Senggugut sememangnya perkara biasa yang dialami oleh wanita. Boleh dikatakan hampir semua wanita tidak mahu mengalami senggugut. Oleh itu, kami kongsikan beberapa petua yang boleh diamalkan untuk mengatasi senggugut.
Senggugut atau dalam bahasa perubatannya adalah dismenorea boleh dibahagikan kepada dua iaitu primer atau sekunder. Senggugut primer adalah kesakitan atau nyeri pada rahim yang biasa dialami semasa permulaan haid.
Manakala, senggugut sekunder pula berlaku akibat jangkitan atau masalah lain pada organ pembiakan. Biasanya, senggugut jenis ini berlaku lebih lama daripada senggugut biasa.

Punca yang Menyebabkan Senggugut
Senggugut berlaku apabila bahan kimia yang dipanggil “prostaglandin” membuatkan rahim mengecut.
Semasa haid, rahim mengecut dengan lebih kuat. Jika rahim mengecut terlalu kuat, ia boleh menekan saluran darah berdekatan, memotong bekalan oksigen ke tisu otot.
Anda berasa sakit apabila sebahagian daripada otot kehilangan bekalan oksigennya untuk seketika.
Senggugut juga boleh disebabkan oleh masalah yang berkaitan organ pembiakan seperti:
- Endometriosis: Keadaan di mana tisu endometrium (pelapik dalam rahim) tumbuh di luar daripada rahim.
- Adenomiosis: Keadaan yang menyebabkan rahim untuk menebal dan membesar.
- Penyakit keradangan pelvis: Jangkitan bakteria yang bermula di dalam rahim dan merebak ke organ pembiakan lain.
- Fibroid: Ketumbuhan pada rahim.
- Stenosis servikal: Penyempitan serviks atau pembukaan rahim.
Petua 1: Menggunakan Halia dan Lada Hitam
Petua untuk mengatasi senggugut yang pertama adalah menggunakan halia dan lada hitam. Cara-caranya adalah seperti berikut:
- Campurkan halia yang telah ditumbuk dengan serbuk lada hitam. Kuantitinya adalah sama banyak antara kedua-dua bahan tersebut.
- Untuk lebih mudah, gunakan serbuk halia dan serbuk lada hitam. Campurkan kedua-dua bahan ini. Kemudiaan, masukkan ke dalam kapsul kosong.
- Makan 2 biji kapsul sekali makan. Makan dalam masa 1 atau 2 minggu sebelum datangnya haid.
Petua 2: Botol Air Panas
Petua untuk mengatasi senggugut yang seterusnya adalah menggunakan botol yang berisi air panas atau pad panas.
Cara-caranya adalah seperti berikut:
- Letakkan botol berisi air panas atau pad panas di bahagian perut atau abdomen anda selama 15 hingga 20 minit.
Petua 3: Mendapatkan Rawatan Akupunktur
Rawatan akupunktur boleh membantu anda mengatasi senggugut. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa rawatan akupunktur boleh melegakan senggugut. [1]
Seseorang lebih berkemungkinan mendapat manfaat daripada rawatan akupunktur yang berterusan berbanding hanya satu sesi.
Petua 4: Teh Pudina
Petua mengatasi senggugut yang berikutnya adalah dengan meminum teh pudina. Anda boleh menggunakan daun pudina segar atau produk teh pudina.
Minum 1 hingga 2 teh pudina setiap hari semasa senggugut.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa ekstrak pudina boleh mengurangkan kesakitan, keterukan atau gejala-gejala senggugut yang lain. [2]
Petua 5: Mengurut Menggunakan Minyak Pati
Petua mengatasi senggugut yang kelima adalah menggunakan campuran minyak pati lavender, marjoram dan clary sage.
Cara-caranya adalah:
- Campurkan minyak pati lavender, marjoram dan clary sage pada nisbah 2:1:1.
- Campuran minyak pati ini perlu dicairkan ke dalam minyak pembawa (carrier oil) atau krim tanpa wangian.
- Gunakan campuran minyak ini untuk mengurut bahagian bawah abdomen setiap hari bermula daripada hari haid yang terakhir sehingga hari haid yang akan datang.
Penggunaan campuran minyak ini didapati boleh mengurangkan tempoh kesakitan akibat senggugut. [3]
Rujukan
- Woo, H. L. et al. (2018). The efficacy and safety of acupuncture in women with primary dysmenorrhea: A systematic review and meta-analysis. Medicine.
- Masoumi, S. Z. et al. (2016). Evaluation of mint efficacy regarding dysmenorrhea in comparison with mefenamic acid: A double blinded randomized crossover study. Iranian journal of nursing and midwifery research.
- Ou, M. C. et al. (2012). Pain relief assessment by aromatic essential oil massage on outpatients with primary dysmenorrhea: a randomized, double-blind clinical trial. The journal of obstetrics and gynaecology research.