Meskipun kopi mempunyai beberapa khasiat untuk kesihatan, tetapi bagi sesetengah orang, kopi boleh menyebabkan masalah penghadaman atau sakit perut.
Malah, terdapat penyelidikan yang menunjukkan bahawa kopi boleh menyebabkan ketidakhadaman, pedih hulu hati dan refluks asid. [1]
Untuk mengatasi masalah ini, beberapa petua menyeduh kopi boleh diamalkan bagi menghasilkan kopi yang lebih lembut kepada perut.

Artikel ini akan membincangkan perkara yang diketahui tentang peranan kopi dalam masalah perut, dan sama ada meminum jenis kopi tertentu boleh menjejaskan perut anda.
1. Pilih Kopi yang Mempunyai Keasidan Rendah
Kopi mengandungi beberapa jenis asid, tetapi tidak banyak penyelidikan yang menunjukkan bahawa asid tersebut adalah punca kepada sakit perut.
Jenis kopi yang berbeza mempunyai tahap keasidan yang berbeza. Penyelidik telah mencadangkan bahawa keasidan kopi adalah antara 4.85 dan 5.13.
Minum kopi boleh meningkatkan asid perut. Tetapi itu tidak bermakna anda pasti akan mengalami sakit perut. Kajian pada 2016 mendapati bahawa walaupun minum kopi meningkatkan asid perut, ia tidak menyebabkan masalah usus bagi peserta dalam kajian tersebut. [2]
Sesetengah orang mungkin menikmati kopi dengan kandungan asid yang lebih rendah. Kopi asid rendah cenderung menjadi lebih lembut daripada kopi dengan tahap asid yang lebih tinggi.
Biji kopi yang berasal dari Brazil, Peru dan Sumatera lazimnya lebih rendah keasidannya.
2. Panggangan Gelap
Biji kopi panggangan gelap umumnya mempunyai keasidan yang lebih rendah berbanding biji kopi panggangan cerah.
Proses pemanggangan yang lebih lama boleh mengurangkan keasidan biji kopi.
Kajian 2014 menunjukkan bahawa kopi panggangan gelap mengandungi keseimbangan bahan kimia yang menghasilkan kurang asid perut daripada panggangan sederhana. Panggangan gelap mempunyai jumlah sebatian kimia yang dipanggil NMP yang lebih tinggi. Ia juga mempunyai jumlah dua sebatian lain yang dikenali sebagai C5HTs dan asid klorogenik (CGAs) yang lebih rendah.
Penyelidik mendapati nisbah NMP yang tinggi kepada C5HT dan CGA yang rendah ini menyebabkan perut menghasilkan kurang asid. Ini bermakna risiko untuk menyebabkan pedih hulu hati adalah rendah. [3]
3. Pilih Kopi Sejuk
Kopi seduhan sejuk menghasilkan bancuhan yang lebih halus, kurang berasid berbanding kopi seduhan panas. Proses pengekstrakan air sejuk menghasilkan kopi yang kurang berkemungkinan menyebabkan sakit perut.
Menurut beberapa kajian, kopi yang diseduh panas mempunyai jumlah asid yang lebih tinggi daripada kopi yang diseduh sejuk. [4]
4. Tambah Susu atau Krim
Apabila anda menambah susu ke dalam kopi anda, beberapa protein susu akan mengikat dengan asid klorogenik (CGAs).
Apabila CGA diikat oleh protein, ia mungkin menghalang CGA daripada menyebabkan lonjakan asid perut. Hal ini mungkin kerana ia tidak begitu mudah diserap oleh badan.
Walau bagaimanapun, jika anda menghidap tak tolerans laktosa, anda mungkin ingin mengelakkan susu dan produk tenusu dan memilih alternatif bukan tenusu seperti susu badam atau oat.
5. Minum Secara Bersederhana
Mengehadkan pengambilan kopi anda juga boleh membantu mengurangkan kerengsaan atau sakit perut.
Daripada meminum jumlah yang banyak dalam tempoh yang singkat, bahagikan penggunaan kopi anda sepanjang hari.
Jangan Terlalu Bimbang Akan Kandungan Kafein
Tidak dinafikan bahawa ramai orang minum kopi untuk kafein. Penyelidikan mengenai sama ada kafein menyebabkan masalah perut mempunyai hasil yang bercampur-campur.
Satu kajian pada 2017 menunjukkan bahawa rasa pahit kafein boleh mencetuskan badan untuk meningkatkan pengeluaran asid perut. [5]
Terdapat juga kajian yang menunjukkan kopi dan kafein boleh menyebabkan sindrom usus rengsa semakin teruk. [6]
Walau bagaimanapun, kajian semula menunjukkan bahawa minum kopi berkafein nampaknya tidak meningkatkan gejala pedih hulu hati pada kebanyakan orang. [7]
Rujukan
- Choe, J. W. et al. (2017). Foods Inducing Typical Gastroesophageal Reflux Disease Symptoms in Korea. Journal of neurogastroenterology and motility.
- Papakonstantinou, E. et al. (2016). Acute effects of coffee consumption on self-reported gastrointestinal symptoms, blood pressure and stress indices in healthy individuals. Nutrition journal.
- Rubach, M. et al. (2014). A dark brown roast coffee blend is less effective at stimulating gastric acid secretion in healthy volunteers compared to a medium roast market blend. Molecular nutrition & food research.
- Rao, N. Z., & Fuller, M. (2018). Acidity and Antioxidant Activity of Cold Brew Coffee. Scientific reports.
- Liszt, K. I. et al. (2017). Caffeine induces gastric acid secretion via bitter taste signaling in gastric parietal cells. Proceedings of the National Academy of Sciences of the United States of America.
- Koochakpoor, G. et al. (2021). Association of Coffee and Caffeine Intake With Irritable Bowel Syndrome in Adults. Frontiers in nutrition.
- Kim, J. et al. (2014). Association between coffee intake and gastroesophageal reflux disease: a meta-analysis. Diseases of the esophagus.