Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa berdengkur sangat menganggu terutamanya kepada pasangan atau orang yang tidur berdekatan. Menyedari permasalahan ini, kami kongsikan beberapa petua menghilangkan dengkur yang berkesan untuk dilakukan.
Dengkur ialah bunyi garau atau kasar yang berlaku apabila udara melalui tisu-tisu kendur dalam kerongkong. Udara ini menyebabkan tisu-tisu ini bergetar ketika anda bernafas.
Umumnya, berdengkur ini boleh berlaku kepada semua orang. Tetapi bagi sesetengah orang, berdengkur ini boleh menjadi satu permasalahan yang kronik.
Lebih membimbangkan, berdengkur ini juga mungkin berkait dengan masalah kesihatan yang lain.
Kenapa Orang Berdengkur?
Terdapat banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu berdengkur. Apabila seseorang itu mula tidur dan memasuki fasa tidur yang nyenyak, otot di lelangit, lidah dan kerongkong akan mengendur.
Tisu-tisu ini boleh menjadi terlalu kendur sehinggakan sebahagiannya menyebabkan halangan pada saluran pernafasan dan bergetar.
Faktor-faktor lain yang boleh menyumbang kepada dengkur adalah:
- Mempunyai berat badan berlebihan. Mereka yang mempunyai berat badan berlebihan mungkin mempunyai tisu-tisu lebih di bahagian belakang kerongkong yang menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit.
- Alahan atau jangkitan. Sesetengah orang yang mengalami alahan atau jangkitan sinus boleh menyebabkan saluran pernafasan mereka sempit atau terhalang.
- Pengambilan alkohol. Pengambilan arak atau alkohol yang berlebihan sebelum tidur boleh menyebabkan berdengkur.
- Posisi tidur. Tidur secara telentang boleh menyebabkan anda berdengkur.
- Tidak cukup tidur. Tidak cukup tidur akan menyebabkan otot di kerongkong mengendur dengan lebih banyak.
- Apnea tidur obstruktif. Apnea tidur obstruktif adalah gangguan tidur yang menyebabkan seseorang itu berdengkur dengan kuat dan diikuti dengan sela masa senyap apabila nafas berhenti atau hampir berhenti. Mereka yang mengalami apnea tidur ini harus mendapatkan rawatan daripada doktor.
Cara atau Petua Menghilangkan Dengkur
Setelah mengetahui punca atau faktor-faktor yang menyebabkan dengkur. Terdapat situasi yang memerlukan golongan yang berdengkur ini untuk mendapatkan rawatan perubatan daripada doktor untuk pemeriksaan lanjut. Contohnya seperti apnea tidur obstruktif.
Bagi masalah berdengkur yang disebabkan masalah-masalah ringan, ia boleh dirawat atau dihentikan dengan beberapa petua ringkas.
Berikut adalah 12 cara atau petua menghilangkan dengkur yang berkesan untuk dicuba:
1. Tidur secara mengiring
Tidur secara mengiring boleh menghentikan berdengkur. Mengiring sebelah kanan badan adalah amalan sunnah semasa tidur.
Tidur secara terlentang boleh menyebabkan lidah anda bergerak ke belakang kerongkong. Ini boleh menyebabkan saluran pernafasan terhalang dan menyebabkan dengkur.
2. Turunkan berat badan jika mempunyai berat badan berlebihan
Menurunkan berat badan boleh mengurangkan tisu-tisu di bahagian belakang kerongkong yang menyebabkan dengkur.
Anda boleh mencuba diet rendah kalori atau diet rendah karbohidrat untuk mengurangkan berat badan yang berlebihan ini.
3. Berhenti atau hadkan pengambilan alkohol
Berhenti atau hadkan pengambilan alkohol sebelum tidur dapat menyelesaikan masalah berdengkur. Alkohol boleh menyebabkan otot-otot kerongkong menjadi kendur dan menyebabkan dengkur.
4. Tinggikan bahagian kepala semasa tidur
Tinggikan sedikit bahagian kepala semasa tidur kira-kira 4 inci menggunakan bantal boleh membantu mengurangkan dengkur dan membuka laluan udara.
5. Rawat alahan yang dialami
Alahan yang kronik boleh menyebabkan udara kurang melalui bahagian hidung dan memaksa anda bernafas melalui mulut. Keadaan ini boleh meningkatkan kebarangkalian anda berdengkur.
Dapatkan rawatan daripada doktor untuk mendapatkan ubat yang sesuai untuk merawat alahan yang dialami.
6. Dapatkan tidur yang cukup
Orang dewasa disarankan untuk mendapatkan tidur sekurang-kurangnya 7 jam setiap malam. Remaja pula memerlukan tidur 8 hingga 10 jam sehari.
7. Berhenti merokok
Berhenti merokok boleh membantu mengurangkan dengkur.
8. Rawat halangan pada hidung
Sesetengah orang mengalami kecederaan yang menyebabkan septum hidung bengkok (tulang hidung bengkok).
Tulang hidung bengkok ini boleh menyebabkan laluan udara terhalang dan memaksa pernafasan menggunakan mulut yang seterusnya boleh menyebabkan dengkur.
9. Gunakan pengembang hidung (nasal dilator) atau jalur hidung (nasal strips)
Pengembang hidung atau jalur hidung adalah sejenis jalur pelekat yang digunakan secara luaran di bahagian batang hidung untuk membantu meningkatkan laluan udara bagi memudahkan pernafasan.
Walau bagaimanapun, alat ini tidak berkesan untuk mereka yang mengalami apnea tidur obstruktif.
10. Minum susu dicampur badam (kacang badam)
Caranya adalah dengan menumbuk lumat 7 biji kacang badam dan campurkan ke dalam segelas susu panas. Minum beberapa minit sebelum tidur.
11. Elakkan menggunakan ubat penenang sebelum tidur
Ubat penenang (sedatif) boleh menekan sistem saraf pusat dan menyebabkan otot-otot mengendur dengan berlebihan. Ini termasuklah tisu-tisu di kerongkong.
Maklumkan kepada doktor bahawa anda berdengkur sebelum mengambil ubat penenang.
12. Gunakan “aplians oral”
Aplians oral (oral appliance) adalah sejenis pelekap mulut yang boleh membantu saluran udara anda terbuka dan memudahkan pernafasan. Ini boleh mencegah anda daripada berdengkur.
Anda perlu berjumpa doktor gigi untuk mendapatkan pelekap yang sesuai dengan gigi dan rahang anda.
Rumusan
Masalah berdengkur ini tidak asing lagi bagi masyarakat kita. Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada berdengkur dan melalui petua atau cara-cara ringkas ini boleh membantu menghilangkan dengkur serta meningkatkan kualiti tidur anda dan pasangan anda.
Bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan seperti apnea tidur obstruktif, sila dapatkan rawatan daripada doktor.