Majoriti daripada kita sudah tentu tidak suka dengan keadaan kulit muka yang berminyak. Kulit muka berminyak boleh mengurangkan keyakinan serta penampilan seseorang. Sebenarnya, terdapat banyak petua menghilangkan kulit muka berminyak yang boleh diamalkan selain daripada produk-produk kosmetik.
Kulit muka berminyak berpunca daripada penghasilan sebum secara berlebihan daripada kelenjar minyak. Kelenjar-kelenjar minyak ini terletak di bawah permukaan kulit.
Sebum ialah rembesan berlemak yang dihasilkan oleh kelenjar minyak. Pada asasnya, sebum ini bermanfaat kepada kulit kerana bertindak sebagai pelembap dan pelindung kulit.
Walau bagaimanapun, sebum yang berlebihan menyebabkan kulit berminyak. Lebih parah lagi, ia boleh menyebabkan liang-liang pori tersumbat dan jerawat.
Selain produk-produk kosmetik yang mahal, terdapat beberapa petua atau kaedah yang menggunakan bahan semulajadi yang boleh digunakan untuk menghilangkan kulit berminyak. Antaranya adalah:
1. Kerap Membasuh Muka
Bagi mereka yang berhadapan dengan masalah kulit muka berminyak ini, amalkan membasuh muka sekurang-kurangnya 2 kali sehari.
Di samping itu, elakkan menggunakan sabun atau pencuci yang boleh menyebabkan kulit menjadi kering.
Kemudian, pastikan kaedah mengelap muka dilakukan dengan betul. Elakkan menggunakan kain yang kasar dan menggosok muka kerana geseran yang berlaku akan merangsang penghasilan sebum.
Sebaliknya, keringkan muka dengan menepuk-nepuk dengan lembut menggunakan kain yang lembut.
2. Menggunakan Kertas Lap
Kertas lap (blotting paper) juga boleh digunakan untuk mengurangkan minyak di bahagian muka.
Kertas ini tidak bertindak sebagai ubat yang boleh merawat kelenjar minyak daripada menghasilkan sebum secara berlebihan. Tetapi, ia membantu menyerap lebihan minyak dimuka seterusnya mengurangkan kilauan atau rasa melekit pada kulit muka.
Cara menggunakan kertas lap ini ialah dengan menekapkan pada kulit muka dan biarkan kertas ini menyerap minyak yang berlebihan selama beberapa saat.
Elakkan daripada menggosok muka menggunakan kertas ini bagi mengelakkan minyak tersebar ke bahagian muka yang lain.
3. Menggunakan Madu
Selain berkhasiat sebagai makanan, madu juga turut mempunyai kebaikan dalam bidang kosmetik.
Madu bersifat pelembap dan melegakan. Ciri-ciri ini membolehkan kulit muka sentiasa lembap dan tidak berminyak.
Tambahan daripada itu juga, sifat antibakteria dan antiseptik pada madu ini turut berguna bagi kulit muka yang berminyak dan berjerawat.
Untuk menggunakannya, sapukan satu lapisan nipis madu asli di muka dan biarkan kering kira-kira 10 minit. Kemudian, bilas dengan air suam.
4. Menggunakan Aloe Vera
Aloe vera (lidah buaya) bukan sahaja boleh melindungi kulit daripada sinaran UV, malah boleh juga menjadi pelembap untuk kulit berminyak dan kulit kering.
Selain itu, aloe vera turut mempunyai ciri-ciri seperti antiseptik, antijerawat, antiradang dan boleh membantu menyembuhkan luka.
Untuk menggunakan aloe vera ini, sapukan satu lapisan nipis gel aloe vera dimuka sebelum tidur dan bilas keesokkan paginya.
Bagi mereka yang memiliki kulit sensitif, pasti mencuba dahulu sedikit gel aloe vera ini dibahagian lengan. Sekiranya tiada tindak balas dalam masa 24 hingga 48 jam, maka ia sepatutnya selamat dipakai.
5. Menggunakan Buah Tomato
Buah tomato juga sinonim dengan perawatan kulit muka. Tomato mengandungi asid salisilik yang berguna untuk merawat jerawat.
Sifat astringen dalam tomato ini juga boleh membantu mengurangkan lebihan minyak pada kulit, membersihkan pori-pori yang tersumbat dan mengecutkan pori-pori.
Anda boleh menggunakan pulpa tomato,hirisan tomato atau scrub tomato pada kulit muka.
6. Menggunakan Produk Penjagaan Kulit yang Bebas Minyak dan Bukan Komedogenik
Penggunaan produk penjagaan kulit atau kosmetik yang betul juga penting buat mereka yang mengalami masalah kulit muka berminyak.
Pastikan produk penjagaan kulit muka yang digunakan seperti pembersih (cleanser), pelembap (moisturizer) atau alat solek mempunyai label bebas minyak (oil free) dan bukan komedogenik (non-comedogenic).
Produk-produk penjagaan kulit yang bersifat bebas minyak dan bukan komedogenik tidak akan menyumbatkan liang-liang pori pada muka dan tidak menyebabkan jerawat.
7. Petua-petua Lain
Beberapa amalan ringkas dan petua lain yang boleh diamalkan adalah:
- Jangan tidur dengan mekap. Pastikan anda membersihkan mekap sebelum tidur.
- Elakkan menyentuh muka dengan tangan kotor. Kotoran,bakteria atau minyak daripada tangan boleh beralih ke bahagian muka.
- Gunakan pembersih muka berasaskan air. Jangan gunakan pembersih berasaskan minyak atau alkohol.
- Amalkan diet sihat. Hadkan makanan berminyak, bergoreng dan makanan yang mengandungi lemak trans.
- Pakai pelembap muka. Walaupun kulit muka anda berminyak, adalah masih penting untuk memakai pelembap muka bagi mengelakkan kulit kering.
- Elakkan solekan yang tebal. Solekan yang tebal untuk menutup kulit yang berminyak adalah satu pilihan yang salah kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan.
- Kurangkan penggunaan mekap terutamanya foundation. Bertukar kepada produk yang berasaskan air dan bukan komedogenik.
Rumusan
Kulit muka berminyak adalah berpunca daripada penghasilan sebum secara berlebihan oleh kelenjar minyak Peningkatan penghasilan sebum ini boleh disebabkan oleh beberapa faktor seperti hormon, genetik, kelembapan dan stres.
Beberapa langkah atau petua yang boleh dilakukan untuk menghilangkan kulit muka berminyak ini adalah seperti kerap membasuh muka, menggunakan kertas lap, madu, aloe vera dan juga tomato. Selain itu, penggunaan produk penjagaan kulit atau produk solekan yang betul juga boleh membantu mencegah berlakunya kulit muka berminyak.
Sekiranya, rawatan dirumah atau petua ini menyebabkan alahan atau kesan sampingan, hentikan penggunaannya.
Sekiranya anda mengalami masalah kulit muka berminyak yang teruk, langkah terbaik adalah berjumpa dengan pakar kulit untuk mendapatkan rawatan yang sesuai dengan kulit anda.
Rujukan
- Jon Johnson. 2020. Top six home treatments for oily skin. MedicalNewsToday.
- Burlando, B., & Cornara, L. 2013. Honey in dermatology and skin care: a review. Journal of cosmetic dermatology 12.
- Surjushe, A., Vasani, R., & Saple, D. G. (2008). Aloe vera: a short review. Indian journal of dermatology.
- How To Control Oily Skin.
- Chularojanamontri, L., et al. (2014). Moisturizers for Acne: What are their Constituents?. The Journal of clinical and aesthetic dermatology.