Batuk semestinya menyebabkan rasa yang sangat tidak selesa kepada penghidapnya. Batuk boleh menganggu aktiviti harian dan boleh juga menjadi simptom kepada penyakit yang lebih serius. Oleh itu, ketahui 10 petua menghilangkan batuk ini.
Batuk yang sekejap-sekejap adalah tidakbalas normal yang membantu membersihkan saluran pernafasan daripada kahak dan iritasi. Tetapi, jika batuk ini berpanjangan (kronik) ia mungkin menjadi petanda kepada penyakit yang lebih serius.
Secara umumnya, batuk boleh berpunca daripada alahan, bahan iritasi atau jangkitan kuman (virus dan bakteria). Selain itu, refluks asid juga boleh menyebabkan batuk.
Bagi kes-kes yang ringan, ubat belian kaunter mungkin boleh melegakan batuk. Namun, sekiranya anda memilih untuk menghilangkan batuk dengan kaedah alami, berikut adalah beberapa petua yang boleh diamalkan.
1. Madu
Madu adalah salah satu makanan yang sangat berkhasiat. Perubatan tradisional banyak menggunakan madu untuk merawat sakit tekak dan batuk.
Malah madu menjadi pilihan dalam mengubati batuk pada waktu malam dan tekak jangkitan pada yang dihadapi oleh kanak-kanak. [1]
Madu juga boleh membantu menghentikan penghasilan mukus dan bersifat antibakteria.
Cara rawatan:
- Gunakan 2 sudu teh madu yang dicampur ke dalam secawan air suam atau teh herba.
- Campurkan sedikit perahan lemon (lemon boleh membantu melegakan saluran pernafasan yang tersumbat).
- Minum air atau teh madu ini pada waktu pagi dan petang atau bila diperlukan.
- Madu ini juga boleh terus dimakan tanpa dicampurkan dengan air.
2. Jus Nanas
Buah nanas juga boleh membantu menghilangkan batuk. Enzim yang terkandung dalam buah nanas yang dikenali sebagai “bromelain” boleh membantu mengurangkan batuk dan mencairkan kahak di kerongkong. [2]
Enzim bromelain ini juga turut berupaya membantu meningkatkan sistem pertahanan badan (sistem imun) dan mengurangkan keradangan.
Cara rawatan:
- Makan sehiris nanas atau minum 100 mililiter jus nanas segar (tanpa campuran gula) sebanyak 3 kali sehari.
3. Berkumur dengan Air Garam
Berkumur dengan air garam juga adalah petua yang popular dan mudah untuk dilakukan bagi mengurangkan masalah berkaitan mulut dan kerongkong.
Berkumur dengan air garam juga boleh membantu menghilangkan batuk. Campuran air suam dan garam boleh melegakan tekak yang gatal yang boleh menyebabkan batuk.
Cara rawatan:
- Campurkan kira-kira setengah sudu teh garam ke dalam 200 mililiter air suam
- Kemudian, berkumurlah dengan air ini.
4. Daun Pudina
Petua menghilangkan batuk yang seterusnya pula ialah dengan menggunakan daun pudina.
Daun pudina mempunyai banyak khasiat dan salah satu daripadanya ialah melegakan batuk. Kandungan mentol dalam daun pudina ini boleh melegakan kerongkong dan bertindak sebagai dekongestan dengan mencairkan kahak. [3]
Cara rawatan:
- Minum secawan teh daun pudina sebanyak 1 hingga 5 kali sehari atau
- Sedut wap daun pudina dengan cara mencampurkan 3-4 titis minyak pati pudina ke dalam 150 mililiter air panas. Tutup kepala dengan kain tuala dan bernafas terus di atas air panas tersebut.
5. Teh Halia
Petua yang seterusnya ialah menggunakan teh halia.
Kajian melaporkan bahawa sebatian aktif dalam halia bersifat antiradang dan boleh menenangkan membran dalam saluran pernafasan. Seterusnya dapat mengurangkan batuk. [4]
Cara rawatan:
- Hasilkan teh halia dengan mencampurkan kira-kira 20 hingga 40 gram hirisan halia segar ke dalam secawan air panas. Biarkan selama beberapa minit sebelum meminumnya.
