Selain perawatan menggunakan ubat-ubatan, terdapat juga beberapa petua menghilangkan vertigo yang boleh menjadi pilihan untuk anda merawat masalah ini.
Apa itu Vertigo?
Vertigo adalah satu bentuk halusinasi pergerakan apabila seseorang terasa seolah-olah sekitarannya berputar atau seolah-olah dirinya berputar.
Vertigo adalah gejala kepada masalah kesihatan dan bukan penyakit itu sendiri. Ia boleh disebabkan oleh beberapa perkara yang berbeza.
Sesetengah jenis vertigo hanya akan berlaku sekali dan sesetengah yang lain akan terus berulang-ulang sehingga punca sebenar dirawat.
Petua atau Rawatan Dirumah Untuk Menghilangkan Vertigo
Jika anda mengalami vertigo di rumah, terdapat beberapa petua yang boleh anda gunakan untuk merawatnya.
1. Teknik Meneuver Epley
Teknik meneuver Epley atau turut dipanggil “Canalith” adalah teknik yang paling lazim digunakan untuk menguruskan vertigo.
Teknik ini melibatkan satu set langkah yang dilakukan sebelum tidur setiap malam sehingga gejala vertigo hilang sekurang-kurangnya selama 24 jam.
Sekiranya gejala vertigo berlaku dari sebelah kanan dan telinga kanan, maneuver Epley boleh dilakukan dengan:
- Duduk di birai katil dan memusingkan kepala 45 darjah ke kanan.
- Baring dengan cepat dan menghadap kepala ke atas katil pada sudut 45 darjah.
- Kekalkan posisi tersebut selama 30 saat.
- Pusingkan kepala separuh jalan (90 darjah) ke kiri tanpa mengangkatnya selama 30 saat.
- Pusingkan kepala dan seluruh badan ke sebelah kiri, melihat ke bawah selama 30 saat.
- Perlahan-lahan kembali ke kedudukan asal anda, memandang ke hadapan dan duduk tegak.
Jika vertigo bermula di sebelah kiri di telinga kiri, arahan ini harus dilakukan secara terbalik.
2. Teh Halia
Meminum teh halia sebanyak 2 kali sehari mungkin boleh membantu melegakan pening, loya atau simptom vertigo yang lain.
Kajian turut menyokong bahawa halia boleh mengurangkan kesan vertigo lebih baik berbanding mengubah kedudukan secara manual seperti teknik meneuver Epley sahaja. [1]
Anda boleh menghasilkan teh halia dengan merendamkan rizom halia ke dalam secawan air mendidih selama 5 minit. Anda boleh menambahkan madu bagi menjadikan rasanya lebih baik.
3. Ginkgo Biloba
Ginkgo biloba adalah herba yang turut didapati boleh melegakan gejala-gejala vertigo. Ia berfungsi dengan menguruskan aliran darah ke otak untuk melegakan pening dan masalah keseimbangan.
Kajian klinikal pada tahun 2014 mendapati Ginkgo biloba adalah berkesan sepertimana ubat betahistine dalam menguruskan vertigo. [2]
4. Kekal Terhidrat
Kekal terhidrat atau meminum air yang cukup juga penting bagi mengurangkan rasa pening dan keseimbangan. Dehidrasi boleh menyebabkan gejala-gejala vertigo.
Bahkan dehidrasi yang ringan boleh mencetuskan gejala-gejala vertigo. Warna air kencing anda boleh menjadi petanda bahawa anda mendapatkan air yang mencukupi atau tidak pada hari tersebut.
5. Lemon Balm
Lemon balm adalah herba daripada keluarga pudina yang boleh membantu merawat vertigo.
Perubatan tradisional menyatakan bahawa lemon balm adalah berkesan dalam membantu merawat vertigo. [3]
6. Akupunktur
Petua yang seterusnya untuk hilangkan vertigo adalah melalui terapi akupunktur. Terapi akupunktur menggunakan jarum yang dicucuk pada badan.
Kajian turut melaporkan bahawa terapi akupunktur ini didapati berkesan dalam membantu mengurangkan ketidakselesaan, pening dan vertigo. [4]
7. Berhenti Minum Arak
Menurut Persatuan Gangguan Vestibular, selain rasa pening yang anda rasa semasa minum, alkohol sebenarnya boleh mengubah komposisi cecair di telinga dalam anda.
Alkohol juga membuat anda dehidrasi. Perkara ini boleh menjejaskan keseimbangan anda walaupun anda telah sedar daripada mabuk. Berhenti meminum arak boleh membantu gejala vertigo anda.
Rumusan
Bagi anda yang mencari rawatan alternatif kepada vertigo, anda boleh mencuba beberapa petua menghilangkan vertigo yang boleh membantu mengurangkan gejala yang dialami seperti teknik meneuver Epley, meminum teh halia, mengambil suplemen ginkgo biloba dan lain-lain lagi.
Rujukan
- Ni, Fl., Zhang, Lp. & Hu, Ss. (2016). Clinical observation on ginger-partitioned moxibustion plus manual repositioning for benign paroxysmal positional vertigo (BPPV). J. Acupunct. Tuina. Sci.
- Sokolova, L. et al. (2014). Treatment of Vertigo: A Randomized, Double-Blind Trial Comparing Efficacy and Safety of Ginkgo biloba Extract EGb 761 and Betahistine. International journal of otolaryngology.
- Shakeri, A. et al. (2016). Melissa officinalis L. – A review of its traditional uses, phytochemistry and pharmacology. Journal of ethnopharmacology.
- Chiu, C. W. et al. (2015). Efficacy and safety of acupuncture for dizziness and vertigo in emergency department: a pilot cohort study. BMC complementary and alternative medicine.