal-gatal
- Demam
- Sakit kepala
- Sensitif terhadap cahaya
- Kelesuan
Petua Merawat Kayap
Beberapa petua merawat kayap atau rawatan dirumah yang boleh digunakan untuk melegakan simptom-simptom yang berlaku adalah seperti berikut:
1. Losyen Calamine
Losyen calamine boleh digunakan untuk melegakan gatal-gatal dan kesakitan yang dialami.
Losyen ini boleh didapati secara belian kaunter atau secara atas talian.
2. Makan Makanan yang Kaya dengan Vitamin C, E, A dan B-12
Makanan yang kaya dengan vitamin C, E, A dan B-12 seperti buah-buahan dan sayur-sayuran boleh menguatkan sistem imun badan.
Sistem imun badan yang kuat boleh mencegah jangkitan virus seperti virus varicella zoster ini.
3. Tepung Jagung atau Baking Soda
Campuran tepung jagung atau baking soda dengan air boleh membantu keradangan yang berlaku dengan mengeringkan kawasan tersebut. Ini membolehkan ia sembuh dengan lebih cepat.
Caranya:
- Masukkan 2 sudu tepung jagung atau baking soda ke dalam satu bekas.
- Tambah satu sudu air atau lebih untuk mendapatkan tekstur pes.
- Sapukan pes ini pada bahagian ruam dan bilas selepas 10-15 minit.
- Amalkan beberapa kali sehari.
4. Cendawan Ganoderma
Ekstrak Ganoderma lucidum kering pada dos 32-72 gram sehari yang dicampurkan dalam air panas didapati boleh mengurangkan kesakitan akibat jangkitan kayap dan neuralgia lepas herpes. [1]
5. Krim Pokok Belalai Gajah
Pokok belalai gajah didapati mempunyai sifat antivirus terhadap beberapa jenis virus termasuklah virus varicella zoster dan juga virus herpes simplex.
Kajian klinikal mendapati krim yang mengandungi 5% ekstrak pokok belalai gajah menunjukkan penyembuhan dalam masa 7 hari dengan peningkatan kadar penyembuhan dan kesan sampingan yang rendah. [2]
6. Terapi Bekam
Berbekam juga boleh digunakan untuk merawat penyakit kayap.
Satu analisis melaporkan bahawa terapi bekam yang digabungkan dengan ubat-ubatan atau akupunktur boleh membantu merawat penyakit kayap. [3]
7. Makan Ubat Penahan Sakit
Ubat penahan sakit seperti paracetamol atau ibuprofen boleh mengurangkan kesakitan yang dialami.
8. Pakai Pakaian Longgar
Pakai pakaian yang longgar dan diperbuat daripada kain kapas dan linen boleh memberi kelegaan buat anda.
Sekiranya anda ingin menutup bahagian lepuh, elakkan daripada menggunakan pembalut yang boleh melekat pada lepuh anda.
9. Mandi Air Sejuk
Mandi dengan air sejuk setiap hari boleh dengan penggosokan yang minima boleh membersihkan lepuh dan keradangan serta mengurangkan risiko jangkitan.
Air sejuk juga boleh melegakan keradangan dan gatal-gatal. Ini boleh mencegah anda daripada menggaru-garu dan seterusnya boleh meninggalkan parut.
Rumusan
Kayap adalah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus varicella zoster.
Penyakit ini boleh menyebabkan simptom-simptom seperti ruam, lepuh, gatal-gatal, rasa sakit dan lain-lain lagi. Simptom-simptom kayap ini boleh dirawat sama ada menggunakan rawatan moden (perubatan) atau melalui petua-petua dan rawatan di rumah.
Anda boleh mengurangkan risiko untuk terkena penyakit kayap ini dengan mengambil vaksin yang dikenali sebagai Shingrix.
Rujukan
- Hijikata, Y., & Yamada, S. (1998). Effect of Ganoderma lucidum on postherpetic neuralgia. The American journal of Chinese medicine.
- Zainol Haida & Mansor Hakiman. (2019). A Review of Therapeutic Potentials of Clinacanthus nutans as Source for Alternative Medicines. Sains Malaysiana.
- Cao, H. et al. (2012). An updated review of the efficacy of cupping therapy. PloS one.