- Campurkan madu untuk menambah rasa supaya lebih mudah diminum.
6. Membanyakkan minum air
Adalah penting untuk kekal terhidrat semasa batuk atau demam. Kajian mendapati minuman panas atau minuman pada suhu bilik boleh mengurangkan batuk, hidung berair dan bersin. [5]
Selain itu, minum air kosong yang banyak juga boleh menipiskan kahak.
7. Probiotik
Probiotik ialah bakteria baik dalam usus yang mempunyai pelbagai peranan termasuklah mengekalkan keseimbangan koloni bakteria dalam usus.
Walaupun probiotik tidak menyembuhkan batuk secara terus, keseimbangan bakteria dalam usus ini meningkatkan sistem pertahanan badan seterusnya boleh melindungi badan daripada jangkitan.
Terdapat bukti yang menunjukkan bakteria Lactobacillus (probiotik) boleh mengurangkan demam selesema yang salah satu daripada simptomnya adalah batuk. [6]
Probiotik boleh didapati daripada produk yogurt asli, susu yang diperkaya, kimchi, tempe atau dalam bentuk makanan tambahan (suplemen).
Peringatan: Susu boleh menebalkan kahak.
8. Cuka epal
Cuka epal yang dicairkan (dicampurkan) dengan madu dan air boleh diminum untuk menipiskan kahak.
9. Gula-gula lozeng
Gula-gula lozeng yang boleh didapati di kedai-kedai runcit atau farmasi juga boleh membantu mengurangkan batuk atau ketidakselesaan pada kerongkong.
10. Coklat
Ya, makan coklat juga boleh membantu mengatasi batuk. Ini kerana coklat mengandungi Theobromide iaitu bahan dalam coklat atau koko boleh menghentikan aktiviti saraf vagus yang menyebabkan batuk. [7]
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Sekiranya anda mengalami simptom-simptom berikut bersama-sama dengan batuk, sila dapatkan rawatan daripada doktor dengan segera:
- Kahak yang berwarna kuning atau hijau dengan bau busuk
- Mengigil
- Dehidrasi
- Demam melebihi 39 darjah celcius
- Demam yang tidak kebah lebih dari 3 hari
- Rasa lemah atau keletihan
- Batuk berdarah
- Sukar bernafas
- Hilang selera makan
- Sukar untuk menelan
- Berpeluh pada waktu malam
- Berat badan menurun
- Nafas menjadi pendek
Simptom atau gejala tambahan ini mungkin mempunyai kaitan dengan masalah kesihatan yang lebih serius yang memerlukan rawatan daripada doktor.
Petua-petua menghilangkan batuk ini kebanyakan sesuai untuk masalah batuk yang ringan. Sekiranya anda mengalami batuk yang kronik dan teruk, anda dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan daripada doktor.
Rujukan
- Paul, I. M., et al. (2007). Effect of honey, dextromethorphan, and no treatment on nocturnal cough and sleep quality for coughing children and their parents. Archives of pediatrics & adolescent medicine.
- Tamyra Comeaux. 2007. ‘Bromelain’ dalam The Definitive Guide to Natural Pregnancy Health – Why Your Prenatal Vitamin May Not Be Enough. Dog Ear Publishing. Halaman 9.
- Eccles R. (2003). Menthol: effects on nasal sensation of airflow and the drive to breathe. Current allergy and asthma reports, 3(3), 210–214.
- Townsend, E. A.,et al. (2013). Effects of ginger and its constituents on airway smooth muscle relaxation and calcium regulation. American journal of respiratory cell and molecular biology.
- Sanu, A., & Eccles, R. (2008). The effects of a hot drink on nasal airflow and symptoms of common cold and flu. Rhinology.
- Kang, E. J., et al. (2013). The effect of probiotics on prevention of common cold: a meta-analysis of randomized controlled trial studies. Korean journal of family medicine.
- Martínez-Pinilla, E., et al. (2015). The relevance of theobromine for the beneficial effects of cocoa consumption. Frontiers in pharmacology.