Sudah tentu ramai antara kita yang mahukan gigi yang putih bersih. Gigi yang putih boleh meningkatkan penampilan seseorang. Oleh itu, artikel ini menyenaraikan beberapa petua memutihkan gigi tanpan menggunakan bahan kimia.
Gigi yang putih bersih boleh menambahkan seri pada senyuman dan wajah kita di samping memberi keyakinan kepada empunya diri dalam pergaulan seharian.
Masalah gigi kuning boleh berpunca daripada pelbagai faktor seperti:
- Genetik
- Penipisan enamel
- Merokok
- Makanan seperti kari atau sos pasta
- Minuman seperti kopi dan teh
- Antibiotik
- Florida berlebihan
- Menggesek gigi
Berikut adalah beberapa petua memutihkan gigi yang boleh dicuba:
1. Makan Buah atau Sayur yang Rangup
Buah-buahan yang ranggup seperti epal, lobak dan saderi merupakan antara buah yang mempunyai kekasaran yang dapat menghilangkan kotoran pada gigi dan bertindak seolah-olah berus gigi semula jadi.
2. Flos
Masyarakat memandang rendah akan kepentingan flos gigi. Memflos gigi boleh membuang kotoran antara gigi yang menjadi tempat pembiakan bakteria. Bakteria ini boleh menyerang permukaan gigi yang dipanggil enamel.
Enamel yang nipis akan menampakkan lapisan dalam gigi yang berwarna kuning hingga kecoklat-coklatan.
3. Keju dan Produk Tenusu
Memakan sedikit keju atau produk tenusu seperti susu dan yogurt selepas makan berpotensi menghalang pereputan gigi dan boleh membantu pemineralan semula enamel.
Makanan ini boleh membantu membuatkan gigi bersinar dan bebas kaviti kerana makanan-makanan ini mengandungi mineral kalsium dan fosforus.
4. Gula-gula Getah dan Xylitol
Gula-gula getah yang mengandungi xylitol tanpa gula tambahan boleh membantu memutihkan gigi.
Xylitol ialah pemanis semula jadi yang dapat menghalang plak gigi. Xylitol juga meneutralkan tahap pH dalam mulut dan meningkatkan penghasilan air liur. Air liur umpama pembersih semula jadi dalam mulut kita. [1]
Walau bagaimanapun,kita perlu ingat bahawa air liur boleh membersihkan mulut dan juga membawa bakteria. Ini bermakna, membersihkan mulut dua kali sehari dan pengambilan gula pada kadar yang rendah juga penting.
Xylitol juga boleh dijumpai dalam sesetengah ubat gigi.
5. Arang Aktif
Ubat gigi yang mengandungi arang aktif boleh membantu mengurangkan pewarnaan pada gigi.
Satu kajian melaporkan bahawa terdapat perubahan warna dan kekasaran permukaan gigi yang ketara selepas penggunaan arang aktif. [2]
6. Vitamin C
Kekurangan vitamin C boleh menyebabkan penyakit gusi iaitu periodontitis bertambah teruk. [3]
Periodontitis melibatkan pengumpulan bakteria pada gigi dan gusi. Pengumpulan bakteria ini boleh menyebabkan gigi kuning.
Oleh itu, sentiasa mendapatkan vitamin C yang mencukupi boleh mengurangkan perubahan warna gigi. Lebih banyak kajian diperlukan sama ada pengambilan vitamin C mungkin mempunyai kesan pemutihan pada gigi.
7. Berkumur dengan Minyak Kelapa
Terdapat kajian yang mendapati berkumur dengan minyak kelapa berkesan dalam membantu mengurangkan pembentukan plak gigi. [4]
Pembentukan plak boleh menyumbang kepada warna gigi yang kuning.
8. Buah Betik dan Nanas
Memakan buah betik dan nanas mungkin boleh membantu anda memutihkan gigi.
Hal ini demikian kerana, buah betik dan nanas mengandungi enzim yang boleh mengurangkan kesan kotor pada gigi dan mengurangkan pembentukan plak gigi.
Ini dibuktikan dalam kajian yang mendapati enzim papain (betik) dan bromelain (nanas) yang ditambah ke dalam ubat gigi boleh menghilangkan kotoran pada permukaan gigi lebih baik daripada ubat gigi biasa. [5]
Rujukan
- Nayak, P. A. et al. (2014). The effect of xylitol on dental caries and oral flora. Clinical, cosmetic and investigational dentistry.
- Alofi, R. S. et al. (2021). Efficiency of activated charcoal powder in stain removal and effect on surface roughness compared to whitening toothpaste in resin composite: In vitro study. The Saudi dental journal.
- Amaliya. et al. (2007). Java project on periodontal diseases: the relationship between vitamin C and the severity of periodontitis. Journal of clinical periodontology.
- Peedikayil, F. C. et al. (2015). Effect of coconut oil in plaque related gingivitis – A preliminary report. Nigerian medical journal.
- Chakravarthy, P., & Acharya, S. (2012). Efficacy of extrinsic stain removal by novel dentifrice containing papain and bromelain extracts. Journal of young pharmacists.